Di samping Pameran Warisan Masyarakat Cina Kelantan, pada masa yang sama juga diadakan Pameran Warisan Islam di Cina.
Adanya pameran tersebut diharap masyarakat Cina menyambut baik tentang
keperihatinan Kerajaan terhadap kepentingan, keperluan dan kemajuan mereka.
Pameran itu mengenengahkan artifak-artifak atau objek-objek koleksi
Muzium Kelantan dan juga koleksi masyarakat Cina Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Pameran, YB Tuan Haji Mohd. Rozali Isohak ketika menyampaikan ucapan menjelaskan tujuan utama pameran adalah bagi memupuk semangat perpaduan antara kaum dan memberikan tarikan kepada pelancong daripada dalam dan luar negeri supaya berkunjung ke Kelantan.
Melalui pameran tersebut, masyarakat umum akan mengetahui sejarah kependudukan orang Cina di Kelantan, laluan perdagangan antara Negeri China dan Asia Tenggara, penempatan masyarakat Cina di Kelantan, koleksi artifak dan bahan mengikut zaman/dinasti, tokoh-tokoh dan pemimpin masyarakat dan aktiviti sosial, ekonomi dan kebudayaan serta perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Cina di Kelantan.
Menyentuh mengenai Pameran Warisan Islam di Cina, beliau rasa gembira kerana Kelantan diberi penghormatan sebagai negeri pertama mengadakannya selepas Kuala Lumpur. Melalui pameran ini, maklumat yang lebih tepat tentang kedudukan Islam di Negeri Cina dapat diketahui.
Pameran tersebut akan diadakan selama satu bulan dan jika mendapat sambutan daripada orang ramai, pihak penganjur akan menimbangkan untuk melanjutkan tempoh pameran sehingga hari Keputeraan KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan pada penghujung Mac.