Penghulu dikehendaki selesaikan masalah bersepadu
PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa, YB Haji Omar Mohamad, mahukan penghulu terus menjadi mata dan telinga kerajaan negeri.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa hal ehwal penghulu, menyarankan agar penghulu tahun 1998 menyelesaikan masalah secara bersepadu, bukannya secara berseorangan.

“Sambil itu penghulu hendaklah menggunakan peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk melaksanakan tugas-tugas mereka,” katanya ketika berucap di majlis mengalu-alukan perlantikan penghulu bagi tahun 1998 yang di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, Kota Bharu pada 31 Disember lalu.

Untuk menjalankan tugas-tugas ini beliau mahukan penghulu mewujudkan hubungan rapat dengan penggawa, pegawai kerajaan dan pejabat tanah dan jajahan.

Selain itu, penghulu hendaklah mejalinkan hubungan erat dengan ahli-ahli dewan undangan negeri dan penyelia DUN.

Beliau mahukan penghulu mengambil daya utama bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat.

“Jika penghulu berkenaan tidak berkeupayaan menyelesaikannya, hendaklah dia mencari penyelia DUN, wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang berkenaan yang telah dilantik oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu,” jelas beliau. Menyentuh tentang perlantikan penghulu bagi tahun ini, beliau menjelaskan bahawa beberapa penghulu yang lalu telah ditamatkan perkhidmatan mereka kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik.

“Bagaimanapun, kita juga ucapkan terima kasih atas perkhidmatan mereka yang lalu,” katanya.

Beliau berharap penghulu yang dilantik semula dapat menunjukkan peningkatan dalam perkhidmatan mereka.

Beliau juga bersyukur dan berterima kasih kerana khidmat, tugas dan kerjasama mereka yang dijalankan dengan penuh amanah telah dapat menyelesaikan berbagai-bagai masalah di kalangan rakyat.