Tadarus berterusan untuk jadikan al-Quran sebagai panduan
MENTERI Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mahukan rakyat negeri ini menjadikan Tadarus al-Quran sebagai amalan sepanjang masa, bukan hanya disemarakkan sebagai kegiatan sepanjang bulan Ramadhan sahaja.

Dengan cara itu, katanya, rakyat negeri ini bukan sahaja dapat merapatkan diri dengan al-Quran tetapi  mereka juga akan dapat membaiki mutu bacaan di samping memahami isi kadungannya kerana kalangan yang pakar akan menterjemahkan ayat-ayat tertentu dan memberi kupasan.

“Jangan takut dengan anggapan bertadarus akan membuang masa atau tidak cukup masa. Apabila mengamalkan kerja-kerja ibadah, apatah lagi membaca Quran yang mengandungi kata-kata Allah berupa pesanan, nasihat, ingatan, amaran dan sebagainya untuk hamba-hamba-Nya, masa bukan sahaja akan menjadi lebih daripada cukup tetapi kita akan diberi ganjaran pahala,” tegasnya  ketika mengetuai penduduk Bcahok bertadarus di Masjid Pauh Sembilan baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Tawang YB Haji Hassan Mahmud, Ketua Jajahan Bachok Haji Abdul Rahim Hassan dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Haji Abdul
Fatah Haron.

Beliau mahukan wakil-wakil rakyat, imam-imam dan guru-guru halaqat memainkan peranan aktif dan positif ke arah menjadikan bertadarus sebagai sebahagian daripada amalan harian dalam hidup rakyat negeri ini tanpa mengira usia.

Katanya, bertadarus berguna bagi menyedarkan setiap orang bahawa umat Islam ada panduan agung yakni al-Quran untuk dirujuk jika timbul pelbagai belitan masalah seperti kegawatan ekonomi, masalah sosial, politik, pentadbiran, perundangan dan sebagainya.

"Umat Islam pada hakikatnya terdiri daripada kalangan yang cerdik berbanding dengan orang lain kerana mempunyai pelbagai ilmu dengan mempelajari al-Quran. Mungkin ada umat Islam yang tidak tahu mereka lebih cerdik dan berilmu kerana mereka tidak tahu isi kandungan al-Quran yang dibaca.
 
“Melalui program tadarus sepanjang tahun, umat Islam termasuk di kampung-kampung pedalaman akan ditambah ilmu mereka  dengan terjemahan dan kupasan ayat-ayat yang ditadaruskan,” tegasnya.

Menteri Besar menghadiri dan mengetuai tadarus peringkat jajahan di seluruh negeri bermula pada 15 Ramadhan. Selepas jajahan Bachok, beliau menghadiri majlis yang serupa bagi peringakt Jajahan Jeli di Masjid Kampung Gunung Batu Melintang pada 16 Ramadhan.

Turut hadir pada majlis itu anggota EXCO Haji Mohamad Daud Iraqi dan Haji Abdullah Yaakob yang juga ADUN Ayer Lanas dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan Haji Abdul Fatah Haron. Sempena majlis itu rakyat berkesempatan berjemaah dan beramah mesra dengan Menteri Besar.