Hadkan pasang lampu jalan untuk berjimat
YAB Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Nik Mat menyarankan semua pihak berjimat khususnya dalam keadaan ekonomi negara merudum sekarang.

“Antara penjimatan yang patut dilakukan ialah terhadap penggunaan lampu jalan supaya tidak berlaku pembaziran,” tegasnya ketika berucap di upacara penyerahan watikah dan akuan penerimaan jawatan ahli-ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) pada 7 Januari lalu.

Katanya, seelok-eloknya wujudkan sistem pemasangan lampu secara silih berganti (selang seli) bagi tiang-tiang lampu jalan yang agak rapat jaraknya atau jika ianya rumit untuk dilaksanakan, maka lampu-lampu hendaklah dinyalakan setakat pukul 12.00 tengah malam sahaja.

Waktu antara 7.00 petang hingga 12.00 tengah malam merupakan waktu perlu manakala masa selebihnya lazimnya digunakan oleh insan normal untuk tidur.

Dalam ucapannya juga YAB Tuan Guru berkata bandar-bandar adalah jantung kepada sesebuah negeri dan jantung bagi negeri Kelantan adalah bandar Kota Bharu.

Manakala ahli-ahli MPKB dan majlis-majlis daerah adalah merupakan pembuluh darah yang perlu sentiasa melancarkan perjalanan darah bagi memastikan jantung berfungsi dengan betul.

Sehubungan dengan itu beliau mahukan mereka yang dilantik menyempurnakan tanggungjawab masing-masing kerana kelancaran pentadbiran MPKB dan majlis-majlis daerah akan menjadi cermin bagi imej kerajaan kepada rakyat terbanyak.