Ramadhan dan peluang menilai kembali
ruduman ekonomi
Bulan Ramadhan dan Tahun Melawat Kelantan 98 disambut serentak pada pembukaan tahun 1998 ini.

Dengan keadaan ekonomi negara terus merudum dan meleset, kedua-dua sambutan itu memberi kesan dan pengertian yang banyak kepada umat Islam.

Ketika keadaan seseorang muslim itu berada dalam fitrahnya pada bulan Ramadhan ini amal ibadat yang fardhu dan yang sunat disempurnakan, yang juga disertakan dengan banyak bermuhasabah atau memeriksa diri. Pada bulan ini seseorang itu berpeluang melakukan penilaian diri secara tulen kerana syaitan yang dibelenggu tidak berpeluang memperdayakan manusia. Ramadhan banyak memberikan
cabaran kepada seseorang muslim. Sejauh mana jiwa dan raganya sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. bolehlah dinilaikannya pada bulan ini.

Bagaimanapun, perangai dan tabiat biasa yang sudah dibentuk dan dipupuk pada diri seseorang bukanlah mudah untuk diubah. Sejak beberapa tahun yang lalu, Ramadhan telah dijadikan sebagai bulan bermewah-mewah dan bermegah-megah oleh kebanyakan orang Islam di negara ini.

Tabiat boros, membazir dan menunjuk-nunjuk yang berlaku adalah sejajar dengan segala kempen kemegahan dan takabur dalam pembangunan negara yang pesat tetapi palsu pada ukuran kesejahteraan ummah. Segala jerat dan akibat terhadap umat Islam yang sudahpun dimaklumkan oleh al-Quran dan Hadis tidak dihiraukan ketika itu walaupun dalam berpuasa, bertadarus dan bersolat terawih pada bulan Ramadhan.

Kini, pembangunan yang dikempenkan itu sedang merudum dan meleset. Bukan setakat ini sahaja. Pukulan-pukulan teruk sedang dan akan berlaku kepada umat Islam dan juga melanda semua rakyat negara ini, yang sebelum ini selalu lupa daratan. Kesemua pukulan ini sepatutnya menyedarkan umat Islam yang telah lupa daratan itu, khususnya kesedaran yang didapati daripada usaha menilai
ketaqwaannya kepada Allah SWT. Yang utama dalam menentukan nilai ini adalah kesedaran untuk kembali kepada Islam dalam semua amalan kehidupan individu, masyarakat, negara dan ummah.

Kelantan sejak ditadbirkan oleh Kerajaan PAS dan kepimpinan ulama telah bersungguh-sungguh mengadakan agenda-agenda bagi membawa umat Islam di negeri ini kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah secara jelas dan istiqamah. Daripada usaha memulihkan syariat Islam seperti hudud, menguatkuasakan larangan terhadap judi, arak dan maksiat- maksiat lain hinggalah kepada tabiat berjimat-cermat, bersederhana dan beramanah dalam pentadbiran kerajaan kesemuanya merupakan usaha untuk memupuk tabiat dan sikap rakyat supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT.

Kepimpinan ulama yang sedia ada dalam kerajaan Kelantan ini bukan sahaja menentukan dasar dan haluan ke arah kembali kepada al-Quran dan Sunnah ini tetapi terus memberikan contoh tauladan yang diamalkan bagi dimanfaatkan bersama oleh ummah.

Demikian juga dengan hasrat Kerajaan dalam menggalakkan pelancongan ke negeri ini. Sejak dua tahun lalu Kerajaan Kelantan telah menjadikan Ramadhan sebagai bulan melawat Kelantan bagi mengajak umat Islam sama-sama beribadat dengan saudara-saudara mereka di Negeri Serambi Mekah ini. YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan dalam ucapannya melancarkan Tahun Melawat Kelantan 98 mahukan Islam sebagai produk pelancongan yang paling istimewa untuk
Kelantan.

Oleh itu pelancongan hendaklah dijadikan tujuannya bukan sahaja untuk mengaut faedah ekonomi tetapi sebagai usaha menampilkan dakwah Islam oleh sebuah masyarakat yang berakhlak mulia kerana bersandar hidup kepada ajaran al-Quran dan Hadis. Jadikanlah pelancong datang ke Kelantan untuk melihat budaya Islam di kalangan rakyat dan mengetahui dasar kerajaan menjadikan Islam sebagai ad-din sambil merasakan kehidupan bahagia dan sejahtera yang tulen, bukannya untuk
melihat bangunan indah dan industri besar atau untuk menjadikan Kelantan tempat berfoya-foya, bermewah-mewah dan membazir.