Tok guru dan wartawan setaraf jika mahu membentuk masyarakat yang baik
TUGAS para pengarang termasuk wartawan dan tok guru adalah sama taraf jika melaksanakan kerja kerana Allah terutamanya untuk membentuk minda dan mendidik masyarakat ke jalan yang baik, kata YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan kepada para wartawan ketika meraikan mereka di majlis ramah mesra dan makan malam di JKR 10, Kota Bharu, 22 Jun lalu.

Beliau menjelaskan bahawa pengarang dan wartawan melaksanakan kerja dakwah melalui maklumat-maklumat dan ulasan yang diberikan untuk bacaan umum sebagaimana para ulama turut berdakwah secara memberikan kuliah.

Sehubungan dengan itu, katanya, wartawan hendaklah bertanggungjawab terhadap tulisan yang dihasilkan kerana mereka akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Tujuan mereka adalah serupa, iaitu, memaklumkan perkara-perkara yang benar, katanya lagi.
Majlis tersebut turut disertai oleh Speaker Dewan Undangan  Negeri Kelantan, YB Hj. Wan Abdul Rahim bin Wan Abdullah, ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Ustaz Hassan Muhamad, YB Ustaz Abdullah Yakub, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Ahmad Robert Abdul Rahim.

Sehubungan dengan itu Tuan Guru Dato’ Menteri Besar meminta para wartawan agar turut ikhlas memperjuangkan Islam terutamanya dalam memberikan maklumat dan penjelasan yang benar tentang gerakan Islam.

Tuan Guru Dato’ Menteri Besar juga turut mengulas masalah kegawatan ekonomi negara sekarang.
Katanya, negara akan menjadi kacau bilau apabila semuanya menjadi ‘yes man’ dan berlagak bagaikan ayam belanda sehingga berlaku nepotisme, rasuah dan segala unsur tidak sihat.

Beliau juga menganggap jika kegawatan tidak berlaku projek-projek mewah mungkin sekali tetap berterusan sedangkan kemewahan sebenarnya tidak mencerminkan semangat Islam.