WARISAN DAN PERUBAHAN DALAM SENI BUDAYA
Disebabkan Kerajaan Kelantan tidak berniat untuk menghalang kegiatan seni budaya rakyat negeri ini,
 akhirnya dikir barat yang diminati ramai itu dibenarkan kembali untuk persembahan setelah dibekukan sejak lebih sebulan lalu.

Ketika dibekukan dulu, alasan Kerajaan Negeri telah diterima ramai. Persatuan pendikir jelas sekali menyokong hasrat dan cara Kerajaan Kelantan mengendalikan isu ini.  Hanya ada sedikit percubaan hendak menegakkan benang basah oleh mereka yang terlibat dalam memburukkan persembahan dikir barat sebagaimana yang disiarkan di akhbar harian.

Serentak dengan usaha memulihkan persembahan dikir barat ini, Kerajaan Negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan, Belia dan Sukan, YB Abdullah Ya'kub, mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan membentangkan satu undang-undang tentang seni budaya di sidang Dewan Undangan Negeri akan datang, sebagai pindaan kepada Enakmen Kebudayaan dan Hiburan 1936.

Menurut beliau, undang-undang yang diguna pakai sekarang ialah undang-undang yang dibuat pada tahun 1936 sewaktu penjajahan British dan tidak pernah dipinda.

Dengan undang-undang seni budaya yang baru kelak, Kelantan berkemungkinan merupakan negeri pertama di Malaysia yang mengemukakan undang-undang yang dijang-ka dapat mencerminkan sebuah dasar seni budaya dan menjadi panduan bagi kegiatan seni budaya dan h iburan rakyat negeri ini.

Semestinyalah usaha Kerajaan Negeri ini merupakan usaha yang besar dan penting.  Menurut YB Abdullah Ya'kub lagi, pakar-pakar dan cerdik pandai telah dilantik menduduki jawatankuasa untuk merangka undang-undang tersebut. Dengan ini dijangka undang-undang seni budaya Kelantan yang diterbitkan kelak akan menjadi teras, malahan pemangkin, kepada kegiatan rakyat  dalam mempersembah dan mempamerkan bakat serta kebolehan mereka bukan sahaja untuk berhibur tetapi juga untuk melahirkan watak dan sifat termulia sebagai bangsa yang beragama Islam.

Seni budaya ialah wajah dan cermin jiwa sesuatu bangsa.  Kegiatan atau persembahan seni budaya di kalangan rakyat ialah puncak kepada corak fikiran, kehidupan, usaha dan pengalaman harian rakyat. Seni budaya dipertahankan sebagai warisan tetapi seni budaya juga menghadapi cabaran-cabaran zaman untuk mengalami perubahan.  Beginilah yang berlaku kepada dikir barat. Pendikir menjadikannya sebagai warisan tetapi pendikir juga cuba menyesuaikannya dengan zaman. Ketika pengaruh fahaman sekular begitu kuat dan dunia dagang menguasai kehidupan harian, dikir barat turut terjebak di dalamnya.

Dikir barat yang dipersembahkan sebelum ini mencer-minkan jiwa utilitarian dengan semangat budaya kuning bagi memberi keuntungan kepada penganjur yang menjadikannya bahan dagangan. Penganjur-penganjur itu ialah mereka yang terpisah daripada soal kesenian dan kemurnian nilai budi dan daya. Secara itu dikir barat tidak dapat dipertahankan sebagai warisan dan juga sebagai seni budaya.

Dengan menghormati bidang seni budaya sebagai warisan dan bersikap lapang dada terhadap kehendak perubahan, Kerajaan Kelantan yang berusaha melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam menolak sebarang pencemaran terhadap nilai Islam di dalam amalan warisan ini.

Selepas mengalami zaman animisma dan Hindu-Buddha, Islam telah menggantikan Hindu-Buddha sebagai agama bangsa Melayu.  Kini Islam ialah warisan mutlak bangsa Melayu. Istimewanya pula Melayu diperkenalkan sebagai Islam. Pengaruh Hindu-Buddha itu telah dihakiskan ber-ansur-ansur daripada kehidupan dan wajah bangsa Melayu.

Sewajarnya, setelah lima ratus tahun Islam bertapak kukuh pada diri bangsa Melayu, pengaruh Hindu-Buddha itu telah dikikis habis daripada Melayu dengan kesedaran bahawa ada bidang atau jenis seni budaya yang boleh diwarisi dengan ubah suai, iaitu, menghapuskan ciri-ciri syirik, jahiliyah dan maksiat yang ditentang Islam dan menggantikan ciri-ciri itu dengan fikrah, bentuk dan tuntutan Islam.