Sabaruddin Chik gesa negeri lain cari rahasia Kelantan berjaya tarik pelancong

MENTERI Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Dato' Sabaruddin Chik, kagum dengan keberkesanan peranan yang dimainkan oleh kalangan yang terlibat dalam menjayakan program Tahun Melawat Kelantan (TMK'98).

Katanya tanpa kecekapan pihak terbabit adalah sukar untuk menarik 324,500 pelancong berkunjung ke Kelantan pada bulan pertama tahun ini, satu pencapaian yang patut kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhomat Tuan Guru Dato' Menteri Besar menerima ucapan tahniah.
Berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Bumitra 1998 di Hotel Perdana baru-baru ini, kejayaan itu bukan sahaja patut dibanggakan oleh kerajaan negeri tetapi kerajaan pusat juga boleh tumpang bangga kerana jika negeri dapat untung pusat juga dapat laba.

Beliau mahukan negeri-negeri lain mempelajari formula Kelantan yang menerima kunjungan pelancong dengan jumlah yang begitu ramai kerana sektor itu memberi pulangan yang sangat lumayan.

“Memandangkan Kelantan menjadi tarikan pelancong, maka agensi-agensi pelancongan seluruh negara wajar memberi tumpuan kepada Kelantan di samping mencedok apa yang ada di Kelantan untuk dipraktikkan di negeri-negeri lain,” tegasnya.

Dato' Sabaruddin yakin para pelancong tertumpu kepada Kelantan bukan semata-mata kerana faktor alam dan kebuadayaannya tetapi ada sesuatu keistimewaan yang perlu dicari dan digali oleh negeri-negeri lain supaya pelancong akan turut berminat untuk datang melancong.


HOME