AMANAH SAHAM KELANTAN BOLEH BANTU ATASI KEGAWATAN EKONOMI

Amanah Saham Kelantan (ASKI) yang ditubuhkan oleh  Kerajaan Kelantan pada tahun 1995 belum lagi  menjadi kenyataan kerana permohonannya untuk mendapat izin bergerak terus terpendam tanpa berita di laci pihak-pihak berkuasa Kerajaan Pusat.

Kesungguhan Kerajaan Kelantan menubuhkan ASKI - dengan melantik orang berkelayakan dan professional dalam jawatankuasa penubuhannya dan mengadakan empat orang pegawai tetap untuk membuat persiapan awal - sepatutnya tidak diremeh atau didinginkan oleh mana-mana pihak. Kesungguhan ini adalah semata-mata kerana hendak menjadikan ASKI sebagai contoh bagaimana saham yang sebenar mengikut kehendak Islam diberi peranan dan dikendalikan di dalam kerangka Membangun Bersama Islam sebagai dasar pembangunan negeri ini.  Justeru, sesiapa pun tidak harus khuatir dengan ASKI.

Melalui Dasar Membangun Bersama Islam, Kerajaan Kelantan telahpun menubuh dan menjayakan dua jenis aliran dana melibatkan orang ramai iaitu Tabung Serambi Mekah sebagai dana kebajikan dan ar-Rahn sebagai pajak gadai Islam.  Kejayaan kedua-duanya tidak dapat disangkal oleh sesiapapun.   Ar-Rahn telah mendapat sambutan ramai dan dijadikan contoh oleh pihak-pihak lain di negara ini.  Tabung Serambi Mekah yang telah wujud selama tujuh tahun menerima sumbangan ikhlas berjuta-juta ringgit setiap tahun untuk disalurkan kepada rakyat yang memerlukan bantuan.

Harapan ASKI untuk berjaya sebagai sumber dana yang besar tidak wajar diragukan kerana rakyat Kelantan ramai sekali terlibat dalam bidang perniagaan dan perusahaan sama ada di dalam negeri mahupun di luar negeri.  Usaha mereka itu sama ada kecil-kecilan mahupun besar-besaran perlu digarap melalui tabungan dana bagi manfaat semua. Keadaan ini terbukti, misalnya, apabila institusi-institusi kewangan yang ada sekarang mengakui hantaran wang oleh orang Kelantan yang bekerja dan berniaga di negeri lain ke Kelantan adalah besar dan giat sekali.     Peniaga-peniaga wanita di negeri ini pula gemar menyimpan dana dalam bentuk emas perhiasan, yang tentunya menjadi lebih bererti jika dilaburkan di amanah saham.  Bagaimanapun, ramai rakyat sedang mencari-cari sistem gantian yang lebih diyakini dari sudut halal dan haram untuk menabung dan melabur mengikut kaedah amanah saham.

Tidak dapat dinafikan ramai orang Islam di negeri ini masih ragu atau tidak puas hati dengan tujuan dan urusan dana seperti penabungan, pelaburan atau pasaran saham sebagaimana yang ada sekarang (walaupun dengan menggunakan istilah-istilah Islam) apabila dinilai dari sudut syariat atau muamalat Islam.  Sikap mereka sedemikian wajar dihormati kerana alasan-alasan mereka menolak institusi kewangan dan pelaburan sekarang terbukti benar dan jelas apabila melihat kepada kegawatan ekonomi yang teruk melanda negara ini dan beberapa negara lain.

Ahli ekonomi dan para ilmuan bagaikan sepakat menga-takan sebab utama kegawatan ekonomi yang menyusahkan rakyat sudah dikenal pasti sebagai berpunca daripada kele-mahan dan huru-hara yang memang menjadi tabii sistem riba. Ini termasuk pembaziran, kepenggunaan yang keterla-luan dan pengagihan yang tidak berdasarkan kebajikan.

Semua lapisan rakyat yang dulunya terpengaruh dengan canang kejayaan pembangunan melalui sistem riba itu kini terkejut dan berasa terpedaya, tertipu dan tersiksa  dari segi rohani dan jasmani berikutan ruduman ekonomi dan bencana-bencana yang telah diwujudkannya.  Sesungguh-nya riba diperangi Allah dan Rasul-Nya.

Riba itulah yang mewujudkan sistem kewangan, per-bankan dan pasaran saham yang menjadi nadi dan darah daging ekonomi dan pembangunan dunia yang sangat rakus, gelojoh, zalim dan penuh dengan hutang-piutang sedangkan orang Islam dikehendaki mengelakkan diri daripada terlibat dengannya.  Bahkan, orang Islam dengan iman, taqwa, ta-wakal dan bersederhana dikehendaki menegakkan keadilan Islam dan mengagihkan segala rezeki melalui muamalat Islam yang saksama dan penuh kebajikan. ASKI sewajarnya diberi peluang membuktikan kemampuannya demi Islam.


HOME