Solat hajat dalam kempen anti dadah dan gejala tidak sihat sempadan Malaysia-Thailand

LEBIH 5,000 penduduk Kelantan dan Selatan Thailand hadir di majlis solat hajat di Padang Majlis Daerah Pasir Mas di Rantau Panjang awal Mei lalu.

Solat hajat yang julung kali diadakan itu bertujuan memohon kepada Tuhan dikurangkan gejala tidak sihat dan dadah di kalangan remaja yang begitu serius sekarang.

Majlis sebegini dianggap belum pernah dianjurkan oleh mana-mana kerajaan secara besar-besaran membabitkan rakyat dua negara bersempadan.

Kira-kira 300 penduduk muslim di empat daerah di Selatan Thailand bersama pemimpin setempat datang untuk menunaikan solat hajat itu.

Mereka termasuk 50 orang dari Daerah Weng diketuai oleh Adisat Praksu; Tak Bai (50 orang) diketuai Penolong Ketua Jajahannya, Ponphanong; Sukiring (50 orang) - Mr Rauf Musisadai dan Sungai Golok (150 orang) - Mr Prasit.

Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimami solat hajat itu yang turut dihadiri oleh pemimpin negeri dan penduduk dari beberapa jajahan di Kelantan.

Sebelum menunaikan solat itu, Menteri Besar menyampaikan tazkirah yang menyentuh pelbagai aspek mengenai masalah sosial dan gejala dadah.

Beliau  juga melahirkan rasa terharu di atas sambutan penduduk di Kelantan dan Selatan Thailand yang datang beramai-ramai untuk menunaikan solat hajat tersebut.

“Hari ini adalah pertama kali dalam sejarah, kita melihat rakyat dari dua negara berkumpul untuk sama-sama memohon kepada Allah bagi dikurangkan gejala penagihan dadah dan sosial yang berlaku di kalangan remaja sekarang,” ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menyarankan ibu bapa supaya sentiasa berusaha untuk menunaikan solat hajat ketika berada di kampung masing-masing bagi mengatasi masalah itu.

Selepas upacara solat hajat itu, orang ramai mengambil kesempatan mendapatkan air yang disediakan di majlis tersebut sebagai penawar untuk diminum oleh anggota keluarga masing-masing.


HOME