Kelantan bercadang tubuh sekolah vokasional agama

KERAJAAN Kelantan bercadang mewujudkan sekolah agama vokasional di negeri ini bagi melahirkan tenaga kerja berpendidikan agama yang mempunyai pelbagai kemahiran.

Timbalan Menteri Besar, YB Ustaz Abd. Halim Abd. Rahman berkata, bidang kemahiran di kalangan pelajar berpendidikan agama perlu diwujudkan bagi melahirkan tenaga mahir menjelang abab ke-21.

“Kita mahu anak lulusan sekolah agama berkebolehan dalam bidang kemahiran kehidupan bagi membolehkan mereka berdikari selepas menamatkan pengajian.

“Perkara itu melibatkan perancangan yang teliti dan hanya dapat dilakukan dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Beliau menjelaskan Yayasan Islam Kelantan (YIK) akan membuat kertas cadangan bagi tujuan itu untuk membolehkan ia dijalankan.

Katanya, kemahiran dalam bidang teknikal diperlukan oleh masyarakat dan pelajar lulusan agama perlu menyahut permintaan itu.

Ustaz Abdul Halim juga berkata, YIK akan memperluaskan kegiatan ko- korikulum dalam bidang pertanian dan perternakan di sekolah-sekolah tajaannya.

“Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Jabatan Pertanian pada dasarnya telah bersetuju untuk membantu sekolah-sekolah YIK bagi menjayakan hasrat tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beberapa buah sekolah akan dipilih bagi menjayakan program berkenaan.


HOME