Pejabat Tanah dikehendaki patuhi arahan

ANGGOTA Exco kerajaan negeri, YB Haji Omar Mohamed, telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan mengadakan mesyuarat jawatankuasa tanah masing-masing bagi memproses permohonan tanah oleh rakyat.  Arahan ini dibuat pada persidangan Dewan Undangan Negeri lalu b erikutan rungutan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kelaboran, YB Haji Nordin Yaakub.

Haji Nordin berkata, sepatutnya Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) di negeri ini mematuhi sepenuhnya arahan kerajaan negeri supaya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tanah Peringkat Jajahan setiap bulan sebagaimana kelazimannya.

Menurut beliau, terdapat dakwaan bahawa beberapa PTJ masih gagal mematuhi arahan mengadakan mesyuarat itu sepenuhnya.

Beliau seterusnya mendakwa ada pihak pentadbir di PTJ di negeri ini seolah-olah melengah-lengahkan arahan berkenaan.

Katanya, sepatutnya perkara tersebut tidak berlaku memandangkan mesyuarat jawatankuasa berkenaan cukup penting bagi mempertimbangkan permohonan rakyat untuk mendapatkan hak milik tanah di kawasan masing-masing.

Menurutnya, mesyuarat itu, mengikut arahan asal, perlu diadakan setiap bulan oleh semua jawatankuasa tanah peringkat jajahan.


HOME