RM599,000 untuk bina penempatan baru

KERAJAAN Kelantan menyediakan lebih RM599,000 bagi membina tiga penempatan baru untuk penduduk setinggan dan mereka yang terbabit dengan banjir serta hakisan ombak di negeri ini.
Sebanyak RM363,485 daripada peruntukan itu adalah bagi mewujudkan penempatan pemindahan mangsa banjir di Kuala Nal, Kuala Krai.

Bagi mangsa hakisan ombak di Pantai Sabak, Kota Bharu diperuntukkan sebanyak RM236,310 dan penempatan semula setinggan di Tanah Putih, Gua Musang mendapat RM58,500.

Jumlah peruntukan itu diluluskan oleh kerajaan negeri bagi memberi keselesaan kepada rakyat yang terlibat.

Sementara itu, Ketua Jajahan Kuala Krai, Haji Che Dir Ibrahim berkata, pembinaan penempatan baru di Kuala Nal cukup penting memandangkan 752 penduduk yang tinggal di kampung itu adalah penduduk yang sering dilanda banjir.

Mereka mengalami keadaan sedemikian pada musim tengkujuh seperti pada tahun 1988 dan 1989 yang mengakibatkan kerugian besar.

“Ada di kalangan rumah penduduk yang rosak teruk dan musnah dihanyutkan arus banjir,” katanya di majlis pecah tanah bagi membangunkan penempatan mangsa banjir di Kuala Nal akhir April lalu.
Sultan Kelantan melakukan upacara pecah tanah itu yang berlangsung sempena sambutan hari keputeraan Sultan Kelantan peringkat jajahan Kuala Krai. YAB Menteri Besar dan isteri turut hadir. 


HOME