Setinggan di Gua Musang diberi lot rumah

KERAJAAN Kelantan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sedang berusaha menempatkan segera seramai 664 daripada 1,213 penduduk setinggan di jajahan itu di Kampung Tanah Putih melalui penempatan fasa pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa, YB Haji Omar Mohamed, berkata kawasan seluas 404.6 hektar telah dikenal pasti untuk diagihkan kepada setinggan terbabit.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa pemandu projek tersebut memberitahu kerja-kerja mengukur serta penentuan lot tanah itu yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar telah siap dijalankan.

Tambahnya, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sedang berusaha secepat mungkin menyelesaikan masalah penempatan itu bagi membolehkan penduduk terbabit berpindah segera.
“Pada peringkat pertama kita akan menempatkan seramai 664 setinggan dan nama-nama mereka telah dikenal pasti manakala selebihnya pada fasa kedua dan ketiga,” ujarnya.

Beliau juga mahu penduduk yang bakal menerima lot-lot tanah di kawasan penempatan baru itu memanfaatkannya dengan kegiatan yang berfaedah termasuk bercucuk tanam.


HOME