JAHEAIK usaha bentuk ummah progresif

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) akan memastikan matlamat kerajaan negeri untuk ‘Membangun Bersama Islam’ mencapai sasarannyadengan berusaha ke arah membentuk ummah yang progresif dan mulia.

Pengarahnya, Haji Hashim Bani Abdul Hamid berkata, selain itu visi jabatan tersebut juga ialah mengurus hal ehwal Islam dengan cekap dan merencanakan program serta aktiviti menuju keredhaan serta keampunan Allah.

Katanya, wawasan itu hanya dapat dicapai dengan kerjasama erat semua kakitangan yang berada di bawah bumbung JAHEAIK.

“Jabatan ini sekarang mempunyai hampir 3000 kakitangan yang dipertanggungjawab kepada enam bahagian dan unit iaitu pentadbiran dan kewangan, penyelidikan dan dakwah, penguatkuasa dan pendakwaan, halaqat, sismi dan takmir,” katanya.

Pada tahun ini kegiatan yang dirancangkan termasuklah pelancaran Hari Hudud pada 26 Januari lalu, taklimat halal (30 April), sambutan Hijrah Rasul 1418 (7 Mei), seminar penghayatan tahun hijrah (11 - 13 Mei), seminar fardhu kifayah (Jun) dan program Bulan Sembahyang (28 November).

Haji Hashim Bani juga telah melakukan beberapa perubahan sejak menerajui jabatan berkenaan termasuk mengadakan sistem kaunter, susun atur pejabat mengadap kiblat, papan petunjuk arah, memperelokkan pekarangan, menghias pejabat dengan bunga dan menyediakan pakaian seragam bagi kakitangan.

Beliau berkata, setiap kakitangan jabatan diminta menjawab setiap panggilan telefon dengan lafaz ‘Assalamualaikum’ dan bukan lagi ‘Hello’.

JAHEAIK juga telah membina ‘Taman Kenangan’ di depan kompleks jabatan itu bagi menghijaukan lagi kawasan tersebut, yang telah dirasmikan oleh YAB  Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


HOME