200,000 kunjungi Pesta Flora 97

SERAMAI 200,000 pengunjung dianggarkan mengunjungi Pesta Flora 97 di Taman Orkid Pengkalan Chepa baru-baru ini untuk melihat pelbagai spesis bunga yang dipamerkan.
Tema tahun ini iaitu ‘Utuh Muafakat Teguh Daulat’ diadakan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kelantan.

Pengerusi jawatankuasa pesta berkenaan yang juga Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Othman Ngah, berkata pertambahan pengunjung juga bukan sahaja disebabkan peningkatan mutu program yang diaturkan, tetapi juga pertambahan bilangan kegiatan sepanjang pesta tersebut.

Menurutnya, pelbagai pertandingan diadakan termasuk menghias ‘landskap’ antara penguasa tempatan, bunga khas, bunga kertas, bonsai, bunga raya, ros, orkid dan gubahan bunga.

Pertandingan fotografi ragam kanak-kanak turut diadakan bertujuan menarik perhatian kanak-kanak yang berkunjung ke pesta itu bersama ibu bapa.

Selain itu, katanya, persembahan kebudayaan, aktiviti rekreasi seperti ‘aqua-bike’, mini zoo dan taman kanak-kanak juga disediakan di samping acara kuiz flora dengan tawaran hadiah menarik kepada setiap pemenang.


HOME