Kerajaan bantu keluarga nahas helikopter TUDM

Balu kepada Allahyarham Tuan Yaakob Tuan Yahya, seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia, yang terbunuh apabila helikopter yang dinaikinya terhempas di perairan Selat Melaka 19 Oktober tahun lalu mendapat simpati kerajaan negeri.

Balu berkenaan, Puan Normah Ibrahim, 32, menerima sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan berjumlah RM5,000.

Bantuan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada beliau di dalam satu majlis yang diadakan di bilik mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan, baru-baru ini.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum, dan wakil Tentera Udara Diraja Malaysia dari Butterworth, Kapten Tarmizi Mustapha turut hadir.
Puan Normah hadir bersama-sama keluarganya untuk menerima sumbangan itu.

Allahyarham terlibat dengan kemalangan itu ketika sedang bertugas untuk menyelamatkan seorang anak kapal Jupiter 2 yang cedera terkena minyak panas di Selat Melaka.

Helikopter yang dipandu oleh rakannya tidak dapat dikawal ketika sedang berusaha menyelamatkan pekerja itu dan terus terhempas ke dalam laut.

Menteri Besar ketika berucap di majlis itu berkata, sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri itu sebagai mengenang jasa mangsa yang berkhidmat di dalam pasukan keselamatan.

“Sebagai manusia kita perlu tabah menghadapi setiap ujian Allah kerana setiap perkara yang berlaku adalah kehendak-Nya juga,” nasihat beliau kepada keluarga Allahyarham.


HOME