Tok Wakil cipta masa

SEPANJANG bertugas sebagai Tok  Wakil, soalan yang paling kerap ditanyakan oleh kawan-kawan ialah tentang masa.  Bagaimana ‘demo’ bagi masa, guna masa, perbezaan antara dulu dan sekarang, cukup atau tidak cukup masa dan seumpamanya.  Bagi saya, setelah merasai pengalaman hidup sebagai Tok Wakil kesimpulan mudah yang boleh dibuat tentang masa ialah ‘masa semakin luas ruangnya apabila kita benar-benar menggunakannya.’ Bagai-mana ini boleh berlaku?
 
Sebab asas yang boleh dinyatakan adalah kalau dahulu kita diatur oleh masa untuk buat sesuatu kerja tetapi sekarang kita mengatur masa untuk berusaha agar sesuatu itu berlaku.  Ringkas cerita: dahulu, saya akan buat jika ada masa; sekarang, saya kena buat walaupun tidak ada masa.  Di sinilah hebatnya sekarang berbanding dahulu - boleh buat walaupun tidak ada masa.  Jadi, saya boleh menjadikan masa yang tidak ada kepada ada; dengan makna, saya telah memanjangkan masa.  Syukur kepada Allah atas apa yang berlaku.

Pada suatu pagi selepas sembahyang subuh, saya ditanya oleh seorang kawan: semasa mengajar dahulu, berapa jam mengajar?  Dengan cepat saya menjawab 18 jam campur 5 jam konsultasi.  Dengan congak mudah saya kerja satu hari, satu minggu.  Sekarang?  Tanya beliau lagi.  Berapa jam kerja sehari, dengan cepat juga saya menjawab 5 pagi hingga 12 malam.  Saya melihat agak tercengang juga dia, tetapi cepat-cepat saya menjawab, itulah untungnya jadi wakil rakyat.

Rupa-rupanya terfikir juga saya kenapa dahulu kerja ada waktu tetapi sekarang kerja tidak ada waktu.  Maka saya pun membuat kesimpulan sendiri.  Betapa lemahnya saya jika kerja saya dipadu oleh diskripsi kerja yang ditentu awal oleh majikan seperti zaman dulu-dulu dan saya boleh rasai kekangan diskripsi.  Kerja yang dibekalkan dahulu (dan juga sekarang oleh kebanyakan majikan) adalah pembunuh sebenar kebebasan, kreativiti dan inovasi dan dengannya juga masa kita banyak terbuang.  Sekarang saya tidak dibekalkan dengan diskripsi.  Saya bebas. Yang memandu saya hanyalah garis panduan kasar yang amat fleksibel.  Dipandu sedikit oleh moderator yang jujur dan ikhlas, kerja dapat berjalan dengan baik.  Saya tegaskan kepada beliau, hanya bagi mereka yang melaluinya baru dapat merasai hebatnya panduan Al-Quran dan sunnah.

Kawan saya secara berseloroh menyampuk: “Kamu Zul setelah jadi wakil rakyat sekarang cakap macam ahli falsafah dan aku cadangkan agar kamu buat PHd dalam pengurusan masa pada pengalaman hidup seorang wakil rakyat.”  Saya menjawab pendek, insya’ Allah, tajuk dah ada, tak payah susah-susah.

Perbualan selepas Subuh itu, walaupun sekejap, amat berharga bagi saya kerana rupa-rupanya apabila ditanya beru saya dapat membuat kesimpulan apa yang telah saya lalui.  Nasib baik juga masih ada sahabat yang ingin tahu apa perihal saya sekarang.  Tetapi kalaulah ada pula sahabat atau kenalan baru dan lama dapat berkongsi maklumat dan pengalaman saya yakin masa yang ada ini akan dapat dipanjangkan lagi, dilebarkan lagi dan diperdalamkan lagi untuk menjadikan satu ruangan yang begitu besar.  Saya sebagai wakil rakyat sentiasa menghargai setiap maklumat dan pengalaman yang boleh dikongsi.  Lamunan saya terhenti apabila kereta saya sampai di halaman rumah.  Insya’ Allah lamunan itu akan menjadi kenyataan.  Maklumlah wakil rakyat PAS; kita tidak banyak institusi khas untuk buat kajian dan terokaan idea.  Yang membuat kajian untuk kita ialah orang ramai, penyokong dan tidak kurang juga kita belajar dari parti lawan secara reverse concept.  Untung juga rupanya.