PENGHARAMAN SEMENTRA PERSEMBAHAN DIKIR BARAT

Pengharaman sementara persembahan dikir barat di Kelantan sekarang adalah tindakan wajar. Ruang persembahan dikir barat yang diberikan oleh kerajaan Kelantan telah diambil kesempatan untuk disalahgunakan oleh penganjur-penganjur persembahan dikir barat. Tujuan sebenar mereka bukanlah untuk memperteguhkan kesenian hiburan di negeri ini tetapi semata-mata untuk menjadikan persembahan dikir barat itu sebagai acara komersil bagi mengaut keuntungan. Dikir barat yang mereka persembahkan itu sendiri tidak lagi tulen dari segi keseniannya.  Persembahan ala konsert rock dan dangdut turut bercampur aduk dengan dikir barat sambil disertai juga oleh penyanyi pop guna memeriah secara menggiur dan memberahikan para penonton.  Iman dan keteguhan Islam yang menyatupadukan rakyat Kelantan dicabar dengan persembahan-persembahan sebegini sambil penganjur-penganjur pesta dikir barat itu membilang ringgit yang didapati melalui tikit-tikit yang dijual kepada rakyat yang kononnya dahagakan hiburan.  Inilah caranya mereka menjual maruah Islam dan Melayu rakyat Kelantan pada saat-saat ekonomi gawat dan bala turun bertimpa-timpa di Malaysia sekarang.

Kerajaan Kelantan bertindak mengharamkan dikir barat sebagai melahirkan satu tanggungjawab daripada sikap keperihatinan para pemimpin di negeri ini untuk menyelamatkan maruah dan iman sebahagian rakyatnya yang dulu mempunyai daki-daki tebal memuja gaya hidup hedonisme, termasuk unsur-unsur lucah dan persekitaran yang bertentangan dengan Islam di dalam persembahan dikir barat.  Ketika lubuk hati mereka ini dibersihkan dengan siraman Islam datang pula kerbau yang tidak ditambat dari kubang lumpur, mengambil kesempatan untuk memalitkan segala lumpur itu bagi mengembalikan daki-daki tebal dalam kehidupan, khususnya seni budaya, rakyat Kelantan.  Kerbau boleh bersorak dan bergembira dengan lumpur yang dibawanya tetapi lumpur itu menjadi daki baru kepada mereka yang telah mendapat siraman Islam tersebut. Maka dalam keadaan begini kerbau perlu ditambat kerana tabiat kerbau yang suka berkubang di lumpur tidak mungkin boleh dibiarkan bercampur-baur dengan manusia tamadun.

Penganjur-penganjur persembahan dikir barat gemar sekali memberi-kan alasan bahawa bidang kegiatan mereka adalah bagi mengukuhkan seni budaya rakyat Kelantan.  Sebenarnya tidak begitu.  Mereka hanya sibuk membilang wang yang dikutip daripada rakyat melalui persembahan tanpa ambil peduli bencana ekonomi yang menjadi beban rakyat dan kekeruhan akidah serta maruah umat Islam.

Pengukuhan seni budaya memerlukan kefahaman tentang kesepaduan gaya hidup rakyat yang mendokong seni budaya itu. Islam adalah gaya hidup rakyat Kelantan.  Maka apa-apa seni budaya Kelantan yang hendak dikukuhkan hendaklah bersekali dengan tuntutan Islam, terutamanya mempastikan ia selaras dengan panduan halal dan haram di sisi Islam.  Tujuannya adalah untuk menyedarkan bukan melalaikan, untuk menyuruh kepada makruf dengan mencegah daripada mungkar. Ini terkandung dalam dasar Membangun Bersama Islam yang diketengahkan oleh Kerajaan PAS di Kelantan.

Pegiat-pegiat dikir barat belum lagi kelihatan mengamalkan hasrat mengukuhkan seni budaya dalam bidang dikir barat ini bagi diselaraskan dengan Islam.  Mereka tidak mengambil kesempatan daripada ruang yang dibuka oleh Kerajaan Kelantan yang berteraskan dasar Membangun Bersama Islam untuk mengukuhkan seni budaya yang selaras dengan Islam.  Sebaliknya, mereka memuja wang melalui persembahan dikir barat.  Mereka lebih seronok memerhatikan rakyat lelaki perempuan berapat-rapat, berhimpit-himpit di padang bercahaya malap yang dibisingkan oleh hiruk-pikuk keliaran penyanyi pop dengan rock, dangdut dan rentak tak bernama bercampur-baur dengan dikir barat sambil menari-nari, bergesel-gesel bahu dan dada tanpa segan silu.  Ini bukannya pengukuhan seni budaya tetapi keruntuhan maruah agama, bangsa dan negara.  Yang akan untung daripada perniagaan ini ialah musuh Islam.