BERAPA CUKAI RAKYAT KELANTAN KEPADA PUSAT?
SOAL berapa pungutan cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat terhadap rakyat Kelantan menimbulkan perbalahan dalam perbahasan Belanjawan Kelantan 1998 di Dewan Undangan Negeri Kelantan akhir Oktober lalu.

YB Kamaruddin Mohd. Noor (BN-Semerak) dalam ucapannya mempertikaikan kenyataan YB Haji Che Bisi Hassan (PAS-Selising) sebelum itu tentang jumlah cukai yang dibayar rakyat Kelantan kepada Kerajaan Pusat.

Ketika cuba menafikan rakyat Kelantan membayar cukai ribuan juta ringgit kepada Pusat, Kamaruddin berkata beliau menghubungi pihak tertentu di Kuala Lumpur untuk mendapatkan butiran-butiran cukai dari Kelantan kepada Pusat dan sumbangan Pusat kepada Kelantan.

Apabila angka yang diberikan oleh Kamaruddin menunjukkan Pusat menyumbang kepada Kelantan ratusan hingga ribuan juta ringgit manakala cukai yang dipungut daripada Kelantan hanya belasan dan puluhan juta ringgit sahaja YB Timbalan Menteri Besar, Ustaz Haji Abdul Halim Abdul Rahman, mencelah dengan bertanya kepada Kamaruddin sama ada angka itu cukai langsung daripada pungutan daripada rakyat atau cukai tak langsung pungutan daripada rakyat.

Kamaruddin menjawab: "Saya maksudkan pemberian daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri Kelantan. . . . Yang saya maksudkan kutipan daripada rakyat melalui paspotnya, cukai jalannya, seperti yang dibacakan oleh YB daripada Selising."

Che Bisi bangun: "Saya minta kebenaran . . . ahli YB Semerak minta cabar di luar Dewan ucapan saya . . ."

Kamaruddin menjawab: "Saya merasa bertanggung-jawab untuk memberi penjelasan berhubung dengan satu dakwaan yang sudah dibuat di sini. Jadi, kalau misalnya ini hendak dicabar, boleh, tidak ada masalah . . ."

YB Haji Zulkifli Mamat (PAS - Pulai Chondong), yang bangun membahaskan Belanjawan 98 itu selepas Kamaruddin, menjelaskan tentang persoalan cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dipungut oleh Kerajaan Pusat.

"Cukai tidak langsung termasuklah orang Kelantan hisap rokok . . . ada cukai tidak langsung untuk hisap rokok . . . orang Kelantan minum juga gula, dalam gula ada juga cukai tidak langsung. Ada cukai tak langsung terhadap tekstil . . . Dan banyak lagi cukai tidak langsung yang boleh kita berkecek, tidak termasuk lagi petroleum, yang kita naik bas . . . Kalau kita nak kecek cukai tidak langsung, itu terlampau besar," kata Zulkifli.