Kurangan Boleh Jadi Lebihan
YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar mengingatkan bahawa defisit sebanyak RM28.02 juta yang ditunjukkan dalam Belanjawan Kelantan tahun 1998 tidak perlu dibimbangkan apabila dilihat kepada rekod prestasi kewangan tahun 1991 - 1995.

"Kerajaan sentiasa mempunyai lebihan (surplus) kewangan pada setiap akhir tahun perbelanjaan walaupun kita mengalami defisit semasa Anggaran Belanjawan dibentangkan.

"Sebagai contoh, tahun 1992, dalam Anggaran Belanjawan kita mengalami defisit sebanyak RM16.63 juta, tetapi ketika perbelanjaan sebenar, kita mempunyai lebihan RM9.32 juta.

"Begitu juga pada tahun 1993, semasa Anggaran Belanjawan, defisit sebanyak RM27.27 juta, tetapi selepas perbelanjaan sebenar, kita mempunyai lebihan sebanyak RM30.33 juta," kata beliau ketika berucap membentang Belanjawan Tahun 1998 di sidang (belanjawan) Dewan Undangan Negeri Kelantan 28 Oktober lalu.

Bagaimanapun defisit Belanjawan 1998 ini berkurangan sebanyak RM4.08 juta (12.72%) dibandingkan dengan belanjawan tahun 1997 (RM32.11 juta).