Hasil Bertambah RM7.88 Juta
ANGGARAN Hasil Negeri Kelantan bagi tahun 1998 ialah sebanyak RM 184.81 juta. Ini bertambah sebanyak RM7.88 juta atau 4.46 peratus jika dibandingkan dengan Anggaran Hasil tahun 1997.

Menurut YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar jumlah ini terdiri daripada Hasil Cukai sebanyak RM47.89 juta (26%), Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 74.08 juta (40%) dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM62.48 juta (34%). Punca hasil dari tanah pada tahun 1998 dianggarkan sebanyak RM24.43 juta iaitu 13.22 peratus daripada keseluruhan hasil negeri. Pada 1996 punca tanah memberikan hasil RM23.17 juta.

Lain-lain punca hasil negeri pada tahun 1998 dianggarkan sebanyak RM33.28 juta.

Ketika berucap membentang Belanjawan Kelantan tahun 1998 di Sidang Dewan Undangan Negeri pada 28 Oktober lalu, beliau mengingatkan kembali pesanan beliau supaya pegawai kerajaan terutamanya pegawai pengawal menunjukkan komitmen dan kesungguhan dalam mempertingkatkan pengurusan kewangan yang lebih rapi, tegas dan berkesan supaya perbelanjaan sebenar dapat dijimatkan dan digunakan secara optima.