Hasil Perhutanan Tahun 1998 Dijangka RM77.55 Juta
ROYALTI dan premium perhutanan merupakan hasil terbesar diperolehi Kerajaan Negeri. Bagi tahun 1998, hasil perhutanan ini dijangka meningkat kepada RM77.55 juta.

Pada tahun 1996, Kerajaan Negeri memungut daripada perhutanan sebanyak RM69.16 juta terdiri daripada royalti sebanyak RM27.40 juta dan premium sebanyak RM30.38 juta.

Bagaimanapun jangkaan hasil perhutanan tahun 1998 kelak bergantung kepada kelulusan kawasan hutan yang sebenarnya dibuka dan harga pasaran semasa.

YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar memberitahu angka-angka ini ketika membentangkan Belanjawan Kerajaan Kelantan tahun 1998 di sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 28 Oktober lalu.