Perbelanjaan Mengurus Bertambah RM3.08 Juta
KERAJAAN Negeri membuat beberapa pendekatan agar kedudukan ekonomi Negeri berada dalam keadaan stabil dan kedudukan kewangan Negeri lebih mantap ketika berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi negara yang dijangka lembab (6% - 8%) akibat dilanda oleh ‘Ribut Soros’.

"Oleh itu Anggaran Perbelanjaan bagi tahun 1998 telah dirancang dengan lebih teliti dan rapi agar tidak tersasul jauh daripada lingkungan kemampuan berdasarkan Anggaran Hasil, " kata YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Kerajaan Kelantan 1998 di Sidang Dewan Undangan Negeri pada 28 Oktober lalu.

Beliau mencadangkan sebanyak RM212.83 juta bagi Perbelanjaan Mengurus tahun 1998. Daripada jumlah ini RM178.77 juta (84%) sebagai Perbelanjaan Bekalan yang bertambah RM3.08 juta berbanding anggaran 1997 manakala RM34.06 juta (16%) sebagai Perbelanjaan Tanggungan yang turun sebanyak 18.08 peratus.

Perbelanjaan Mengurus tahun 1998 boleh dipecahkan kepada lima bahagian seperti yang berikut:

a) Emolumen RM76.93 juta
b) Perkhidmatan & Bekalan RM28.34 juta
c) Eset RM14.80 juta
d) Pemberian & Kenaan Bayaran Tetap RM91.71 juta
e) Lain-lain Perbelanjaan RM01.05 juta
   Jumlah RM212.83 juta