Rakyat yang kebuluran
YB Che Bisi Hassan (ADUN PAS-Selising) yang membahaskan Belanjawan Kelantan 1998 di Dewan Undangan Negeri akhir Oktober lalu membidas Adun BN-Pergau yang menuduh kerajaan negeri tidak prihatin terhadap golongan miskin kerana masih ada rakyatnya yang terpaksa tinggal di bawah jambatan.

"Tahukah YB, rakyat Kedah (rakyat Perdana Menteri) iaitu keluarga Omar sebagaimana yang tersiar dalam sebuah akhbar harian baru-baru ini, pernah tidak makan selama seminggu?" soal Che Bisi. Katanya, semiskin rakyat Kelantan tidak ada yang kebulur walaupun sehari setelah membaca keratan akhbar tentang kisah keluarga Omar di Kedah itu. 


Bonus tahun 1998
PEGAWAI Kewangan Negeri dan kakitangan-kakitangan di pejabat menerima ucapan tahniah kerana telah memasukkan bonus yang akan dibayar kepada kakitangan kerajaan tahun depan, ke dalam Belanjawan 1998.

YB Haji Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong) berkata, beliau dibisik oleh pegawai di jabatan itu, bahawa bonus untuk tahun depan dimasukkan sama dalam bajet tahun 1998.

"Saya tabik kepada mereka," katanya di sidang DUN Kelantan baru-baru ini. 


Melor puji kerajaan
KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri, YB Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir (BN-Melor) seringkali memuji kerajaan negeri ketika mengambil bahagian untuk berbahas mengenai Belanjawan 1998, DUN Kelantan akhir Oktober lalu.

Beliau memuji kerajaan negeri memasukkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menyediakan rangkaian komputer negeri dan menambahkan peruntukan untuk pembangunan agama.  


Gaji MB dipotong
SEJUMLAH RM35,700 gaji Menteri Besar telah dipotong sejak mulai memegang jawatan itu sehingga sekarang iaitu dalam tempoh tujuh tahun.

Manakala peruntukan khas jamuan Hari Raya yang disediakan kepada Menteri Besar yang tidak digunakan oleh YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak tujuh tahun lalu kini berjumlah lebih RM350,000.

Di sidang DUN Kelantan akhir Oktober lalu, YB Ustaz Nasuruddin Haji Daud (PAS - Meranti) berkata, pemotongan itu dibuat sebagai mengambarkan langkah berjimat cermat telah lama dilakukan di Kelantan. 


Kelantan mahu pilih Proton Perdana
KERAJAAN negeri membuat keputusan untuk tidak lagi membeli kereta-kereta mewah dari jenis Mercedes Benz untuk pegawai-pegawai kanannya sebagai menyahut langkah berjimat cermat yang disarankan oleh Pusat.

Ahli Exco, YB Datuk Halim Mohamed memberitahu sidang DUN Kelantan akhir Oktober lalu, kerajaan negeri memutuskan untuk membeli kereta Proton Perdana bagi kegunaan pegawai-pegawai berkenaan.