Pengeluaran Ayam Kelantan Belum CapaiTahap Sara Diri
PENGELUARAN daging ayam di Kelantan sekarang adalah sebanyak 41,687 tan metrik berbanding keperluan bagi penduduk tempatan 43,041 tan.

Pengeluaran ini iaitu 96 peratus masih tidak mencapai tahap sara diri dan belum lagi mampu untuk menampung permintaan semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Kampung Negeri Kelantan, YB Haji Omar Mohamed berkata, bagi menampung permintaan itu Jabatan Perkhidmatan Haiwan telah membenarkan daging ayam sejuk beku dibawa masuk.

"Purata kemasukan daging ayam jenis itu sebanyak 363.9 metrik tan setahun dan ia dijangka terus meningkat," katanya menjawab soalan YB Ustaz Hassan Mahmood (PAS - Tawang) di sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Menurutnya, ayam yang diimport itu kebanyakannya dipohon oleh pengusaha makanan segera termasuk McDonald dan Kentucky Fried Chicken.

Haji Omar juga berkata, memandangkan permintaan daging ayam yang sentiasa meningkat kerajaan negeri telah mengambil langkah mewujudkan pusat pembiakan dan penentasan ayam berkualiti tinggi.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lain, katanya, kerajaan negeri telah menggubal satu pelan tindakan pembangunan pertanian jangka panjang untuk meningkatkan hasil sumbangan sektor itu kepada keluaran dalam negeri kasar.

"Pelan tersebut dikenali sebagai Pelan Strategik Pertanian Negeri Kelantan yang bertujuan mengenal pasti permasalahan dan langkah-langkah penyelesaiannya," katanya.