Zulkifli Tegur Kamaruddin Supaya Jangan Silap Dewan
YB Hj. Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong) menyifatkan YB Hj. Kamaruddin Mohd. Noor (BN-Semerak) tersilap Dewan apabila cuba membahaskan sesuatu perkara yang lebih menyentuh dasar yang digubal di peringkat Parlimen dan bukan Dewan Undangan Negeri.

Ketika membahaskan Belanjawan Kelantan tahun 1998 di sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan akhir Oktober lalu, beliau berkata ADUN Semerak sepatutnya sedar di Dewan mana dia berada.

"Kita boleh bincang dasar kewangan kalau kita berada di Dewan Rakyat," katanya.

Ulasan Kamaruddin tentang sifat-sifat yang perlu ada pada belanjawan dengan menunjukkan kelemahan yang terdapat di dalam Belanjawan Kelantan tahun 1998 yang dibentang oleh YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar, telah juga diulas oleh Zulkifli.

Kata Kamaruddin: "Kelantan . . . supaya mengambil kira bagaimana belanjawan negeri boleh dijadikan senjata yang berkesan untuk menggalak pertumbuhan ekonomi dan menggalak lebih ramai pelabur datang ke Kelantan."

Kamaruddin menyebutkan juga dasar fiscal dan non-fiscal boleh dijadikan senjata dalam pembangunan.

Zulkifli berkata Kelantan tidak dapat menentukan dasar fiscal dan monetary sendiri kerana ia tertakluk kepada penggubalan yang dibuat di peringkat Parlimen.

"Kalau nak tengok Kelantan mampu atau tak mampu menaikkan ekonominya, beri kebebasan sama ada Kelantan boleh atau tidak boleh menentukan dasar fiscal dan dasar monetarynya sendiri.

"Saya berkeyakinan dengan baiknya wakil daripada Semerak dengan TPM, Menteri Kewangan, beri kebebasan 10 tahun Kelantan menentukan dasar fiscal dan dasar monetarynya sendiri, insya’ Allah saya yakin Kelantan dapat membangun kalaupun tidak dapat menyaingi lain-lain negeri, paling tidak kita sama dengan negeri-negeri lain.

"Ini satu perkara yang perlu dilihat Dewan mana kita bercakap, apa tools yang kita ada, kemampuan, kebolehan, tahap dan sekatan yang ada yang diberi kepada sesebuah kerajaan negeri dan limitations yang ada pada sesebuah kerajaan pusat," katanya.

Zulkifli juga menegur Kamaruddin supaya membaca buku penyata belanjawan negeri secara keseluruhan dan tidak diulas satu-satu perkara secara terpisah.

"Apabila kita melihat belanjawan kerajaan, kita perlu melihat ilmu yang berasingan dengan belanjawan syarikat. . . apabila merujuk kepada penyata kewangan ini . . . wakil Semerak jangan baca sehelai, baca semua. Kita ada banyak akaun di dalam (penyata) ini, kata Zulkifli.

Beliau juga mengingatkan bahawa Kelatan di bawah Federation of Malaysia.

"Jadi kalau beri 10 rial ungkit, beri dua puluh rial ungkit, kita rasa buat sempadan barulah, bukan minta tapi rasa bertanggungjawab. . ," katanya.