PM luluskan projek untuk Kelantan

Projek pembangunan di Kelantan yang pernah dicadang tetapi dibekukan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini dijangka dapat dilaksanakan selepas Perdana Menteri meluluskan permohonan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, reaksi menarik telah ditunjukkan oleh YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika mengadakan pertemuan dengannya pada 13 Ogos lalu, di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Menteri Besar, beberapa per-kara telah dibangkitkan pada pertemuan itu termasuk projek untuk membesarkan Lapangan Terbang Sultan Ismail di Pengkalan Chepa ke taraf antarabangsa.
“Ini penting dilaksanakan bagi membolehkan penerbangan dari Kota Bharu  diteruskan ke beberapa destinasi luar negara termasuk Jeddah, Bangkok, Vietnam dan Jepun,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini, 14 Ogos lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil alih tanah bagi tujuan pembe-saran lapangan terbang itu daripada penduduk di kawasan itu.

Katanya, kerja-kerja pembesaran bila-bila masa boleh dijalankan kerana sekarang hanya menunggu kelulusan peruntukan bagi tujuan itu daripada Kerajaan Pusat.

Selain itu tambahnya, projek lebuh raya Gua Musang - Jelawang, jalan raya Lojing - Kuala Berang (Terengganu) dan sebuah jambatan di Dabong juga dibicangkan pada pertemuan tersebut. Menteri Besar berkata, Perdana Menteri juga dimaklumkan supaya tidak menyisihkan Kelantan daripada projek koridor Pantai Timur yang akan dimajukan tidak lama lagi.

Katanya, pertemuan itu diadakan ekoran daripada temu janji sebelum ini, iaitu ketika beliau hadir pada majlis meraikan ulang tahun ke-15 Dr Mahathir menjadi perdana menteri di Kuala Lumpur.
Majlis memperingati ulang tahun itu diadakan oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menteri-menteri kabinet, yang turut dihadiri pemimpin parti-parti pembangkang.
Pada pertemuan itu, Menteri Besar tidak dapat berbincang panjang lebar dengan Perdana Menteri kerana beliau (Dr Mahathir) dalam keadaan tidak sihat.

Mengenai soal politik dibincangkan atau sebaliknya pada pertemuan itu, beliau berkata, “Perdana Menteri lebih tahu mengenai perkara itu,”.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz membayangkan projek pembangunan itu akan diteruskan tidak lama lagi.
Katanya, reaksi menarik daripada Perdana Menteri akan melegakan penduduk di Kelantan terutamanya bagi meningkatkan lagi perkembangan ekono-minya supaya setanding negeri-negeri lain.