YIK berjaya tempatkan 628 pelajar di universiti di luar negara

ATAS usaha pihak pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK), 628 pelajarnya berjaya ditempatkan di pusat-pusat pengajian tinggi di luar negara tahun ini.

Daripada jumlah itu Universiti Al-Azhar di Mesir menerima 553 orang pelajar manakala universiti-universiti di Jordan menerima 75 pelajar dan dua orang di Indonesia.  Beberapa orang pelajar YIK dari luar Kelantan juga turut terpilih.

YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan hadir dan memberi mandat di  majlis meraikan pelajar-pelajar yang berjaya itu bersama-sama keluarga mereka, yang telah diadakan di JKR 10, Kota Bharu 17 Ogos lalu.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan, Ustaz Muhammad Daud, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, YB Ustaz Abdullah Yakub dan ADUN Banggol Judah, YB Ustaz Yahya Othman, mewakili YB Timbalan Menteri Besar turut meraikan pelajar-pelajar berkenaan.

Di majlis yang sama 25 orang pelajar menerima sijil setelah menamatkan pengajian di Maahad Dakwah wal-Imamah, sebuah institusi kelolan YIK.  Lulusan Maahad ini dibolehkan memasuki tahun tiga di dalam mana-mana bidang di bawah Fakulti Usuluddin  di universiti al-Azhar.  Dua daripada mereka akan ke China.

Penolong Pengarah YIK (Hal-Ehwal Pelajar), Ustaz Mustapha Rashidi, memberi taklimat tentang persiapan keberangkatan kepada pelajar-pelajar berkenaan di majlis tersebut.  Dua agensi penerbangan juga mengadakan kaunter di situ bagi para pelajar membuat tempahan penerbangan.
Menurut Ustaz Mustapha urusan dibuat oleh YIK sebaik-baik sahaja keluar keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Ugama dan Sijil Pelajaran Malaysia bagi mendaftarkan para pelajar ke universiti al-Azhar dan ke universiti di Jordan.

Pelajar-pelajar yang terpilih ke Mesir telah diberikan kursus bahasa Arab selama tiga bulan dan menyertai program tarbiyah sebanyak tiga kali. Bagi pelajar ke Jordan, mereka juga diberikan kursus bahasa Arab yang akan berakhir pada 9 September ini.

Beliau berkata, para pelajar ke Mesir akan berlepas di dalam empat rombongan dengan penerbanan MAS, iaitu pada 24 Ogos, 31 Ogos, 3, 7 dan 19 September dari Kota Bharu.
Pelajar ke Jordan pula akan berlepas pada 13 September.


HOME