Tidak halang permohonan tanah  bagi pengajian Islam

PIMPINAN Kerajaan Negeri sekarang tidak ada halangan untuk meluluskan mana-mana permohonan tanah kerajaan bagi tujuan mendirikan pusat pendidikan Islam sekiranya pihak penganjur berkenaan menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan untuk menjayakan projek mereka.
Demikian diberitahu oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat di dalam ucapannya ketika merasmikan bangunan Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat di Repek, Pasir Mas pada 18 Ogos lalu.

Beliau berkata kelulusan yang hendak diberikan itu bergantung kepada kelulusan terlebih dahulu oleh jabatan-jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar dan jabatan lain yang mempunyai kuasa ke atas tanah berkenaan.

Di majlis itu beliau turut melancarkan pungutan derma bagi pembinaan Maahad itu.
Maahad Tahfiz yang dirasmikan oleh beliau adalah didirikan di atas tanah terbiar milik kerajaan seluas lebih 11 ekar.  Tanah berkenaan pada asalnya ialah padang ragut ternakan haiwan yang terletak di bawah Jabatan Haiwan.

Menurut Pegawai Jajahan Pasir Mas  yang turut berucap di majlis tersebut, pihak penganjur Maahad, Ustaz Subki Abd. Rahman, telah memohon tanah itu melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.  Rundingan telah dibuat dengan pihak Jabatan Haiwan untuk melepaskan tanah itu.
Katanya, Jabatan Haiwan sanggup melepaskannya setelah diberi jaminan kawasan ragut gantian disediakan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan.

Pengerusi  yang juga penganjur Maahad Tahfiz tersebut,  Ustaz Subki Abd. Rahman, berkata beliau telah memohon tanah terbiar  yang dikhaskan sebagai padang ragut di bawah Jabatan Haiwan bagi mendirikan Maahad.

Menurutnya, dengan sokongan banyak pihak, Maahad sekarang mempunyai bangunan  tempat belajar, bangunan asrama dengan 26 buah bilik dilengkapi bilik air, masjid dan rumah guru.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga telah membantu dengan memberi peruntukan RM20,000 bagi menurap tar di jalan kawasan Maahad.

Ketika ini Maahad tersebut mempunyai 36 orang pelajar termasuk yang datang dari beberapa negeri di dalam Malaysia.

Maahad ini ditubuhkan mengikut gabungan sistem pendidikan pondok dan pusat tahfiz.


HOME