Kerajaan Kelantan berusaha wujudkan ramai pelapis pimpinan Islam

YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar berkata, Kerajaan Kelantan sentiasa berusaha mewujudkan ramai  pelapik untuk menyebarkan Islam dan meletakkan mereka di tengah-tengah kesibukan orang yang mengejar keduniaan dan harta benda.

Katanya, orang Melayu yang Islam telah banyak terpengaruh dengan ajaran, fikiran dan cara hidup ‘mat salleh’ iaitu penjajah walaupun mereka sudah balik ke negeri mereka.

“Atas sebab itu kita terpaksa kukuhkan balik pelapik untuk mengukuhkan iman umat Islam dan mengajak mereka kepada membangun bersama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Maahad Tahfiz Darul Quran wal Qiraat di Repek, Pasir Mas, 18 Ogos lalu serta melancarkan pungutan derma bangunan sekolah itu.

Beliau menyeru para pelajar  supaya menuntut ilmu atas dasar taqwa kepada Allah.
Katanya, perkara mungkar jangan sekali-kali dibenarkan bertapak di kampung dan di negeri kita kerana  kemungkaran susah hendak dihapuskan apabila sudah bertapak.

Beliau mengambil contoh bagaimana pencegahan yang dibuat oleh jabatan agama di sebuah negeri terhadap peserta Islam di pertandingan ratu cantik telah menjadi heboh dan ditentang kerana kemungkaran tersebut telah dibiar bertapak begitu lama di dalam masyarakat.


HOME