Exco sampaikan bantuan

Seramai 130 penduduk miskin dan tidak berupaya di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kemuning menerima bantuan kebajikan Kerajaan Negeri di dalam majlis yang diadakan di masjid Kampung Temangan Lama, 24 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum, YB Ustaz Hassan Muhammad, menyampaikan bantuan bulanan bernilai antara RM50--Rm90. Bantuan yang turut disampaikan ialah sepuluh buah basikal untuk murid-murid sekolah daripada keluarga kurang berkemampuan.

Beliau dan isteri juga turut memberi sumbangan peribadi berupa hamper kepada mereka.

Para penerima sumbangan hadir dengan diiringi oleh penghulu kawasan masing-masing.  Mereka juga diraikan dengan jamuan makan tengahari.

Di dalam ucapannya, Ustaz  Hassan menyatakan bahawa walaupun sumbangan itu sedikit tetapi ia tetap bermakna sebagai  bukti Kerajaan Kelantan telah  menunaikan tanggungjawab setakat yang termampu.

Beliau menyeru rakyat Kelantan supaya memahami tentang sumbangan-sumbangan besar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat sepertimana yang dilakukannya di dalam bidang pendidikan.

Menurut Ustaz Hassan, setiap tahun Kerajaan Kelantan menanggung belanja lebih RM29 juta untuk menampung lebih 90 buah sekolah agama/Arab termasuk membayar gaji para gurunya.
Berbagai-bagai lagi kemudahan rakyat telah dapat diadakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan sekarang sungguhpun sumber hasil yang diterima oleh Kerajaan Negeri amat terhad.

“Apa yang perlu daripada rakyat sekarang ini ialah rakyat wajar sekali terus memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri dan para pemimpinnya bagi meneruskan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab bagi faedah rakyat,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa perjumpaan dan penyampaian sumbangan ini adalah sebagai tanda muhibbah  bersama-sama rakyat sempena perlantikan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri.
“Kedatangan saya kali ini bukan sahaja sebagai Ahli Dewan Undangan kawasan Kemuning tetapi sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri.  Oleh itu tugas saya sekarang bukan sahaja untuk berkhidmat kepada rakyat DUN Kemuning tetapi juga kepada rakyat seluruh negeri Kelantan,” katanya. 


HOME