Datuk Bandar Granada balas kunjungan MB

DATUK Bandar Granada, Sepanyol, Jose Gabriel Diaz Berbel, berkunjung ke Kelantan pada 22 Ogos lalu sebagai membalas kunjungan Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang turut melawat Sepanyol ketika bercuti ke Eropah pada Jun lalu.

Ketika berada di Sepanyol YAB Tuan Guru melawat bandar Granada dan menerima lambang kehormat bandar itu daripada Datuk Bandarnya, Jose Gabriel Diaz.  YAB Tuan Guru juga diberikan kesempatan oleh beliau untuk menunaikan solat di masjid Granada yang kini dijadikan muzium.
Granda ialah pusat empayar dan tamadun Islam Andalusia sehingga kejatuhan Islam di sana pada kurun ke-16.

Datuk Bandar itu, seorang Kristian, amat tertarik dengan suasana toleransi kaum dan agama yang berlaku di Kelantan.  YAB Tuan Guru Menteri Besar meraikan beliau di majlis makan tengahari di JKR 10, yang disertai tetamu lain terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan agama.

Datuk Bandar Granada itu bersama-sama isterinya, Madame Muella, telah dibawa melawat beberapa tempat menarik di Kelantan seperti Tok Bali, Pasir Puteh, Muzium Negeri, kilang songket di Penambang dan Gunung Stong, Dabong.

Di Tok Bali, Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Haji Wan Yahya Wan Salleh, memberikan taklimat tentang pembangunan yang akan dilaksanakan bagi menjadikan Tok Bali sebagai bandar baru yang lengkap dengan pusat pendaratan ikan, industri berasaskan makanan laut, pelayaran pelancongan dan perumahan.  Pelaksanaan projek ini dijangka disertai juga syarikat dari Sepanyol.

Datuk Bandar itu berkata  Kelantan mempunyai banyak keistimewaan tersendiri bagi menarik pelancong, khususnya di Kota Bharu manakala Tok Bali mempunyai pemandangan mirip pantai peranginan di Laut Mediterranean.


HOME