Buat kerja untuk dijadikan landasan ke syurga - MB

MENTERI Besar Kelantan , YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata segala jenis kerja dan jawatan yang dipegang boleh dijadikan landasan untuk ke syurga sekiranya mengikut Islam yakni bekerja kerana Allah, bukan kerana mahukan upah atau ganjaran..

Umpamnya, apabila memegang sesuatu jawatan sama ada besar atau kecil hendaklah disempurnakan berdasarkan apa yang ditetapkan oleh Islam dan mengelak dari segala yang ditegah seperti rasuah, salah guna kuasa, cuai, poteng dan sebagainya.

Bercakap ketika memberi amanat kepada pegawai-pegawai kerajaan sempena lawatan kerjanya ke Jajahan Tumpat baru-baru ini, beliau berkata setiap orang sebagaimana mereka mahukan segala kesenangan, ketenangan dan kenikmatan di dunia, mereka juga mahukan kesejahteraan di alam abadi.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, D.O., MB, PM, Menteri, ketua jabatan, kerani, penggawa, budak pejabat, ahli korporat, ahli politik dan sebagainya berhak masuk syurga andainya jawatan yang digunakan sebagai landasan ke arah itu di samping mengerjakan segala suruhan Allah seperti sembahyang, puasa, bayar zakat, tunai haji dan sebagainya.

“Kalau jadi D.O. Islamikkan jawatan D.O., kalau jadi wakil rakyat Islamikkan jawatan wakil rakyat, kalau jadi PM Islamikkan jawatan PM, kalau jadi menteri Islamikkan jawatan menteri, kalau jadi ahli korporat Islamikkan kerja itu, kalau jadi penggawa, penghulu, guru, ahli sains, pakar ekonomi atau bekerja sendiri, maka Islamikanlah, insya' Allah ianya akan dapat membantu penjawatnya ke syurga,” ujaranya.

Beliau berkata untuk dapatkan formula pengislamikan itu masing-masing mestilah rajin membaca dan mendalami al-Quran dan Hadis.

“Hidup di dunia, kalau asyik duduk bersila tanpa buat kerja tetapi berangan-angan mahu jadi kaya, sampai mati pun segala impian tidak akan kesampaian....begitulah juga untuk hidup di akhirat nanti, apa yang diimpikan tidak akan kesampaian jika usaha untuknya tidak dibuat,” jelasnya.

Tambahnya, jika untuk hidup senang di dunia perlu bekerja kuat sama ada menggunakan tenaga mahupun kemahiran otak, maka untuk mendapatkan kesenangan dan kesejahteraan di akhirat otak dan tenaga perlu digunakan sama ada di kalangan orang makan gaji, kerja sendiri, peniaga mahu pun ahli politik.

Jika bermatian-matian belajar pun masih gagal menggali apa yang ada dalam al-Quran dan Hadis, maka belajarlah dengan para ilmuan yang dalam Islam disebut ulamak atau bahasa sekarang disebut cendekiawan, bukannya merujuk kepada teori-teori barat hasil rekaan manusia yang dijadikan oleh Allah.

Tuan Guru yakin jika setiap umat Islam mempelajari dan memahami isi kandungan al-Quran yang mengandungi 6,666 ayat dengan II4  Surah dan sekitar 1.2 juta huruf, tidak akan berani melakukan sebarang kesilapan walaupun sebesar kuman di samping mereka tidak akan menghadapi kesulitan untuk mencapai impian di dunia dan akhirat.

Tetapi, tambahnya, jika isi kandungan al-Quran dikesampingkan, maka sama ada dia seorang MB, PM, Menteri, polis, askar, cendekiawan, ahli korporat, ahli sains, ahli politik dan sebagainya tidak akan terelak dari tergelincir dalam melaksanakan urusan seharian dan mereka tidak akan dapat sebarang kekebalan di sisi Allah untuk dicampak ke neraka.