Pandu kegiatan seni budaya  dengan hukum halal haram dalam Islam

TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, YB Haji Abdul Halim bin Abdul Rahman, menyeru supaya ditinggalkan seni budaya yang diharamkan Islam sama ada dalam makanan, pakaian dan permainan.
Tohmah pegiat seni budaya bahawa Kerajaan Kelantan tidak majukan budaya adalah tohmahan daripada kekeliruan mereka sendiri kerana tidak memandang kepada perkara halal dan haram dalam Islam.

Katanya, kita tidak benarkan budaya yang akan membawa kita masuk neraka kerana para pemimpin Kerajaan juga boleh masuk neraka jika yang haram di sisi Islam ini kita benarkan.
Misalnya, kata beliau, budaya berpakaian hampir bogel di negara Barat walaupun pada anggapan Barat itu sebagai simbol kemajuan mereka tetapi ia bukanlah sesuatu yang wajar dibawa ke negeri ini kerana Islam mempunyai hukum tentang aurat yang perlu ditutup dengan pakaian.

Oleh kerana budaya itu sendiri mempunyai pengertian yang amat luas, maka banyak ruang dan bidang yang Kerajaan dapat menggalakkan budaya yang berguna, tambah beliau.