MERDEKA DIISI DENGAN SUASANA TAQWA

Belum lagi dikatakan merdeka sesuatu negara yang  tidak berlandaskan baldatun toyibatun warrabun  ghafur. Kemerdekaan yang tidak diisi dengan suasana taqwa kepada Allah SWT. adalah kemerdekaan pada sangkaan sahaja, bukan kemerdekaan sebenar. Berapa banyak negara yang saban tahun merayakan sambutan hari kemerdekaan tetapi negara-negara itu terus di bawah kongkongan kuasa-kuasa besar secara rela ataupun tidak.

Kegawatan ekonomi yang dialami banyak negara Asia Timur sekarang adalah seluruhnya disebabkan oleh penyalahgunaan dan penyelewengan terhadap kemakmur-an yang Allah telah anugerahkan kepada mereka.  Adalah malang negara-negara umat Islam yang dilanda kegawatan ini telah memberi kekuatan baru kepada bekas penjajah atau sekutu-sekutu penjajah itu kerana menuruti dengan membuta tuli segala cara dan keinginan bekas penjajah itu. Mungkin pada lahir mereka menentang penjajah tetapi dari segi pengisian mereka sehati sejiwa dengan bekas penjajah itu.

Sebab inilah negara-negara ini telah merosakkan keperibadian diri kerana menjadikan sistem-sistem sekular yang ditiru daripada bekas penjajah mereka sebagai landasan dan gerak kerja kehidupan mereka.

Rakyat negara-negara begini umumnya tidak mengenal diri sendiri, bercelaru dalam menentukan keperibadian bangsa dan negara, lebih suka meniru-niru gaya hidup dan cita-cita negara dan bangsa yang dianggap lebih kaya dan kuat daripada mereka dari segi kebendaan. Mereka lupa membeza-bezakan baik dan buruk dalam menggariskan nilai-nilai kemanusiaan dan kenegaraan sebab tidak ada idealisme hendak menegakkan negara yang dikatakan negara yang baik dan mendapat keampunan Allah.  Mereka masih tidak terlepas daripada idealisme bekas penjajah mereka itu sendiri malah mendewa-dewakan idealisme bekas penjajah itu. Apabila peniruan dibuat oleh negara bekas tanah jajahan ini, dominasi penjajah itu dikekalkan. Melalui keseragaman idealisme yang dibentuk negara bekas penjajah dapat terus mencengkam bekas tanah jajahan kerana mereka telah berjaya mengumpulkan ramai tali barut yang pandai menyambungkan rangkaian kawalan jauh daripada negara tuan kepada negara hamba.

Kemakmuran negara yang berada dalam suasana taqwa adalah kemakmuran yang tidak sia-sia, tidak membazir dan tidak melakukan apa-apa kerosakan di muka bumi.  Kemakmuran dalam taqwa adalah kemakmuran yang sentiasa mendapat rahmat daripada Allah SWT.  yang mencipta langit dan bumi serta segala isinya. Kemakmuran sebegini adalah kemakmuran yang berteraskan agihan yang saksama kepada sekalian penghuni bumi ini, yang menentang dengan tegas sebarang pembolotan, pembazir-an dan kerosakan terhadap sumber-sumber kemakmuran itu. Islam tidak pernah membentuk kuasa melalui penjajahan.

Empayar Islam yang dikembangkan melalui sistem pemerintahan khalifah amat jauh bezanya daripada apa yang wujud pada zaman moden sebagai empayar British, empayar Belanda, empayar Sepanyol, empayar Portugis, empayar Perancis, empayar Amerika Syarikat dan lain-lainnya. Negara-negara yang dikatakan sebagai takluk dalam susunan kuasa khalifah adalah merupakan negara-negara bebas yang dijalin hubungannya dengan khalifah semata-mata atas dasar taqwa kepada Allah melalui ikatan pertalian dan persaudaraan Islam semata-mata kerana Allah. Dengan demikian politik, ekonomi, budaya negara-negara dan bangsa-bangsa umat Islam yang dinaungi khalifah adalah negara-negara bebas dan merdeka. Atas cirinya yang sebegini persaudaraan Islam sebenarnya adalah satu gugusan politik, ekonomi dan budaya yang masing-masingnya merdeka tetapi diikat pada tali Allah atas dasar taqwa.  Melalui kaaedah ini terbentuklah ummah yang bercita-cita atau mempunyai idealisme politik, ekonomi dan budaya bercirikan baldatun toyibatun warrabbun ghafur untuk ditegak dan diisi dalam suasana taqwa kepada Allah.