TUAN GURU MB KELANTAN LAKUKAN LARIAN BATON KE TERENGGANU

BATON Sukan Komanwel Kuala Lumpur 98 yang diarak dengan larian ahli-ahli sukan menerusi Negeri Kelantan telah diserahkan ke negeri Terengganu pada 1 September lalu oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Haji Abdul Aziz bin Nik Mat dalam satu upacara di Bukit Yong, sempadan Kelantan-Terengganu.

Di Bukit Yong, walaupun hujan, Tuan Guru Dato' Menteri Besar Kelantan dengan penuh semangat kesukanan telah melakukan larian baton itu kira-kira seratus meter dari sempadan sebelah Kelantan untuk disambut oleh Ahli Exco Kerajaan Terengganu, YB Datuk Abdul Rashid Ngah.

Pada 31 Ogos lalu, serentak dengan upacara sambutan Hari Kemerdekaan Ke-41di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Menteri Besar Kelantan telah menerima baton itu untuk diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kerajaan Kelantan yang menyerahkannya pula kepada Ketua Jajahan Kota Bharu sebagai memulakan larian baton peringkat Jajahan Kota Bharu bagi disambung seterusnya ke Bachok dan Pasir Puteh.

Baton yang mengandungi perutusan Ratu Elizabeth II untuk Sukan Komanwel di Kuala Lumpur telah menempuh perjalanan ke negara-negara Komanwel dan sampai di sempadan Kelantan di Jeli dari Perak untuk disambung lariannya merentasi Kelantan.

Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad,  yang dijangka menerima baton itu dari Tuan Guru Dato' Menteri Besar Kelantan tidak dapat hadir di upacara itu. Rombongan dari Kelantan turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan, Belia dan Sukan, YB Abdullah Ya'kub, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, YBM Dato' Tengku Shah Buddin bin Tengku Mohd. Maasom dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.