KEMENANGAN Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan dalam pilihanraya umum tahun 1990 dan perlantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagal Menteri Besar merupakan dua peristiwa penting dalam sejarah politik tanahair.
Dalam sejarah pilihanraya umum di negara kita, belum pernah berlaku parti-parti pembangkang bergabung dan dapat mengalahkan parti pemerintah (Barisan Nasional) lalu menubuhkan sebuah kerajaan negeri. Inilah yang berlaku di Kelantan apabila Angkatan Perpaduan Ummah menang untuk berkuasa dalam pilihanraya tersebut.
Angkatan Perpaduan Ummah bukan sahaja telah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, malah telah memenangi semua (sapu bersih) kerusi yang dipertandingkan untuk Dewan Undangan Negeri dan untuk parlimen di Kelantan.
Dalam sejarah perlantikan Menteri Besar pula belum ada seorang tok guru yang berserban dan berjubah dilantik sebagai Menteri Besar, selain daripada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Inilah yang saya katakan bahawa kemenangan mutlak Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan dan perlantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar merupakan dua peristiwa penting dalam sejarah politik tanahair.
Satu hakikat yang harus diakui ialah kemenangan mutlak yang dicapai oleh Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan itu ada hubung kaitnya dengan kepimpinan dan keperibadian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang dianggap unik dan luar biasa itu.
Ada kalangan yang berpendapat bahawa sekiranya
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak memimpin PAS Kelantan, Angkatan Perpaduan
Ummah tidak akan mencapai kemenangan mutlak sebagaimana yang dicapai dalam
pilihanraya umum tahun 1990 itu.
Pendapat ini disokong pula oleh beberapa
orang wartawan dalam dan luar negeri (termasuk wartawan dari kumpulan akhbar
Utusan Melayu) yang meramalkan bahawa agak sukar bagi UMNO untuk menguasai
semula negeri Kelantan melalui pilihanraya selagi Tuan Guru Haji Nik Abdul
Aziz memegangjawatan Menteri Besar.
Pendek kata, kepimpinan dan pengaruh peribadi
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjadi faktor utama dalam percaturan politik
di negeri Kelantan pada masa kini.
Di dalam buku ini, saya telah mencatatkan
beberapa kisah yang agak menarik mengenai latarbelakang pendidikan Tuan
Guru Haji Nik Abdul Aziz dan latar belakang keluarganya. Bagi saya Tuan
Guru Haji Nik Abdul Aziz ini bukan sahaja sebagai seorang Menteri Besar
dan wakil rakyat yang luar biasa, malah beliau ialah seorang ulama dan
pendakwah yang unik.
Latar belakang pendidikannya tidak sama
dengan Menteri-Menteri Besar lain sebelum ini. Kalau dalam kuliah dan ceramah
beliau sering menekankan soal mendaulatkan Islam maka dalam pentadbiran
di negeri Kelantan juga beliau menitik beratkan soal menegakkan hukum Allah.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak bertindak
dan tidak melakukan sesuatu kecuali untuk kepentingan Islam.
Beliau menemui rombongan pemimpin daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diketuai oleh Encik Lim Kit Siang bukan dengan tujuan untuk berbincang tentang hubungan berpolitik tetapi dengan tujuan untuk menyampaikan pandangan dan ajaran Islam kepada para pemimpin bukan Islam yang berpengaruh itu.
Inilah sifat-sifat keistimewaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang tidak kelihatan pada mana-mana Menteri Besar dan Menteri kerajaan Pusat di negara ini.
Soal yang paling utama dan mencabar yang
dihadapi oleh tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz talah soal melaksanakan hukum
Hudud di negeri Kelantan.
Sebagai seorang Menteri Besaryang mewakili
Parti Islam (PAS) beliau menyambut baik kenyataan dan jaminan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammed bahawa kerajaan Pusat tidak akan menghalang
hasrat kerajaan Kelantan melaksanakan hukum Hudud di peringkat negeri.
Di negara ini, soal perlaksanaan hukum Hudud belum pernah dibincangkan dengan sebegitu serius sebelum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz membangkitkannya walaupun PAS di bawah tiga orang Menteri Besar telah menjalankan pemerintahan di Kelantan selama 18 tahun sebelum dijatuhkan oleh Barisan Nasional pada tahun 1978.
Hanya apabila seorang Menteri Besar dari kalangan ulama dilantik sebagai Menteri Besar, maka barulah perlaksanaan hukum Hudud ini dibincang secara serius sekali. Hakikat inilah yang menjadikan perlaksanaan hukum Hudud menjadi satu perkara yang amat menarik ketika Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memimpin kerajaan Kelantan.
Ekoran daripada azam dan cita-cita kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah yang diterajui oleh PAS di Kelantan hendak melaksanakan hukum Hudud itu maka ramai intelek Islam termasuk pakar undang-undang Islam di Universiti Islam Antarabangsa, Tan Sri Professor Dr. Ahmad Ibrahim, telah memberi pandangan dan tafsiran tentang hukum Hudud itu.
Masyarakat Islam dan bukan Islam telah
mendapat gambaran yang jelas tentang kedudukan hukum Hudud itu melalui
tulisan para intelek islam yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan.
Seorang rakan memberitahu saya bahawa
satu peristiwa yang menarik telah berlaku apabilaTuan Guru Haji Nik Abdul
Aziz berucap di Markaz PAS Tebuk Pulai, Sabak Bernam, Selangor dalam bulan
Mei 1992. Beberapa orang sami Buddha dan ketua masyarakat bukan Islam hendak
mengetahui soal perlaksanaan hukum Hudud dari mulut Menteri Besar Kelantan
itu sendiri lalu mereka duduk di pentas untuk mengikuti ucapan Tuan Guru
Haji Nik Abdul Aziz dengan penuh minat.
Ini semua berlaku kerana rahamat hukum Hudud yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Soal perlaksanaan hukum Hudud ini memberikan kepada kita banyak pengertian dan tanggapan tentang Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagat ulama dan Menteri Besar.
Buku ini juga dimaksudkan untuk memaparkan banyak lagi pengertian dan tanggapan tentang beliau terutama sekali dalam perkara-perkara yang menyentuh keperibadian dan kewibawaan seseorang pemimpin yang sebenar.
Saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim bin Wan Abdullah, yang telah memberi galakan kepada saya untuk menulis buku ini.
Sekiranya tidak ada kerjasama daripada beliau, mungkin sekali saya tidak akan dapat menyiapkan buku ini dalam jangka waktu yang diharapkan.
Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Haji Ismail Abdullah dan Haji (Cikgu) Nik Man bin Nik Mat yang telah memperkenalkan saya kepada keluarga Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka dan Kedai Lalat, Kota Bharu dan di Batu Balai, Jerantut, Pahang.
Kepada Cikgu Haji Tuan Mat bin Tuan Kechik dan Tengku Ja'afar (Ku Par) saya mengucapkan terima kasih kerana banyak membantu dan memberi kemudahan untuk menyiapkan buku ini.
Sebenarnya, buku ini tidak layak dipanggil buku kalau tidak dengan kerjasama dan bantuan daripada bekas Pengarang Harakah, Sdr. Mohd Yusof Jalil. Beliau telah memberi kerjasama dan membantu saya dalam semua bidang untuk menyiapkan buku ini.
Saya harap dan berdoa agar buku ini akan memberi faedah dan manfaat kepada semua golongan masyarakat yang membacanya.
Wassalam, Amin.
Hussain Yaakub
Kuala Lumpur
27 Mei, 1992