Pemilihan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan telah menaikkan imej ulama di kalangan rakyat yang sebelum ini meragui kemampuan seorang ulama untuk mentadbir sebuah kerajaan.
KemampuanTuan Guru Haji Nik Abdul Aziz membuat beberapa perubahan dalam pentadbiran negeri Kelantan selama beliau memegang jawatan Menteri Besar telah mengkagumkan kawan dan lawan.
Tidak ada seorang pun Menteri Besar sebelum ini yang sanggup dan mampu membuat perubahan dalam jangka waktu yang begitu singkat.
Sebelum ini tiada Menteri Besar yang berani bertindak dengan menggunakan kuasa-kuasa pentadbiran negeri untuk menghapuskan semua bentuk judi dan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Tetapi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengambil masa hanya dua bulan sahaja untuk menguatkuasakan larangan kegiatan perjudian dan lain-lain amalan yang bertentangan dengan Islam di negeri Kelantan.
Apa yang menjadi halangan kepada Menteri Besar lain sebelum ini untuk mengharamkan judi adalah kerana takut kepada reaksi masyarakat bukan Islam.
Para Menteri Besar lain berasa khuatir dan bimbang dengan kemungkinan adanya bantahan dan tentangan daripada masyarakat Cina sekiranya tindakan mengharamkan segala bentuk judi itu dilaksanakan.
Tetapi setakat ini, belum ada reaksi yang membimbangkan daripada masyarakat bukan Islam akibat daripada tindakan tegas kerajaan negeri Kelantan mengharamkan judi itu.
Ini bererti bahawa kerajaan Kelantan dan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak menghadapi apa-apa masalah dan halangan daripada masyarakat yang bukan Islam dalam usahanya untuk menghapuskan semula amalan yang mungkar di negeri itu.
Mengikut laporan akhbar tindakan berani Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ini telah mendorong kerajaan-kerajaan negeri lain untuk mengikuti jejak langkah kerajaan Kelantan dalam usaha untuk menghapuskan semua bentuk judi.
Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar bin Wan Ahmad, dikatakan akan bertindak untuk mengharamkan Judi di negeri itu.
Berdasarkan kepada keadaan yang wujud di
Kelantan sekarang, maka jelaslah bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah
dapat membuktikan kepada umum bahawa seorang Menteri Besar yang memakai
serban dan jubah juga mampu untuk membuat perubahan secara lebih berkesan
lagi.
Apa Yang lebih menarik tentang peribadi
Menteri Besar Kelantan yang baru ini ialah beliau dapat mengekalkan identiti
sebagai seorang tok guru dan pendakwah walaupun beliau diberi tugas untuk
menerajui sebuah kerajaan negeri.
Walaupun Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sedang memegang jawatan Menteri Besar Kelantan, namun beliau masih memberi kuliah agama di masjid Pulau Melaka dan meneruskan program dakwahnya sebagaimana yang dilakukan secara tetap sebelum ini.
Kuliah mingguannya secara tetap diadakan di masjidnya di Kampung Pulau Melaka pada malam Khamis dan malam Jumaat, di Dewan Zulkifli Muhammad, Bangunan PAS Kelantan pada pagi Jumaat dan di masjid Kedai Buluh dalam kawasan pilihanrayanya pada malam Sabtu.
Bukan setakat itu sahaja, malah beliau telah menambahkan lagi dua tugas yang tidak rasmi sewaktu memegang jawatan Menteri Besar Kelantan.
Dua tugas yang tidak rasmil yang saya maksudkan ialah berkhutbah Jumaat dan mengimamkan sembahyang Jumaat di masjid-masjid dalam kawasan-kawasan yang dilawatinya secara rasmi atau tidak rasmi.
Sejak memegang jawatan Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz merupakan seorang penceramah agama yang paling popular sekali.
Dan kalau beliau cuba memenuhi semua kehendak orang ramai yang hendak mendengar ceramahnya, maka sudah pasti beliau tidak akan dapat menumpukan masa kepada tugasnya sebagai ketua kerajaan negeri. Permintaan rakyat agar beliau memberi kuliah dan syarahan agama kini sudah tidak dapat dipenuhi lagi kecuali pada majlis-majlis tertentu sahaja kerana beban tugas dan perubahan-perubahan yang hendak dilakukannya, di negeri Kelantan khususnya, amatlah banyak dan berat.
Mengikut hemat saya ucapan-ucapan dan kuliah-kuliah yang diberi oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sekarang ini lebih menarik dan berkesan jika dibandingkan dengan ucapan-ucapan dan kuliah-kuliah yang beliau berikan sebelum menjadi Menteri Besar.
Oleh sebab itulah, jumlah orang ramai yang mengikuti kuliahnya di Bangunan PAS Kelantan pada tiap-tiap pagi Jumaat telah meningkat berlipat ganda dibandingkan dengan kehadiran sebelum beliau menjadi ketua kerajaan.
Jalan Dato' Pati dan jalan-jalan kecil di sekitar Bangunan PAS di Kota Baharu itu terpaksa ditutup kepada semua kenderaan kerana orang ramai bersesak-sesak hendak mengikuti kuliahnya pada setiap pagi Jumaat antara pukul 9.30 hingga 10.30 pagi.
Begitulah kuatnya pengaruh peribadi
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz di kalangan rakyat jelata sejak beliau diberi
amanah untuk menerajui kerajaan negeri Kelantan.
Ucapan-ucapan Tuan Guru Haji Nik
Abdul Aziz yang sering diselitkan dengan perumpamaan dan perbandingan yang
mudah difahami oleh masyarakat telah dapat menarik minat rakyat untuk mengikutinya
tanpa jemu.
Ceramah yang disampaikannya itu mencakupi soal-soal yang berhubung dengan agama, politik dan kemasyarakatan.
Tafsir ayat suci Al-Quran dikaitkannya dengan peristiwa-peristiwa semasa, dan hujah-hujah yang dikemukakan amat menarik dan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat dan golongan.
Dalam satu ceramahnya di Bangunan PAS pada 5 Julai 1991 beliau telah menyebut satu peristiwa di mana seorang ahli perniagaan cuba hendak memberi rasuah kepada seorang pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan.
Menurut Tuan Guru Haji NikAbdul Aziz, pegawai yang berkenaan telah memberitahunya bahawa seorang ahli perniagaan telah meletakkan wang tunai sebanyak $2,000 di atas mejanya dan terus keluar dari pejabat pegawai tersebut tanpa memberi sebarang sebab mengapa wang itu ditinggalkan.
Beliau memerintahkan pegawai tersebut supaya mengeluarkan resit derma Tabung Serambi Makkah kepada ahli perniagaan yang berkenaan, dan menjadikan wang yang ditinggalkan itu sebagai wang derma Tabung Serambi Makkah sahaja.
"Inilah antara cara-cara kita hendak menghapuskan amalan rasuah di negeri ini," kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kepada orang ramai yang mengikuti ceramahnya di Bangunan PAS pada hari itu.
Seorang Menteri Besar yang tidak bertaraf ulama mungkin tidak sanggup mendedahkan perkara itu kepada umum walaupun peristiwa yang seperti ltu sering dialami oleh semua Menteri Besar sebelum ini.
Inilah keistimewaan seorang Menteri Besar yang bertaraf ulama dan Tok Guru yang bernama Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Sebagai seorang Menteri Besar yang mempunyai keyakinan kepada diri sendiri, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sanggup menghadapi para wartawan luar dan dalam negeri setelah beberapa jam sahaja beliau dilantik sebagai Menteri Besar untuk sebuah kerajaan baru kerana Barisan Nasional yang menguasai kerajaan Kelantan baru sahaja dapat ditumbangkan oleh gabungan parti-parti dalam Angkatan Perpaduan Ummah.
Selalunya apa yang paling ditakuti oleh seseorang Menteri Besar yang baru memegang jawatan ialah menghadapi para wartawan untuk diwawancara tentang rancangan-rancangan dan pandangan-pandangannya. Jika Menteri Besar itu merupakan orang baru dengan memimpin sebuah kerajaan yang baru pula, berwawancara dengan para wartawan sudah tentulah menjadi perkara yang amat merisaukan dan terpaksa bersikap terlalu berhati-hati agar tidak berlaku kesilapan dalam membuat kenyataan.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sanggup berdepan dengan para wartawan yang mewakili akhbar-akhbar yang diketahui umum sebagai akhbar-akhbar yang dikuasai oleh parti-parti politik yang memusuhi PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah.
Jawapan-jawapan yang diberi kepada soalan-soalan para wartawan itu telah membuktikan bahawa beliau seorang Menteri Besar yang berkaliber dan mampu berhujah tentang semua persoalan yang ditimbulkan oleh para wartawan itu.
Para pemerhati politik berasa kagum dengan kesanggupan dan kemampuannya untuk berhadapan dengan seorang penulis rencana Kumpulan Akhbar Utusan Melayu, Cik Rosnah Majid, tidak lama selepas beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.
Mungkin beliau menyedari bahawa akhbar kumpulan Utusan Melayu yang diwakili oleh Cik Rosnah itu berkesanggupan untuk memutarbelitkan kenyataan-kenyataannya demi kepentingan pihak tertentu sebagaimana yang sering berlaku, tetapi beliau sanggup berhadapan dengan Cik Rosnah Majid semata-mata kerana kebenaran dan keadilan.
Dua hari berturut-turut akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan Melayu itu menyiarkan wawancara antara Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dengan Cik Rosnah Majid.
Akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Melayu yang menyiarkan wawancara dengan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz itu bolehlah dianggap mengalami jualan paling laris dalam sejarah penjualan akhbar kerana orang ramai begitu ghairah sekali untuk mengikuti pandangan dan pendapat Menteri Besar baru yang memimpin sebuah kerajaan baru.
Saya telah diberitahu bahawa ramai antara pembaca akhbar kumpulan Utusan Melayu yang tidak dapat memiliki akhbar tersebut pada hari itu kerana jumlah orang yang berhajat kepada akhbar itu lebih banyak daripada naskhah yang dibekalkan kepada penjual-penjual akhbar.
Semua golongan masyarakat, termasuk daripada parti-parti lawan, kagum dengan kemampuan dan kebolehan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam wawancara itu.
Sidang pengarang akhbar-akhbar Kumpulan Akhbar Utusan Melayu itu sendiri sudah tidak berpeluang lagi untuk memutarbelitkan kenyataan-kenyataan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam wawancara itu kerana pandangan yang diberikannya jelas dan padat.
Para intelek, walaupun dari kalangan intelek Islam yang sering mengkritik hujah-hujah ulama, tidak mempertikaikan hujah-hujah yang diberi oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang tersiar di dada-dada akhbar tersebut.
Kemampuan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh wakil Utusan itu sekaligus telah dapat menghilangkan keraguan para pemerhati politik kepada kebolehan seorang Menteri Besar yang berserban dan berjubah.
Sebelum kemunculan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan, ada golongan yang beranggapan bahawa hanya seseorang tokoh politik yang berpakaian barat seperti kot atau bush jacket sahaja yang berhak dan layak menduduki kerusi ketua kerajaan.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah dapat memecahkan rekod dan tradist itu kerana walaupun dengan memakat serban dan kain sarung sahaja bellau masih boleh menduduki kerusi Mentert Besar dan melaksanakan peranannya sebagai ketua kerajaan dengan kewibawaan dan pengaruh yang mantap.
Kehadiran Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ke Persidangan Raja-Raja Melayu tidak lama selepas mula menjadi Menteri Besar, dengan memakai serban dan jubah, telah mengkagumkan rakyat Malaysia kerana selama ini ramai yang menganggap bahawa orang yang memakai serban dan jubah itu kelayakannya hanya untuk membaca doa sahaja di majlis-majlis seumpama itu.
Kehadiran beliau ke persidangan penting itu bukanlah untuk membaca doa atau menyempurnakan istiadat agama yang biasa tetapi adalah kerana mengiringi Sultan Kelantan sebagai penasihat dan ketua kerajaan negeri dalam perbincangan di Persidangan Raja-Raja Melayu itu.