Sikap berkecuali yang diambil oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam percaturan politik tanahair ketika baru pulang dari Mesir telah mendapat perhatian daripada Jabatan Kelas Dewasa peringkat Negeri Kelantan.
Secara kebetulan pula pada tahun 1962, iaitu tahun Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pulang ke tanahair darl Mesir, Kementerian Pembangunan Luar Bandar di bawah pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak telah menubuhkan kelas dewasa di seluruh negara.
Tujuan penubuhan Kelas Dewasa ini ialah untuk membasmi buta huruf di kalangan masyarakat luar bandar.
Kalau tidak salah ingatan saya, pelancaran Pelajaran Kelas Dewasa di bahagian negeri-negeri Pantai Timur telah diadakan di Nam Tho Hotel, Kuala Terengganu pada pertengahan tahun 1962.
Semua pemimpin UMNO dari negeri-negeri Pantai Timur telah berada di Kuala Terengganu pada waktu itu untuk mengikuti pelancaran Kelas Dewasa yang telah menjadi satu unit penting dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Penyelia-penyelia Kelas Dewasa ini dipilih dan dilantik dari kalangan para pemimpin UMNO di peringkat perhubungan negeri dan bahagian. Guru-gurunya pula diambil daripada ketua-ketua cawangan UMNO.
Tiada seorang pun daripada parti pembangkang diambil untuk berkhidmat dengan Jabatan Kelas Dewasa ltu.
Walaupun pada zahirnya Kelas Dewasa itu diwujudkan dengan tujuan untuk membasmi buta huruf di kalangan masyarakat luar bandar, tetapi jabatan itu sebenarnya menjadi alat kegiatan UMNO dengan berselindung di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Semua kakitangan Kelas Dewasa daripada jawatan penyelia hinggalah kepada gurunya telah diarahkan supaya memperkuatkan kedudukan UMNO di semua peringkat.
Pada awal penubuhannya, Jabatan Kelas Dewasa ini tidak menyediakan kelas agama dan tidak ada tokoh agama diambil bekerja dengannya.
Selepas kira-kira tiga tahun penubuhannya barulah jabatan ini mengadakan jawatan Penyelia Kelas Agama Dewasa. Guru-guru agama telah diambil bertugas sebagai Penyelia Kelas Dewasa Agama di negeri Kelantan dan di negeri-negeri lain.
Oleh kerana negeri Kelantan pada waktu ltu dikuasai oleh PAS maka tidak ramai guru agama di negerl itu yang bersedia untuk berkhidmat dengan Kelas Dewasa.
Guru agama dan ustaz yang menyokong PAS sudah pasti tidak akan diambil untuk berkhidmat dengan sebuah badan yang dicipta khas untuk memberi pekerjaan kepada orang-orang UMNO sahaja.
Hanya guru agama atau ustaz yang menjadi ahli UMNO atau yang dianggap bebas dari segi politik atau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sahaja yang akan diberi keutamaan untuk mengisi jawatan pensyarah agama Kelas Dewasa.
Di atas asas inilah para pegawai kanan Kelas Dewasa Negeri Kelantan cuba mendekati Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz supaya beliau dapat memberi khidmat kepada kelas agama itu.
Oleh kerana Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri tidak boleh membuat keputusan tanpa memperolehi persetujuan daripada ayahandanya terlebih dahulu maka terpaksalah Penyelia-Penyelia Kanan Kelas Dewasa itu menemui ayahandanya di Pulau Melaka.
Penyelia-penyelia kanan Kelas Dewasa yang ditugaskan untuk menemui Tuan Guru Haji Nik Mat Alim telah diberitahu bahawa beliau tidak akan membenarkan anaknya berkhidmat dengan mana-mana jabatan kerajaan atas dasar makan gaji.
Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat Alim telah menegaskan berkali-kali bahawa tujuannya menghantar Haji Nik Abdul Aziz ke luar negeri bukanlah untuk menjadikannya seorang yang makan gaji. Haji Nik Abdul Aziz dikehendaki oleh beliau supaya menjadi guru dan pendakwah bagi menyebarkan ajaran Islam yang sebenar setelah kembali darl India dan Mesir.
Tuan Guru Haji Nik Mat Alim tidak akan membenarkan anaknya itu berkhidmat dengan Jabatan Kelas Dewasa kalau sekiranya perkhidmatan itu dianggap sebagai makan gaji daripada pemerintah.
Seorang bekas penyelia Kelas Dewasa Kelantan, Cikgu Basir Rashid, memberitahu saya bahawa beliau dan Pengelola Kelas Dewasa Kelantan, Cikgu Razali Yusof, telah ditugaskan untuk memberi penjelasan kepada allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat Alim bahawa jawatan guru agama dewasa itu bukanlah jawatan yang gajinya dibayar oleh pemerintah.
"Saya terpaksa menjelaskan kepada ayah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bahawa elaun yang dibayar kepada pensyarah-pensyarah agama Kelas Dewasa itu ialah untuk membeli minyak kereta dan belanja-belanja lain. Saya telah memberi penjelasan bahawa pembayaran elaun untuk kenderaan dan makan minum ketika bertugas itu bukan dilstilahkan sebagai ‘bayaran gaji tetap’ bulanan.”
Setelah diberi penjelasan begitu barulah beliau faham dan percaya bahawa jawatan pensyarah agama itu bukan sebagai jawatan kerajaan atau pemerintah,"Jelas Cikgu Basir.
Sekalipun begitu, AllahyarhamTuan Guru Haji Nik Mat tidak memberi kata putus sama ada Haji Nik Abdul Aziz dibenarkan berkhidmat dengan Jabatan Kelas Dewasa itu atau tidak. Beliau mahu berunding dengan beberapa orang rakan karibnya terlebih dahulu sama ada mereka boleh bersetuju atau tidak.
Tuan Guru Haji Nik Mat masih memerlukanketerangan dan penjelasan yang lebih lanjut daripada pihak-pihak yang berkenaan sama ada Haji Nik Abdul Aziz akan diberi kebebasan untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang-orang kampung atau pun tidak sekiranya beliau menerima jawatan yang ditawarkan itu.
Walaupun beberapa orang penyelia kelas dewasa telah menemuinya untukmemberi jaminan bahawa Haji Nik Abdul Aziz bebas untuk menyebarkan ajaran agama Islam apabila beliau menerima jawatan itu, tetapi AllahyarhamTuan Guru Haji Nik Mat masih belum yakin dengan jaminan itu.
Antara rakan-rakan dan sahabat karibnya yang diminta untuk memberi fikiran dan pendapat tentang perkara itu ialah Cikgu Ismail Omar, Pengkalan Datu atau yang lebih terkenal dengan panggilan Cikgu Wil.
Cikgu Wil ini bukan sahaja rapat hubungannya dengan keluarga Tuan Guru Haji Nik Mat Alim, malah beliau merupakan seorang sahabat karib Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pada waktu itu.
Oleh kerana rapatnya hubungan antara mereka, maka seorang penyelia Kelas Dewasa bahagian Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa), Encik Jaaar, telah meminta jasa baik Cikgu Wil untuk memujuk Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz supaya menerima jawatan pensyarah agama Kelas Dewasa.
Encik Jaafar telah memberi jaminan kepada Cikgu Wil bahawa tidak ada unsur politik dalam soal pemilihan dan perlantikan seorang ulama untuk mengisi jawatan pensyarah agama Kelas Dewasa itu.
Cikgu Wil berasa belum yakin dengan jaminan yang diberi oleh penyelia Kelas Dewasa bahagian Kelantan Hilir itu, lalu beliau pergi menemui pegawai yang lebih kanan lagi, iaitu Timbalan Pengelola Kelas Dewasa Negeri Kelantan, Cikgu (sekarang Datuk) Muhammad Haji Ali, untuk mendapat penjelasan lebih lanjut.
Cikgu Muhammad Haji Ali telah memberi jaminan
kepada Cikgu Wil bahawa tidak ada muslihat politik dalam usaha untuk memujuk
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz supaya dapat memberi khidmat kepada kelas
agama anjuran Kelas Dewasa Negeri Kelantan itu.
Dengan jaminan yang diberi oleh Cikgu
(Datuk) Muhammad Haji Ali itu, barulah beliau berasa yakin bahawa tidak
ada syarat politik yang akan dikenakan sekiranya Tuan Guru Haji Nik Abdul
Aziz menerima jawatan tersebut.
Menurut Cikgu Wil, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga diberikan kebebasan untuk menyampaikan pelajaran Al-Quran dan Hadith kepada orang kampung dalam menjalankan tugasnya sebagai pensyarah agama Kelas Dewasa.
Dengan keyakinan itu juga beliau memberi jaminan kepada keluarga Tuan Guru Haji Nik Mat bahawa Jabatan Kelas Dewasa Negeri Kelantan tidak akan memperalatkan Haji Nik Abdul Aziz untuk kepentingan politik UMNO dan kerajaan Pusat.
Beliau juga merayu kepada Tuan Guru Haji Nik Mat supaya membenarkan anaknya berkhidmat sebagai pensyarah agama Kelas Dewasa.
Jaminan dan rayuan Cikgu Wil itu telah dapat meyakinkan Allahyarham Haji Nik Mat Alim dan akhirnya Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberi persetujuan untuk berkhidmat di bawah Jabatan Kelas Dewasa dengan tujuan untuk menyebarkan ajaran Al-Quran dan Hadith secara lebih meluas lagi di kalangan rakyat Kelantan.
Yang paling menarik sekali dalam soal tawar-menawar jawatan pensyarah agama Kelas Dewasa itu ialah bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak pernah menimbulkan persoalan berapa gaji dan elaun yang akan diterimanya.
Apa yang dipersoalkannya secara bersungguh-sungguh ialah kebebasan menyebarkan ajaran Islam mengikut Al-Quran dan Hadith.
"Inilah keistimewaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kalau hendak dibandingkan dengan kebanyakan ulama lain. Dan tujuan beliau menerima jawatan itu pun bukan kerana wang ringgit tetapi kerana hendak menyebarkan ajaran agarna Allah secara lebih meluas dan berkesan lagi," tegas Cikgu Wil.
Cikgu Wil seterusnya menekankan bahawa kalaulah tidak kerana tujuan untuk menyampaikan ajaran Islam yang termaktub dalam Al-Quran dan Hadith, maka sudah pasti Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak mahu menerima jawatan tersebut kerana sebelum itu beliau dikatakan pernah menolak beberapa jawatan lebih tinggi yang ditawarkan kepadanya.
"Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mahu menggunakan segala kemudahan yang diberi oleh pihak yang berkenaan itu untuk mendekatkan umat Islam kepada ajaran Al-Quran dan Hadith," tambah Cikgu Wil lagi.
Cita-cita almarhum ayahandanya dan beliau sendiri sejak dulu lagi menghendaki supaya umat Islam meletakkan ajaran Al-Quran dan Hadith di pengkalan hati dan menolak semua ajaran yang dinamakan lslam tetapi tidak berasaskan Al-Quran dan Hadith.
“Memang kita harus akui bahawa umat Islam umumnya telah lari jauh daripada ajaran Al-Quran dan Hadith. Dan adalah menjadi satu tanggungjawab setiap alim ulama untuk mengajak umat Islam supaya kembali semula kepada ajaran Al-Quran dan Hadith. Dengan maksud dan tujuan untuk menyebarkan ajaran Islam yang termaktub dalam Al-Quran dan Hadith itulah, maka beliau menerima jawatan sebagai pensyarah agama Kelas Dewasa tanpa gaji", jelas Cikgu Wil lagi.
Bekas Penyelia Kanan Kelas Dewasa Kelantan, Cikgu Basir Rashid, memberitahu saya bahawa jawatan 'pensyarah agama' itu diwujudkan dengan kehendak dan permintaan guru-guru Kelas Dewasa di seluruh negeri Kelantan.
"Elaun yang dibayar kepada pensyrah-pensyarah agama itu ialah hasil daripada kutipan derma para guru Kelas Dewasa seluruh negeri Kelantan.
"Tuan Guru haji Nik Abdul Aziz tidak dianggap sebagai kakitangan Jabatan Kelas Dewasa yang duduk di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar," kata Cikgu Basir.
Kalaulah benar apa yang dikatakan oleh
Cikgu Basir itu maka jelaslah bahawa elaun bulanan yang dibayar kepada
pensyarah-pensyarah agama Kelas Dewasa itu bukannya wang daripada kerajaan
Pusat sebaliknya wang itu ialah derma daripada para guru Kelas Dewasa yang
amat memerlukan tenaga alim-ulama untuk
menguatkan keyakinan rakyat kepada rancangan Kelas Dewasa.
Para guru Kelas Dewasa itu menyedari bahawa sebarang projek atau rancangan tidak akan mendapat sokongan rakyat tanpa penyertaan alim-ulama, khususnya ulama seperti Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.
Atas kesedaran itulah jawatan pensyarah agama diwujudkan dalam Jabatan Kelas Dewasa negeri Kelantan.
Antara guru-guru agama yang dilantik sebagai pensyarah agama Kelas Dewasa bersama-sama dengan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ialah Haji Yaakub Cik Tengah Macang, Haji Leh, adik Mufti Haji Nur dan Haji Leh Bunuhan.
Nama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai seorang pensyarah agama Kelas Dewasa masih segar dalam ingatan para penyelia Kelas Dewasa dalam tahun 1960an dulu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negerl (ADUN) Machang, Ustaz Ibrahim Muhammad, pernah menjadi penyelia Kelas Dewasa sewaktu Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjadi pensyarah Kelas Dewasa Agama. Beliau memberitahu saya bahawa dalam satu lawatan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar ke Machang pada awal tahun 1991, beliau sempat bermesra dengan Menteri Besar itu di dalam satu majIis meraikannya.
"Di mana sahabat kita Haji Yaakub Cik Tengah?” tanya Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kepada bekas ADUN itu.
"Haji Yaakub masih sihat dan masih mengajar lagi,” jawab Ustaz Ibrahim.
Demikianlah, sesudah lama masa berlalu dan ketika memegang jawatan Menteri Besar pula, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz masih ingat akan rakan-rakan yang sama-sama bertugas di bawah Jabatan Kelas Dewasa dalam tahun 1960an dulu. Begitulah gambaran sikap dan sifat seorang yang merendah diri.
Beberapa orang bekas penyelia Kelas Dewasa yang ditemui di Kelantan telah menyatakan rasa kagum dengan sikap jujur dan ikhlas yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sewaktu beliau bertugas sebagai pensyarah agama Kelas Dewasa dulu.
Cikgu Basir Rashid yang memainkan peranan
penting dalam mengajak Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bertugas sebagai pensyarah
di Kelas Dewasa Agama itu, tidak putus-putus menceritakan kepada saya tentang
sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.