Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah kerana dapat berkumpul beramai-ramai pada pagi ini dan didewan yang sebegini besar untuk sama-sama menghadiri kursus motivasi anjuran Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Negeri Kelantan pada tahun ini. Kursus seperti ini adalah digalakkan oleh pihak kerajaan untuk diadakan sekurang-kurangnya sekali setahun dengan tujuan untuk mempertingkatkan lagi prestasi kerja harian kita disamping kita dapat menilai kelemahan dan masalah yang kita hadapi sepanjang tahun ini bagi membolehkan kita mengatur strategi baru untuk memperbaiki kelemhan tersebut. Perkara seperti ini amat perlu, terutama Jabatan ini juga ditugaskan untuk memainkan peranan yang penting kearah matlamat kerajaan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bertaqwa. Perjumpaan yang sebegini adalah digalakkan dalam Islam sendiri untuk mengiratkan lagi ukhuwah Islamiah dikalangan pegawai-pegawai dan kakitangan serta petugas-petugas di jabatan ini. Didalam Islam disunatkan sembahyang jemaah lima kali sehari, dan diwajibkan sembahyang jumaat bagi orang lelaki. Ini merupakan satu gambaran bahawa perhimpunan adalah merupakan keperluan bagi umat Islam untuk semua peringkat.
Hadirin sekelian,
Sesuai dengan perjumpaan tahunan dengan pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan Halaqat pada pagi ini, dimana pada tuan-tuan dan puan-puanlah diharapkan akan dapat memainkan peranan yang penting ke arah tercapainya dasar kerajaan yang tersebut ini. Saya juga ingin mengimbas kembali kepercayaan rakyat ini terhadap parti Islam untuk memerintah negeri ini. Ini membuktikan bahawa rakyat Kelantan mahukan pemerintahan yang mewujudkan sistem hidup secara Islam. Hasrat dan perasaan rakyat Kelantan mesti diambil kira dalam proses membangunkan negeri ini, tetapi yang menjadi tugas kita dibahagian Halaqat ini ialah dua perkara penting iaitu:
a) Didik masyarakat dengan iman dan taqwa
Untuk membina negeri Islam kita perlu memulai usaha dengan mendidik jiwa mereka dengan iman dan taqwa. Masyarakat yang memiliki iman dan taqwa sentiasa berkehendakkan kepada suasana Islam. Apabila kehendak mereka ditunaikan, secara tidak langsung akan terbentuklah negeri Islam. Misalnya kehendak mereka kepada sistem pendidikan secara Islam, Hospital secara Islam ataupun tempat peranginan yang bersih dari mungkar dan sebagainya, tanpa iman dan taqwa, cita-cita untuk membina sebuah negeri Islam di Kelantan ini akan tercapai.
b) Amar Makruf Nahi Mungkar
Masyarakat yang telah di didik dengan iman dan taqwa secara automatik akan terdorong untuk melakukan amal kebajikan dan akan meninggalkan segala kemungkaran. Oleh itu program-program yang mendorong untuk melakukan kebaikan perlu diperbanyakkan, ini akan dapat memelihara masyarakat daripada mencari pengisian dengan program-program yang bersalahan dengan syariah, ini juga akan memeriahkan Kelantan ini dengan suasana ibadah.
Kita juga perlu memperhebatkan lagi suasana sambutan hari kebesaran Islam, kita mungkin boleh mengadakan malam puisi Islam, Hari Muslimat, pementasan kanak-kanak Islam, rehlah cara Islam dan mempertingkatkan lagi ceramah-ceramah ugama dalam pelbagai bentuk yang menarik, misalnya yang menyentuh persoalan akhirat dan hari kiamat. Suasana ini akan dapat membantu keberkesanan ceramah kehati pendengar hingga menimbulkan rasa keinsafan. Ini adalah satu cara yang berkesan untuk mengajak masyarakat melakukan amal kebajikan dan meninggalkan kemungkaran. Lakukan program ini seberapa kerap yang boleh, insya’Allah kita akan dapat lihat satu perubahan yang positif akan berlaku pada masyarakat Islam dinegeri ini. Adalah menjadi tugas tuan-tuan dan puan-puan sekelian untuk membentuk kerajaan dalam mencapai hasrat dan cita-cita ini.
Para hadirin sekelian,
Dalam memikul apa jua tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak yang berwajib, ilmu pengetahuan adalah amat diperlukan kalau tidak ada ilmu dan pengetahuan, bagaimana hendak menyempurnakan kerja mengikut tarikh dan perancangan yang telah kita tetapkan. Allah sendiri telah meletakkan kedudukan yang tinggi kepada para ilmuan. Sebagaimana firman yang bermaksud; Allah meninggikan orang-orang yang beriman dikalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu dari kalangan kamu beberapa darjat.
Untuk itu dijadikan setiap kalangan pendakwah dan pegawai Halaqat akan dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk menambahkan ilmu pengetahuan supaya gerak kerja kita akan dapat memberi kesan dan optima kepada rakyat sekelian, untuk menambah ilmu pengetahuan dan juga pengalaman ini boleh dilakukan melalui pelbagi cara antaranya ialah:
i) Melalui pembelajaran disekolah-sekolah, dimasjid-masjid, melalui tambahan, membuat lawatan, bengkel, kursus seperti mana yang kita adakan pada hari ini dan sebagainya.
Para hdirin sekelian,
Satu perkara yang ingin saya tekankan dalam perjumpaan pada pagi ini ialah, kerja setiap hari samada mengajar, belajar, mendidik atau apa jua sahaja kerja yang kita lakukan biarlah kita lakukan dengan niat yang jujur dan ikhlas. Kerajaan sendiri pun dalam dasar penerapan nilai-nilai islam didalam pentadbiran juga menekankan kepada ciri-ciri yang sedemikian. Jika tidak, pentadbiran kita akan pincang, perancangan kita tidak akan tercapai sebagaimana yang diharapkan. Saya yakin dan percaya dengan adunan tiga perkara penting yang saya sebutkan tadi iaitu, ilmu pengetahuan, pengalaman dan kejujuran serta keikhlasan didalam menjalankan kerja kita sudah pasti akan mendorong kearah kecemerlangan dalam amalan kita, dan juga akan mengeluarkan produk yang bermutu dan berkualiti. Allah sendiri telah memberi jaminan akan memberi ganjaran dan pahala kepada mereka yang melakukan kerja-kerja dengan jujur dan dengan niat yang ikhlas.
Akhir kata saya penuh yakin bahawa tuan-tuan dan puan-puan sekelian setelah selesai mengikut kursus yang diadakan pada hari ini, ianya akan dapat membantu tuan-tuan dan puan-puan sekelian didalam mempertingkatkan kecemerlangan dan kemajuan didalam menjalankan tugas-tugas dan bidang masing-masing.
Sekian.