BISMILLAHIRAHMANIRAHIM:
Sesungguhnya Allah sangat mengasihi mereka
yang berjuang dijalan Allah dalam keadaan tersusun rapi seperti rapinya
susunan batu pada sesebuah bangunan atau binaan.
(SURAH SAF AYAT: 4)
- YB Timbalan-timbalan Pesuruhjaya
- YB. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri,
Dewan Rakyat dan Dewan Negara
- YBhg. Ahli-ahli Badan Perhubungan PAS
Negeri Kelantan
- Ketua-ketua dan Ahli-ahli Jawatankuasa
Dewan-Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama’
- YDP PAS Kawasan-kawasan dan Ahli-ahli
Jawatankuasa
- Semua Peserta Ijtimak sekelian
Alhamdulillah sama-sama kita panjatkan rasa kesyukuran kita kepada Allah swt kerana masih diberi nikmat Islam dan Iman, sehingga membolehkan kita sama-sama istiqamah dan iltizam didalam barisan gerakan perjuangan Islam yang bernama Parti Islam Se Malaysia (PAS) ini. Sebenarnya orang yang iltizam dan istiqamah dengan perjuangan ini adalah mereka yang dianugerahkan hadiah dan cerah akal serta kalbu mereka sehingga membolehkan mereka menggunakan segala pacaindera mereka untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah yang menjadikan mereka merasa takut kepada Allah dan bertanggungjawab terhadap arahan-arahan dan pantang larangnya.
Para Hadirin sekelian,
Kita pada hari ini berada tepat pada hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhamad saw, seluruh negara umat Islam menyambut hari kelahiran baginda samada dalam keadaan faham dan mengerti makna sambutan ini dan kadang-kadang tidak faham apa-apa, cuma mereka terikut dan terpengaruh dengan adat dan kebiasaan sahaja. Bagi kita pendokong gerakan Islam, kita mesti menyambut dan mera’ikan hari keputeraan Nabi ini dengan penuh kefahaman terhadap makna dan tujuan sambutan ini diadakan. Kita mesti faham bahawa kemuliaan Nabi Muhamad saw bukanlah kerana kedudukan baginda, tetapi kerana baginda adalah seorang Nabi yang telah menerima Islam daripada Allah kemudian disebar dan diperjuang keseluruh dunia sehingga menjadikan Islam sebagai satu sistem hidup dan terpacak dipersada dunia.
Kemurnian akhlak yang diajar oleh Islam dijelmakan didalam kehidupan baginda, dan daya juang baginda yang gigih dan ikhlas telah dipancarkan melalui amalan seharian, kesyumulan Islam telah disempurnakan melalui teori dan praktikalnya sekali sehingga menjadikan Islam satu agama yang tidak boleh ditolak lagi oleh mereka yang ikhlas untuk mengenal dan mencari kebenaran. Masa telah berlalu dan Nabi kesayangan kita telah dipanggil oleh Allah untuk bertemu dialam barzakh, tetapi tugas dan tanggungjawab untuk menegak dan mempertahankan Islam tidak pernah mati begitu sahaja. Sebaliknya sebelum Nabi meninggal dunia, baginda sempat berpesan kepada umatnya - ulama’ adalah pewaris para Nabi- Nabi tidak meninggal harta pesaka dan wang ringgit untuk para ulama’, tetapi apa yang ditinggalkan oleh baginda untuk diwarisi oleh para ulama’ ialah tugas dan tanggungjawab untuk menegak dan melaksanakan Islam dibumi Allah ini. Dalam banyak hal dan aspek, kita tidak mempunyai apa-apa perbezaan samada dari cara mahupun kaedah untuk melaksanakan tanggungjawab dan tuntutan Islam ini. Terutama dalam aspek ibadah khususnya, kita dengan mudah mengambil dan meniru contoh yang ditunjukan oleh baginda untuk kita amalkan dalam kehidupan kita. Tetapi untuk menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah dimuka bumi dalam ertikata dan makna; iaitu menegakan ugama Islam dan mentadbir dunia juga dengannya, kita menghadapi sedikit masalah:-
Masalahnya ialah kebanyakan umat Islam sekarang tidak mempunyai kuasa politik untuk menjadikan islam sebagai pentadbir dinegara masing-masing. Setelah kejatuhan kerajaan Othmaniah diTurki umat Islam dipelbagai negara terus menerus dijajah oleh Kristian Barat, bagi mengukuhkan penguasaan terhadap dasar kolonialisma mereka. Umat Islam yang berada dinegara-negara jajahan mereka telah ditanam dengan fahaman yang memisahkan ugama dan politik atau sekulerisma, pengukuhan fahaman ini terus menerus dibuat melalui pelbagai organisasi atau platform yang kemudiannya diurus dan ditadbir oleh bangsa dan umat Islam dari negara ini sendiri.
Para hadirin sekelian,
Perjuangan untuk mendapatkan kuasa politik dan kekuasaan didalam sesebuah negara menjadi perkara yang wajib keatas bahu kita mengenal pasti siapa yang sepatutnya yang menjadi sasaran semasa berkempen, kearah kemenangan didalam kawasan kita dari kalangan yang bukan orang PAS, langkah-langkah segera yang strategik hendaklah diambil bagi mempastikan mereka dapat membantu disaat menjelangnya pilihanraya, hubungan yang baik dan lunak dengan golongan yang seperti ini hendaklah dibuat dari sekarang bagi mengelakan kita dituduh tidak mempedulikan orang diwaktu kita tidak perlu dan datang melutut kepadanya diwaktu kita terdesak. Pemimpin juga mesti bersifat lebih sensitif dan peka terhadap segala permasalahan yang berlaku dikalangan rakyat dan mengambil sikap yang produktif untuk menyelesaikannya.
Para pendokong PAS hendaklah diasuh supaya lebih bersikap kasihan belas terhadap ahli-ahli UMNO, mereka mengikut UMNO kerana tertipu dengan janji-janji manis pemimpin UMNO. Dalam keadaan seperti ini kita hendaklah berjiwa besar dan kental dalam ertikata tidak memusuhi mereka secara keras, sebalikya kita jadikan mereka sasaran dakwah kita, anggaplah mereka sebagai seorang pesakit yang perlu kepada ubat dan doktor. Sikap Rasulullah saw ketika dibaling dengan batu oleh kaum Musyrikin semasa di Ta’if hendaklah kita jadikan contoh bagi menentang dan mendamaikan perasaan kita yang sedang marah, dimana dalam peristiwa tersebut Rasulullah telah didatangi oleh para malaikat menawarkan diri untuk menghempaskan ke atas kepala mereka dengan bukit. Tetapi Rasulullah menolak tawaran tersebut dengan berkata: “sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang yang jahil”. sikap yang sebegini perlu menjadi amalan kepada seluruh pendokong PAS. Dengan itu kita bukan sahaja beroleh pahala hasil daripada kesabaran kita ketika berdepan dengan mad’uu kita, tetapi juga membolehkan kita memenangi dan menawan hati dan perasaan mereka, kebanyakan orang Kelantan agak sukar untuk ditewaskan dengan kekerasan, sebaliknya mereka lebih senang ditewaskan dengan budi bahasa dan sikap sabar serta merendah diri.
Para hadirin sekelian,
Kejayaan seseorang pemimpin dalam sesebuah organisasi ada dua cara. Pertama dengan menggunakan kuasa yang ada ditangan, yang kedua dengan menggunakan pengaruh dan kekuatan peribadi, pemimpin yang sering menggunakan kuasa atau authority adalah pemimpin yang lemah jiwanya dan kurang sifat sabarnya. Sebaliknya pemimpin yang menggunakan pengaruh atau influence adalah pemimpin yang memiliki sifat sabar dan berjiwa besar. Pemimpin yang suka menggunakan kuasa tidak dapat bertahan lama kerana ia akan dibenci oleh orang ramai, sebaliknya mereka yang menggunakan kekuatan pengaruh dan budi bicara akan sentiasa disegani oleh kawan dan lawan. Oleh itu saya berharap semuga barisan kepimpinan PAS semua peringkat mengurangkan penggunaan kuasa yang ada pada mereka ketika berhadapan dengan ahli-ahli parti khasnya orang ramai amnya.
Bagi mempastikan kejayaan kita didalam pilihanraya yang akan datang, tuan-tuan bukan sahaja dikehendaki bekerja keras tetapi hendaklah mengelakan diri dari bergeseran sesama sendiri diatas isu-isu yang remeh temeh dan teknikal sifatnya, kerana pergeseran ini akan melemahkan parti kita dan menghilangkan rasa gerun lawan kita kepada kita, sebagaimana firman Allah yang bermaksud; Dan janganlah kamu betengkar yang menyebabkan kamu menjadi gagal serta hilang kekuatan kamu, bersabarlah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. Sebaliknya marilah kita bulatkan hati kita untuk kita tumpuan sepenuhnya kepada kerja-kerja kita dengan hati dan niat yang jelas untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Janji-janji Allah dan RasulNya hendaklah kita tanamkan pemikiran dan hati kita agar menjadi pendorong kepada diri dan semangat kita untuk bekerja sehingga keakhir hayat kita. Renunglah sabda Rasul saw ini pada setiap detik ketika bekerja, yang bermaksud; berjihad dijalan Allah lebih baik dari bersembahyang seribu rakaat dan berpuasa setahun.
Disamping itu marilah kita sama-sama berdoa memperbanyakan doa dan munajat kepada Allah serta mempertingkatkan amalan-amalan baik dalam kehidupan dengan harapan semuga pertolongan Allah akan datang bersama dengan usaha kita, dengan demikian insya’Allah perjuangan kita akan mencapai kejayaan didunia dan akhirat. Sifat Nabi saw yang mencapai “ruhban” iaitu kuat beribadah pada malam hari dan tangkas bekerja pada siangnya, hendaklah menjadi ikutan bagi kita semua. Semuga Allah menganugerahkan kemenangan kepada kita sama seperti yang telah dianugerahkan olehnya orang yang terdahulu daripada kita.
Akhir kata marilah kita sama-sama berazam dan bertekad untuk terus bekerja dan berjuang sehingga kita mencapai kemenangan sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. Dimana maksud ayat; Katakanlah, bekerjalah kamu, maka Allah, RasulNya dan orang yang beriman akan melihat pekerjaan mu dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.
sekian.