BISMILLAHIRAHMANIRAHIM
Dan katakanlah aku telah
beriman dengan semua kitab yang telah diturunkan oleh Allah dan aku telah
diperintahkan supaya berlaku adil diantara kamu. Allah ini adalah Tuahan
kami dan Tuhan kamu juga. Bagi kami amal perbuatan kami dan amal perbuatan
kamu adalah untuk kamu, tidak ada pertelingkahan antara kami dan kamu.
Allah pastinya akan mengumpulkan semua kita (kami dan kamu) kerana kepadaNyalah
kita semua akan kembali.
(SURAH AS-SYURA AYAT: 15)
- YBhg. Pengerusi Cawangan
Persatuan Bulan Sabit Merah Kelantan dan Ahli-ahli Jawatankuasa
- YB. Ahli-ahli Dewan Undangan
Negeri
- YBrs. Ketua-ketua Jabatan,
Negeri dan Persekutuan
- Tuan-tuan dan Puan-puan
sekelian
Alhamdulillah syukur kita kehadrat Allah swt kerana pada petang ini, kita diberi kelapangan masa untuk sama-sama berada dalam majlis ini bersempena dengan perayaan 50 tahun wujudnya Persatuan Bulan Sabit Merah didalam negara kita ini. Sesungguhnya kehadiran kita semua dimajlis ini akan menambah semangat kepada pasukan bulan sabit merah ini untuk meneruskan khidmat sukarela mereka didalam bidang rawatan dan kecemasan dimana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Sebagai seorang insan, kita patut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada persatuan ini diatas jasa dan khidmat anggota dan pimpinan mereka yang telah begitu lama memberikan khidmat kepada anggota masyarakat.
Kesediaan para anggota bulan sabit merah yang sentiasa untuk memberi khidmat tanpa mengira tempat dan waktu patut diberi penghargaan dan penghormatan oleh kita semua dengan memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak kita supaya terlibat dengan persatuan ini, kerana kerja seumpama ini adalah satu kerja yang mulia. Islam adalah ugama yang sempurna, ia meliputi pelbagai aspek hidup manusia, samada dibidang ekonomi, politik, lebih-lebih lagi sosial. Tetapi oleh kerana hampir semua negara Islam telah dijajah oleh penjajah barat yang berugama Keristian yang sentiasa memusuhi dan dendam kepada Islam. Maka kesempurnaan ini telah disembunyi dan diputar belitkan oleh mereka sehingga menjadikan umat Islam sendiri tidak mengenal Islam secara yang betul dan tepat.
Sebaliknya penjajah barat telah ke negara umat Islam dengan menaja cara hidup baru yang berasaskan kepada kebendaan semata-mata dengan mengimpikan perasaan persaudaraan. Kerjasama dan tolong menolong yang menjadi sebahagian daripada ajaran Islam. Umat Islam telah diajar cara untuk hidup secara pentingkan peribadi masing-masing dengan tidak mempedulikan kepentingan dan kebaikan hidup bermasyarakat dan tolong menolong. Ajaran Islam yang mendorong kehidupan manusia secara bermuafakat dan tolong menolong di atas perkara yang baik dan bersama-sama mencegah perkara yang buruk, akan tetapi telah disembunyikan dan menjadikan umat Islam lupa terhadap tanggungjawab sosial mereka kepada orang lain. Lebih malang daripada itu terdapat umat Islam yang berfahaman bahawa hidup tolong menolong dan bekerjasama didalam sesebuah masyarakat itu adalah tidak patut dan salah bagi anggota masyarakat yang lain untuk menegur dan menasihat mereka supaya jangan lagi melakukan kemungkaran tesebut. Kerana agama telah dianggap hak peribadi seseorang yang tidak boleh lagi orang lain mencampuri.
Oleh hal yang demikian, kerja-kerja amal yang baik seperti yang dianjur oleh Islam tidak boleh lagi dipaksakan kepada anggota masyarakat untuk melaksanakannya. Lebih-lebih lagi kerja-kerja pencegahan kemungkaran menjadi sangat sensitif dan tidak boleh disuruh supaya anggota masyarakat melaksanakannya. Dalam keadaan yang sedemikian ajaran Islam yang syumul telah bertukar menjadi sempit dan kerdil, kerana ia tidak boleh untuk ditonjol dan disebatikan bersama kehidupan sesebuah masyarakat Begitulah besarnya kesan buruk daripada penjajahan barat terhadap negara-negara umat Islam. Mereka bukan sahaja hilang segala kekayaan sumber-sumber semulajadi dan hasil mahsul, tetapi juga mereka hilang sebahagian besar daripada ajaran ugama Islam. Kalau kita perhati betul-betul terhadap kehilangan tersebut, kita akan merasakan kehilangan sumber hasil yang berbentuk benda lebih mudah kita cari ganti dan tebus. Tetapi kehilangan ajaran Islam yang telah dipaku masuk didalam pemikiran umat Islam yang memisahkan Islam dan politik, yang merasakan persoalan ugama adalah persoalan peribadi semata-mata dan berkeyakinan bahawa ugama Islam adalah agama yang bersifat ritual semata-mata, adalah satu kehilangan yang sukar dicari ganti hingga ke hari ini sudah beribu-ribu tahun para pejuang dan pendakwah Islam berusaha untuk memperbetul fahaman yang rosak ini, namun masih belum mencapai kejayaan yang sepenuhnya.
Hadirin hadirat sekelian,
Ditengah-tengah imej Islam yang berjaya diburuk-burukkan oleh mereka. Barat telah mengambil kesempatan untuk menonjolkan ajaran agama mereka sebagai agama yang baik yang mementingkan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan, lalu mereka menaja dan menubuhkan pelbagai Pertubuhan dan Badan-badan Amal seperti Lions Club Pejuang Hak Asasi Manusia, Kumpulan Alam Sekitar (Inviromental Group) Persatuan Budak-budak Pengakap termasuk Persatuan Palang Merah Antarabangsa (Red Cross) dan berbagai-bagai lagi Badan atau Pertubuhan. Badan in telah digerak dan disebarkan secara meluas disetiap negara jajahan mereka. Disamping mereka mencanangkan bahawa mereka dan agama mereka sangat mengambil berat dan bersimpati dengan nasib rakyat yang lemah dan mundur. Pertubuhan-pertubuhan seperti ini diguna sepenuhnya oleh mereka untuk membaiki imej jahat mereka yang menjajah dan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari negara-negara yang dijajah, dan kejahatan mereka merusakkan fahaman umat Islam terhadap ajaran ugama Islam.
Akhirnya seluruh masyarakat didalam dunia ini merasai bahawa orang-orang barat adalah orang-orang yang baik, yang ada rasa peri kemanusiaan dan sanggup membantu masyarakat melalui pertubuhan dan badan-badan sukarela ini, sedangkan lain-lain bangsa dan agama tidak pernah berbuat demikian dan tidak pernah memberi perhatian. Pada hal kerja-kerja kebajikan dan tolong menolong antara satu sama lain, ini adalah sebahagian daripada ajaran umat Islam ini sendiri , bagi membela golongan yang miskin dan susah, sejak awal-awal lagi telah mewajibkan umatnya supaya mengeluarkan zakat. Allah telah menyatakan kepada orang-orang yang kaya bahawa didalam harta kamu itu ada hak orang-orang miskin yang misti kamu berikan kepada mereka, dan didalam harta mereka ini ada hak atau sebahagian baginya orang miskin ada mereka meminta atau tidak meminta.
Islam telah mengajar umatnya supaya sentiasa mengambil berat terhadap kaum keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan seluruh rakyat didalam satu negara bahkan seluruh dunia, firman Allah yang bermaksud; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan yang jauh serta orang-orang yang sedang musafir. tetapi oleh kerana penjajah telah berjaya menanam fahaman sekular yang memisah dan mengecilkan skop dan peranan agama didalam masyarakat, maka umat Islam khasnya dan umat manusia umumnya tidak dapat melihat Islam berperanan didalam mewujudkan keadilan didalam sebuah masyarakat. Sebaliknya orang-orang barat juga lebih dikenali sebagai kumpulan yang suka melakukan perkara-perkara kebajikan dan amal, walhal mereka adalah golongan yang sangat zalim, mereka menaja dan menggerakkan kegiatan dan kebajikan adalah semata-mata untuk menutup pandangan orang ramai terhadap kezaliman dan keganasan yang mereka lakukan diseluruh dunia.
Demi kekuasaan politik dan kuasa, mereka sanggup melakukan pembunuhan dan menceroboh negara lain. Apalah ada pada sedikit kebajikan yang mereka buat melalui badan-badan tersebut kalau dibanding dengan keganasan dan pembunuhan-pembunuhan yang mereka lakukan ke atas umat manusia di Bosnia, di Afrika Selatan, di Nageria, di Vietnam, di India, di Pelastin, di Iraq dan berbagai negara lagi.
Para Hadirin sekelian,
Umat Islam hari ini patut sangat diberi kesedaran dan kefahaman bahawa kerja-kerja amal dan sosial ini bukanlah ajaran barat, tetapi ianya adalah sesuatu yang diajar oleh ajaran Islam kita sendiri. Oleh itu neraca pemikiran dan pertimbangan ketika melaksanakan kerja-kerja amal ini mestilah berasaskan neraca dan pertimbangan Islam. Persoalan halal dan haram mestilah menjadi asas dan sempadan terhadap segala kegiatan kita, kerana ajaran Islam itu tidak pernah melarang umatnya menggunakan kaedah “matlamat menghalalkan cara”. Segala kegiatan dan kerja buat kita hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada ajaran dan hukum Islam.
Saya sangat merasa sukacita, kerana sejak akhir-akhir ini berbagai badan kebajikan yang telah ditaja dan ditubuh oleh barat pada asalnya seperti pertubuhan pengakap dan bulan sabit merah telah mengalami perubahan samada dari segi uniform mereka dan aktiviti-aktiviti mereka, percampuran antara ahli lelaki dan perempuan nampaknya sekarang sudah lebih terkawal kalau dibandingkan dengan masa-masa yang lalu. Oleh kerana kerja-kerja amal sebagai suatu yang baik dan selari dengan ajaran Islam. Maka semua pihak diminta tampil kehadapan untuk membantu dan memberi sokongan kepada badan-badan ini. Kalau boleh umat Islam hendaklah memikir, merancang dan menubuhkan lebih banyak lagi badan-badan amal dan sukarela supaya bukan sahaja dapat memberi sumbangan kepada anggota masyarakat, malah dapat menarik penglibatan para belia-belia kampung dan disekolah-sekolah, supaya dengan penglibatan ini kita dapat mengurangkan penglibatan mereka didalam aktiviti mereka didalam kegiatan tidak sihat dan tidak bermoral.
Dalam suasana gejala sosial yang semakin meningkat dan ekonomi yang gawat ini, diharapkan badan-badan sukarela dan amal dapat menambahkan sumbangannya kepada masyarakat supaya kewujudannya lebih merata dan lebih dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat yang bertanggungjawab dan bercita-cita untuk melihat suasana aman damai wujud didalam negara ini, sokongan padu hendaklah diberikan terhadap usaha-usaha yang baik ini.
Akhir kata saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak penganjur yang telah berjaya mengadakan pamiran ini dan memberi peluang kepada saya untuk memberi sepatah dua ucapan didalam majlis ini.
sekian.