TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU MENTERI BESAR KELANTAN
DI MAJLIS PERASMIAN PELANCARAN PENGHAYATAN
RAMADHAN DAN  NUZUL AL- QURAN
PADA : 24/12/97

BISMILLAHIRAHMANNIRAHIM

Maksudnya : Bulan Ramadhan adalah yang ada didalamnya diturunkan al-Quran yang berfungsi membawa petunjuk kepada manusia serta pemberi keterangan terhadap petunjuk-petunjuk itu dan mencari pembeza (antara yang hak dan yang batil) kerana itu siapa yang nampak anak bulan Ramadhan hendaklah ia berpuasa. (Surah al-Baqarah ayat : 185)

- YB. Hj. Muhamad Daud, Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah.
- YB. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen
- YABrs. Tuan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan.
- YBhg.Pengelola dan para Pegawai Unit Dakwah Halaqat
-  Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah  s.w.t kerana kita masih diberi nikmat untuk hidup dibawah naungan dan ajaran Islam dengan baik dan damai. Dan juga kita telah dipanjangkan umur sehingga kita boleh sekali lagi menyambut ketibaan Ramadhan al-mubarak bagi tahun ini yang akan tiba beberapa hari lagi dari sekarang. Semuga kedatangan Ramadhan al-mubarak bagi tahun ini akan menjadi satu peluang terbesar kepada kita untuk mengaut seberapa banyak pahala daripada pelbagai ibadat yang akan kita lakukan. sesuai dengan sifat Ramadhan itu sendiri yang banyak dan membuka peluang-peluang baru bagi kita berbuat pahala seperti sembahyang sunat terawih dan berbagai lagi yang tidak kedapatan dalam bulan-bulan yang lain.

Para hadirin sekelian,

Kalau kita fikir secara lojik kita sebagai manusia biasa, tidak ada sebab puasa itu dikenakan kepada kita, kerana apa yang kita makan adalah harta yang kita cari dengan titik peluh kita dan usaha kita. Kita makan dirumah kita dan tidak ada kena mengena dengan orang lain atau hak orang lain. Lebih-lebih lagi kita dalam masa sebelas bulan yang lain selain dari bulan Ramadhan kita dibenarkan makan. Jadi kenapa pula dibulan Ramadhan kita tidak boleh makan. Begitulah lojik pemikiran akal manusia yang lemah. Tetapi Allah telah menentukan kepada kita berlainan dengan apa yang kita fikirkan itu. Apakah hikmat dan tujuannya? hikmat dan tujuannya ialah Allah hendak ajar kita dan beritahu kepada kita bahawa kamu wahai manusia, tidak ada apa-apa kuasa dan kelebihan. Diri kamu Aku (Allah) yang cipta, rezki yang kamu makan Aku yang beri. Dan segala apa yang ada didalam dunia ini Aku yang punya. Jadi Aku berhak ke atas kamu dan rezki untuk membenarkan kamu makan atau sebaliknya Kamu wahai manusia, mesti tahu dan faham bahawa kamu adalah milik dan dalam kekuasaan Aku. Jadi Aku mahu sebulam setahun tidak makan dan memuaskan hawa nafsu diwaktu siang hari, perkara ini bukan Aku suruh kamu sahaja, tetapi Nabi dan Rasul pun aku suruh dan bukan dizaman ini sahaja, tetapi sejak zaman-zaman yang terdahulu dari kamu lagi.

Alhamdulillah, kebanyakan umat Islam di Negeri kita, apabila disebut puasa, pada bulan ramadhan semuanya taat dan patuh kepada kehendak dan perintah Allah ini. Bila tiba bulan puasa semua orang berpuasa. Kanak-kanak belum akil baligh pun disuruh berpuasa oleh ibu bapa mereka. Tetapi sayangnya ramai dari masyarakat kita hanya patuh dan taat kepada allah hanya dalam bab puasa sahaja. Dalam bab-bab lain nampaknya masih belum begitu menonjol lagi. Walhal kewajipan kita sebagai umat manusia untuk taat dan patuh kepada Allah dalam bab-bab yang lain sama juga dengan bab puasa. Kerana kewajipan dalam bab-bab yang lain itu juga berasaskan nas-nas dari al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Jadi kalau ibadat puasa kita boleh suruh dan paksa anak beranak kita supaya melakukannya, kenapa pula dalam masalah dan hal-hal lain kita gagal untuk berbuat demikian. Sebagai contoh dalam masalah dadah, masalah dadah yang berlaku dikalangan jenerasi muda umat Islam sangat mencemaskan semua pihak samada pihak ibu bapa ataupun kerajaan. Berdasarkan kajian dan rekod yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada tahun 1996 seramai 30,598 orang penagih dadah telah ditangkap. Ianya meningkat sebanyak 10.3% berbanding dengan tahun 1995. Antara Negeri yang telah meningkat jumlah ialah Terengganu 93.5%, Kelantan 58.2%, Serawak 55.6%, Kedah 43,2%, Sabah 33,6% dan Pahang 25.4%. Antara faktor yang jelas dan menyebabkan anak-anak terlibat dengan dadah ialah kurangnya pendidikan dan kesedaran berugama dikalangan anak-anak muda dan lemahnya kawalan penjagaan ibu bapa terhadap mereka. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya bulan Ramadhan yang datang tiap-tiap tahun ini digunakan sepenuhnya oleh para ibu bapa, bersama anak-anak mereka melakukan ibadat sembahyang siang dan malam, dengan aktiviti membaca atau tadarus al-Quran dan sembahyang malam sebanyak-banyaknya. Kerana jiwa yang disuburkan oleh ibadat pada bulan Ramadhan selama satu bulan dan diteruskan pada bulan-bulan yang lain ini sudah cukup untuk membolehkan anak-anak kita membenci kepada semua perkara-perkara yang haram dan keji seperti dadah ini. Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat kita adalah sebaliknya. Ini bermakna penghayatan kita bersama keluarga terhadap bulan Ramadhan al-mubarak ini masih berada pada tahap yang rendah.Kita hanya menunaikan tuntutan Ramadhan sekadar tidak makan dan minum disiang hari dan bersembahyang beberapa rakaat terawih pada sebelah  malamnya. Oleh sebab itu tidak banyak membawa kesan terhadap perlakuan anak-anak kita disepanjang perjalanan kehidupan mereka.

Para hadirin sekelian,

Apa yang patut dilakukan oleh kita bagi menghayati benar-benar kehendak bulan Ramadhan ini ialah dengan kita memperbanyak dan mempelbagaikan kegiatan ibadat secara yang lebih luas dan menyeluruh, lebih-lebih lagi bulan Ramadhan pada kali akan datang bersama dengan tahun baru 1998 yang kebetulan bagi kita di Negeri Kelantan, kita jadikan tahun 1998 ini sebagai Tahun Melawat Kelantan. Bersempena dengan tahun melawat Kelantan ini Negeri Kelantan yang dikenali dengan Serambi Mekah hendaklah mengambil kesempatan untuk menjadikan amalan baik dibulan Ramadhan dan pelbagai aktiviti Islam ini sebagai bahan eksport rakyat Kelantan kepada para pelancung asing. Oleh itu segala kegiatan yang biasa dalam bulan Ramadhan hendaklah dibuat secara berlainan daripada apa yang mereka pernah lihat dan dapat di Negeri lain.

Bermula daripada ibadat bersahur, kalau selama ini mereka selalu amalkan bersahur dirumah masing-masing. Maka kita di Kelantan kita anjurkan program bersahur ini secara besar-besaran dimasjid atau disurau-surau, supaya disamping kita bangun bersahur kemudian kita tidur balik, kita tukar menjadi ibadat sahur itu adalah ibadat yang berada dicelah-celah ibadat sembahyang sunat malam, dan sebelum waktu subuh. Begitu  juga dengan berbuka puasa, kalau ditempat-tempat lain orang berbuka puasa dirumah masing-masing.  Dengan memakan makanan sehingga kenyang, selepas kenyang baru hendak sembahyang fardhu Maghrib, maka kita di Kelantan cuba kita mulakan satu budaya berbuka , iaitu berbuka dimasjid atau disurau-surau, dengan memakan beberapa biji buah tamar dan meminum segelas air kemudian terus sembahyang maghrib secara berjemaah, adapun nasi dan bahan-bahan yang mengenyangkan kita boleh makan selepas selesai kita menunaikan sembahyang masghrib atau sebaik-baiknya selesai sembahyang terawih.

Begitu juga dengan ibadat terawih, kalau selama ini kita sembahyang terawih begitu cepat, kita ubah sedikit iaitu kita ambil masa sedikit selepas sembahyang untuk kita menterjemah atau mentafsirkan ayat-ayat yang boleh kita baca dalam sembahyang tadi, supaya ahli jemaah dapat mengetahui dan faham terhadap isi kandungan al-Quran yang telah dibaca oleh imam tadi. Kegiatan bersedekah dan berderma dibulan Ramadhan salah satu daripada kegiatan yang digalakan oleh Islam dan disediakan pahala yang banyak kepada penderma. apa yang berlaku sebelum ini kebanyakan derma yang  dipungut melalui masjid dan madrasah hanya semata-mata untuk mengadakan jamuan dan membeli makanan samada untuk berbuka puasa atau makanan selepas terawih. Bantuan kepada anak-anak yatim dan orang-orang miskin jarang diberi perhatian. Jadi tahun ini kita cadangkan agar semua masjid dan surau mewujudkan tabung derma dan sedekah ini untuk kita berikan kepada fakir miskin sebelum mereka menyambut Hari Raya. Berapa banyak pun derma dapat dipungut hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin sehingga habis sebelum  Hari Raya. Hasil daripada galakan menderma ini, kita akan mewujudkan suasana rajin bekerja dikalangan masyarkat kerana mereka ingin berderma dan mencari pahala yang banyak didalam bulan Ramadhan. Dalam soal bekerja mencari rezki ini Rasulullah s.a.w pernah berkata pernah seorang itu mencari rezki dengan tiga tujuan iaitu untuk makan diri sendiri dan keluarga, untuk dijadikan pusaka kepada waris dan untuk berbuat kebajikan atau khairat.

Ketiga-tiga tujuan ini memerlukan kepada halal dan suci kerana tanpa halal dan suci ia tidak memberi makna dan faedah. Kita hendak makan anak beranak kita mahukan yang halal kerana kita tidak mahu darah daging kita sekeluarga tumbuh dari hasil yang haram. Kerana daging yang tumbuh daripada hasil  yang haram hanya layak dimamah oleh api Neraka sahaja. Yang kita hendak tinggalkan sebagai pusaka kepada waris pun kita mahu yang halal juga.  Dan yang kita bersedekah pun untuk bekalan hari akhirat lebih-lebih lagi kerana kita tahu kalau kita bersedekah benda yang haram Allah tidak terima sedekah kita. Ini bermakna melalui ibadah sedekah dibulan Ramadhan akan menggalakan orang mencari rezki yang halal, melalui titik peluh dan hasil usaha mereka. Jadi masa siang yang terluang pada siang harinya akan digunakan sepenuhnya untuk bekerja mencari rezki yang halal, jadi kita bukan sahaj mendapat harta yang halal tetapi boleh menunjukan contoh dan budaya bekerja kuat walaupun kita sedang berpuasa. Ini sedikit sebanyak akan menghapuskan anggapan bahawa dalam bulan puasa kita tidak payah bekerja kerana kita letih berpuasa. Anggapan ini sangat tidak sesuai dengan ajaran Islam, kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah berperang didalam bulan Ramadhan.

Andainya seluruh rakyat Kelantan dapat mengamalkan budaya seperti ini setiap kampung dan masjid masing-masing, satu budaya baru akan ditunjukan kepada para pelancung dan mereka akan pulang kekampung halaman mereka dengan satu kenangan manis dan pengalaman yang sangat berharga yang mereka perolehi dari Negeri kita Kelantan. Denagn ini kita akan menjadi salah seorang dari pencetus budaya Islam yang baik yang kalau diamal atau ditiru oleh orang lain maka kita juga akan mendapat pahala secara berpanjangan. Oleh itu marilah sama-sama kita berazam dan bertekad untuk menghayati bulan Ramdhan ini dengan penuh keazaman, kesungguhan semuga bulan yang hanya datang sebulan dalam setahun ini akan benar-benar membawa menafaat kepada diri kita, dan seluruh manusia. Semuga Allah memberikan balasan dan ganjaran yang setimpal kepada kita semua.

Sekian,