BISMILLAHIRAHMANIRAHIM
Sesungguhnya Allah menyuruh
kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya. Dan (menyuruh
kamu) apabila menetapkan hukum diantara manusia supaya kamu menetapkan
dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya
kepadamu. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.
Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat.
(SURAH AL-NISA’ AYAT
:58)
- YB. Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri
- Yang di Hormati Ketua
Polis Negeri Kelantan
- YABrs. Ketua-ketua Jabatan
Negeri dan Persekutuan
- YBhg. YDP Kesatuan Penggawa/Penghulu
Semenanjung Malaysia
- Ahli Jawatankuasa Kesatuan
- Dato’-dato’, Datin-datin
dan
Tuan-tuan Puan-puan sekelian
Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah swt kerana dapat hadir bersama-sama tuan-tuan sekelian dalam majlis pada pagi ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kesatuan penghulu/penggawa kerana telah menjemput saya memberi sepatah dua kata didalam majlis ini dan memilih negeri Kelantan sebagai lokasi untuk mengadakan mesyuarat agung kali ini. Kepada penghulu yang datang dari seluruh negara, saya ucapkan selamat datang ke negeri Kelantan Darulnaim.
Para hadirin sekelian,
Kita semua telah dilantik oleh Allah sebagai pemegang amanahnya didunia ini, tidak lebih dari itu, walau sebesar mana pun pangkat dan darjat didunia ini, hakikatnya ialah kita semua adalah hamba Tuhan dan pemegang amanahnya sahaja. Dunia ini adalah medan yang digunakan oleh Allah untuk menguji manusia, samada manusia itu telah benar-benar menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai hamba dan pemegang amanah tersebut. Kalau sudah, maka luluslah kita pada pandangan Allah dan kita akan diiktiraf olehnya sebagai hambaNya. Dan layaklah kita memasuki syurgaNya, tetapi kalau gagal maka kita tidak layak menerima balasan syurga, inilah akidah kita umat Islam. Akidah seperti ini tidak terdapat didalam mana-mana ajaran didunia ini selain dari ajaran Islam. Ajaran-ajaran yang bukan Islam menganggap kehidupan ini sebagai salah satu peluang untuk manusia berseronok dan bersukaria semata-mata. Apabila mati habis cerita dan tidak berbangkit lagi soal dosa pahala dan balasan baik atau buruk. Sebab itulah persoalan kehidupan dianggap persoalan dunia semata-mata yang tidak ada kena mengena dengan persoalan akhirat.
Bagi kita orang Islam, akhirat telah menjadi salah satu daripada rukun Iman, tujuannya ialah supaya manusia benar-benar yakin dan percaya terhadap akhirat, disana terdapat beberapa perkara yang pasti akan berlaku, seperti yang dijanjikan oleh Allah, iaitu ada mahsyar, syurga dan neraka, diakhirat adalah distinasi terakhir perjalanan manusia dan segala makhluk Allah. Dunia ini hanya diibarat sebagai tempat persinggahan sementara, untuk membolehkan manusia mengumpul bekalan bagi kehidupan akhirat. Dunia ini diumpamakan sebagai ladang untuk akhirat. Kalau banyak kita kumpulkan bekalan semasa didunia ini maka senang lenang dan kaya rayalah kita diakhirat. Kalau tidak kita menjadi orang yang fakir dan miskin serta papa kedana. Kehidupan diakhirat walaupun kita belum pernah merasainya, tetapi kita sudah boleh membayang dan menggambarkannya berdasarkan suasana kehidupan semasa didunia. Kalau didunia ini kita lihat betapa senang dan mewahnya orang-orang yang banyak harta atau kaya, sementara yang miskin pula hidup susah sehingga tidak boleh makan dan mati kelaparan. Begitulah juga suasana hidup semasa diakhirat. Orang yang banyak bekalan maka mereka akan dapat hidup senang lenang, sementara orang yang miskin bekalan pahala akan sentiasa menghadapi kepayahan didalam kehidupan mereka.
Para hadirin sekelian,
Diantara orang yang akan beruntung dan mendapat bekalan yang banyak untuk hari akhirat ialah orang yang berjaya menunaikan amanat dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya. Kalau berjaya ditunaikan dengan baik dan sempurna dan banyaklah pahala yang akan diperolehinya. Oleh sebab itu Rasulullah saw pernah bersabda bahawa diantara orang yang akan mendapat naungan atau teduhan dihari yang tidak ada sebarang pokok dan bahan teduhan yang lain ialah pemimpin yang adil yang telah berjaya menunaikan amanahnya dengan sebaik mungkin. Sementara orang-orang yang mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya pula disifatkan oleh Rasulullah sebagai orang yang mempunyai tanda-tanda munafik. Sebagaimana maksud sabda Nabi iaitu ada empat sifat yang boleh menjadikan seseorang itu munafik yang tulin. Kalau ada padanya satu sifat maka ia sudah memiliki satu daripada sifat munafik tersebut. sifat-sifat itu ialah apabila di beri amanah ia mengkhianati apabila bercakap ia berbohong dan apabila berjanji ia mungkiri dan apabila bertengkar ia bergaduh.
Ini bermakna perbuatan pecah amanah atau mengkhianati kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh orang lain kepada kita adalah satu perbuatan yang boleh menjadikan seseorang itu munafik. Sementara kedudukan orang-orang munafik pula sewaktu di akhirat adalah berada dibahagian bawah sekali daripada neraka. Dalam sruktur organisasi kerajaan. Para pemimpin yang terdiri dari Perdana Menteri, menteri Besar, Exco, pegawa-pegawai sehinggalah kepada para penggawa atau penghulu adalah sebahagian daripada orang-orang yang telah diberi amanah untuk menjaga agama ditanah air dan orang ramai. Dalam istilah agama tanggungjawab itu disebut sebagai khalifah. Tugas Khalifah adalah menegakkan agama sebagai instrument untuk memerintah negara dan sekelian rakyat. Antara ajaran agama yang mesti digunakan sebagai instrument pemerintahan ialah halal haram, serta amar ma’aruf nahi mungkar. Perkara ini menjadi lebih penting dalam sitem pemerintahan kerana sesebuah kerajaan adalah satu kuasa yang berfungsi sebagai pengawal dan pintu terhadap segala aktiviti rakyat yang ada didalamnya. Instrument agama seperti itu tidak bermakna sama sekli kalau ia sekadar untuk menjadi peraturan yang bertulis. Apa yang lebih penting ialah ianya mesti dihayati dan diamalkan oleh setiap individu bermula daripda peringkat atas sehinggalah keperingkat bawah, persoalan halal-haram hendaklah di dahulukan sebagai pintu terhadap tingkah laku kita sebelum melaksanakan dikalangan rakyat awam. Sebagai orang yang memiliki kuasa dalam kerajaan. Kita lebih terdedah terhadap salah laku dan amalan-amalan penyelewengan berbanding dengan rakyat biasa. Oleh hal yang demikian kita semua hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab ini, sekiranya kita yakin dan bercita-cita utuk mendapat balasan dan keredhaan daripada Allah diakhirat nanti.
Para hadirin sekelian,
Para penggawa dan penghulu sangat besar peranan dan sumbangan mereka terhadap kerajaan, kerana mereka adalah golongan yang paling hampir dengan rakyat terbanyak. Pelbagai peranan yang positif boleh dimainkan oleh para penghulu, penggawa. Lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi sekarang ini. Hasil kerajaan akan menjadi kurang. Dalam masa yang sama kita dapati tunggakan hasil tanah yang tidak dibayar oleh para pemilik tanah sangat banyak. Disetiap jajahan, disamping terdapat juga pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti mengelak cukai daripada kerajaan. Perkara seperti ini peranan para penggawa sangat diperlukan. Sekiranya mereka dapat bertugas dan berfungsi dengan baik, masalah seperti yang disebutkan tadi sudah tentu dapat diatasi. Kerajaan akan dapat menambahkan hasil cukai dan menyelesaikan tunggakan cukai kebelakangan dengan lebih cepat dan berkesan.
Dalam suasana golongan muda mudi dilanda oleh gejala sosial juga peranan penggawa sangat-sangat diperlukan, sebagai orang yang dihormati dan disegani oleh orang-orang kampung, para penggawa bukan sahaja boleh menjadi mata telinga kepada ejensi kerajaan, tetapi juga boleh menjadi penasihat kepada ibu bapa supaya mereka lebih memberi perhatian dan mengawal kegiatan anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan kegiatan jenayah dan kegiatan yang tidak bermoral. Untuk menjadikan hasrat para penggawa dinasihati supaya sentiasa menjaga kehormatan diri dan jawatan masing-masing supaya ia lebih disegani oleh masyarakat. Lebih baik lagi kalau para penggawa dapat mendalami ilmu-ilmu agama sehingga mampu tampil menjadi iman dimasjid-masjid dan surau-surau yang ada didalam kawasan masing-masing. Dengan ini imej institusi penggawa penghulu akan lebih mulia dan cemerlang pada pandangan orang ramai.
Akhir kata saya sekali mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kejayaan kesatuan ini berjuang dan mengadakan mesyuarat agungnya pada hari ini. Bagi yang datang dari luar Kelantan, diharapkan semua tuan-tuan merasa seronok semasa berada disini. Ambil apa-apa yang baik yang ada di Kelantan sebagai kenangan masing-masing. Kalau sebarang kekurangan dan kelemahan berilah teguran. Insya’Allah kita disini akan cuba memperbaiki sesempurna yang boleh. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya rasmikan mesyuarat agung kesatuan penggawa,penghulu Semenanjung Malaysia bagi kali yang ke.24 ini.
sekian.