- Yang di Hormati Tuan Pengerusi
Majlis
- YBhg. Tuan Hj. Ismail
Adam - Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Negara atau NPC
- YBrs. En. Mustafa Safa’at-Pengarah
NPC Wilayah Pantai Timur
- Para Peserta QCC
- Dhif-dhif jemputan Tuan-tuan
dan Puan-puan sekelian
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;
Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah swt penguasa alam kerana dengan keizinanNya kita dapat berjumpa dan berkumpul pada pagi yang mulia ini. Juga saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu NPC yang menjemput saya untuk merasmikan majlis pada pagi ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,
Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur iaitu NPC bahawa konvensyen tahunan QCC biasanya diadakan di negeri Terengganu atas sebab-sebab logistik, iaitu ditengah-tengah negeri Pantai Timur, tetapi kali ni diadakan lebih ke Utara iaitu di negeri Kelantan Darulnaim. Dengan adanya konvensyen QCC dinegeri Kelantan anda bukan sahaja berpeluang untuk berkonvensyen tetapi juga dapat menikmati persekitaran, suasana dan budaya masyarakat Kelantan. Bagi mereka yang datang dari luar, saya ucapkan selamat datang kedatangan anda adalah bertepatan dengan sambutan tahun melawat Kelantan pada tahun 1998 ini. Disamping berkonvensyen lapangkanlah sedikit masa untuk melawat ke tempat-tempat yang menarik serta mengikuti dan menghadiri program-program yang telah disusun sepanjang tahun sempena tahun melawat Kelantan.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Pihak penganjur juga memaklumkan kepada saya bahawa konvensyen QCC kali ini merupakan kali yang ke.15 diadakan secara berturut-turut di Wilayah Pantai Timur, beberapa kumpulan terbanyak dari Wilayah ini akan menyertai kumpulan QCC terbanyak Wilayah lain iaitu daripada Wilayah Selatan, Utara Tengah, Sabah dan Serawak kekonvensyen QCC kebangsaan yang akan diadakan pada November nanti diKuala Lumpur, jesteru itu saya merasa sukacita dan gembira dapat bersama-sama dengan kumpulan QCC pada konvensyen kali ini. Kumpulan pekerja merupakan harta yang bernilai bagi sesebuah syarikat atau perusahaan, selain dari menghasilkan produk atau perkhidmatan, para pekerja juga terlibat secara langsung dalam mengatasi masalah disamping mengemukakan idea bagi tujuan pembaikan dalam kerja.
Semua orang tahu dan bersetuju bahawa semasa bekerja seseorang pekerja itu bukan hanya dikehendaki membuat kerja untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan semata-mata. Masalah-masalah yang timbul atau pendapat tentang pembaikan perlu juga dilaksanakan. seseorang pekerja atau sekumpulan pekerja mungkin mempunyai kesedaran tentang masalah yang berlaku dan pembaikan yang perlu dibuat, tetapi idea-idea berkenaan mungkin tinggal sebagai idea semata-mata tanpa panduan untuk menyelesaikannya. Disinilah kumpulan QCC memainkan peranannya sebagai meganisma untuk mengatasi masalah samada membaiki proses, sistem kerja atau produk atau perkhidmatan itu sendiri, sumbangan yang dibuat oleh para pekerja dibuat melalui kegiatan QCC diorganisasi masing-masing secara tidak langsung memberikan sumbangan besar ke arah kemajuan ekonomi negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,
Kita semua maklum bahawa negara kita sedang menghadapi masalah kegawatan ekonomi, biar apa pun punca yang diperkatakan yang penting bagi kita rakyat Malaysia ialah berusaha untuk mengatasi masalah ini, sekurang-kurangnya melalui ruang lingkup tanggungjawab dan peranan masing-masing. Sebagaimana maksud firman Allah; akan kami uji kamu dengan sesuatu berbentuk ketakutan kelaparan, kekurangan harta dan kehilangan jiwa raga, serta kerusakan kebun -kebun tanaman dan berilah berita gembira untuk mereka yang sabar (menempuh ujian). (surah al-baqarah ayat :155)
Oleh itu disamping bersabar kita jangan hanya memerhati dan tidak berbuat apa-apa, kerana ini bermakna kita tidak berusaha untuk mengatasi masalah ini, kita mestilah meneruskan aktivit-aktiviti biasa disamping mengambil peluang untuk membetulkan dan memperkemas kegiatan pengurusan dan perniagaan kita bagi pebaikan yang berterusan, para pekerja terutama ahli-ahli QCC boleh membantu organisasi dengan menumpukan perhatian kepada projek-projek penyelesaian masalah dan pembaikan kualiti berkaitan penjimatan kos, pengurangan masa, kecekapan dan keberkesanan bekerja. Disamping itu juga saya mencadangkan supaya projek QCC memberikan keutamaan kepada projek-projek yang mempunyai added value atau nilai tambah. Contohnya projek QCC yang memberi kesan keatas keuntungan syarikat melalui peningkatan permintaan produk disebabkan oleh meningkatnya kualiti, secara tidak langsung, ia membantu syarikat meningkatkan keupayaan daya saing syarikat ditengah kegawatan ekonomi. Syarikat akan berupaya mengekalkan peluang-peluang pekerjaan dan jika semakin maju, akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,
Disamping itu juga saya mencadangkan supaya kummpulan QCC juga perlu memberikan perhatian kepada projek-projek yang boleh memenuhi peranan syarikat atau organisasi menjalankan tanggungjawab sosial, walaupun kebanyakan syarikat ditubuhkan untuk mendapatkan keuntungan tetapi tanggungjawab sosial tidak boleh dilupakan. Produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat akhirnya digunakan oleh pengguna atau masyarakat ‘amnya. Kumpulan QCC boleh menjadi dan menjalankan projek-projek yang membantu pelanggan yang akhirnya kita menikmati barangan dan perkhidmatan yang bermutu samada dari segi nilai wang yang digunakan untuk memperolehinya, kepuasan dan penggunaan dan faedah sampingan yang lain.
Walau apapun matlamat pelaksanaan projek QCC yang penting adalah bagi memberi keyakinan dari segi keupayaan rakyat Malaysia mengeluarkan barangan industri yang berkualiti tinggi, jika kita mengeluarkan barangan yang tidak berkualiti sudah tentu imej Malaysia akan terjejas, permintaan akan menurun, industri akan terjejas dan memberikan kesan kepada ekonomi negara kita dalam jangka masa panjang. Usaha yang gigih adalah perlu bagi membantu negara kita mencapai kemajuan, kemelesetan ekonomi yang berlaku membantutkan sedikit kadar kemasukan pelabur ke negara kita, tetapi pelaburan masih lagi mengalir masuk setiap masa diKelantan sendiri, sejak 1990 pelaburan bernilai lebih 7.4 bilion telah ditandatangani dan antaranya sudah dilaksanakan, antaranya ialah projek petrokimia dipantai Senok bernilai RM2 bilion melibatkan kawasan seluas 2,000 hektar dan dijangka beropersi pada tahun 2003.
Seperti projek QCC yang boleh memberikan nilai tambah, kerajaan Kelantan juga berharap projek ini akan dapat memberi nilai tambahan lain kepada industri huluan dan hilrian lain berasaskan petrokimia. Projek lain yang sedang diusahakan oleh projek bandar perikanan di Tok Bali Semerak bernilai RM1.55 bilion dan dijangka siap pada tahun 2005. Kedua-dua projek ini, disamping lain-lain rancangan pembangunan melalui pelaksanaan pelaburan baru sudah pasti akan menjadi pemangkin tindakan ekonomi diKelantan pada masa depan. Perkembangan ini memerlukan ramai tenaga kerja yang bukan hanya gigih tetapi juga produktif, terlatih dan mengetahui teknik-teknik kerja yang betul. Penggalakan para pekerja dalam aktiviti kumpulan meningkatkan mutu kerja atau QCC adalah sangat bersesuaian bagi tujuan ini, bukan hanya diKelantan tetapi juga dikeseluruhan industri dinegara kita.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Pengalaman menunjukan bahawa para pekerja dinegara kita sebenarnya mudah dibentuk dari segi mendapatkan pengetahuan baru dan mengendalikan teknologi yang berubah, kita juga sanggup dan cepat mempelajari kaedah-kaedah kerja seperti amalan dan budaya kerja masyarakat Jepun, malah saya difahamkan QCC merupakan salah satu bentuk atau cara pekerja Jepun bekerja secara berpasukan bagi menyelesaikan masalah dan membuat pembaikian kualiti. Sesuatu yang banyak dan tidak bertentangan tidak ada salahnya untuk dipelajari dan diamalkan. Namun kalau kita renung sejenak, amalan kerja secara berpasukan sebenarnya sudah lama diamalkan oleh masyarakat kita, terutama oleh masyarakat melayu dahulu kala. Sifat-sifat dan kesediaan bekerja secara berpasukan ini sebenarnya sudah ada dan perlu dipergiatkan dalam bentuk pengalaman ditempat kerja. Mungkin yang perlu kita pelajari ialah tentang struktur, kaedah-kaedah dan alat-alat yang digunakan oleh pekerja Jepun sehingga kerja berpasukan ini boleh dilaksanakan secara sistematik.
Dalam Islam sembahyang berjemaah atau bersama-sama diberikan ganjaran dua puluh tujuh kali ganda lebih dari sembahyang berseorangan. Tentulah ada kelebihan bila Allah memberikan bonus bagi sembahyang berjemaah ini, begitu juga halnya apabila kita ingin sembahyang jemaah yang hanya boleh dilaksanakan apabila ma’amun cukup empat puluh orang. Jika kita mendapat keuntungan yang lebih dari sembahyang berjemaah, begitu juga hendaknya dengan kerja berpasukan. Dengan kerja berpasukan, ahli-ahli saling membantu dari segi sokongan emosi, moral dan pengetahuan, kelebihan-kelebihan kerja berpasukan ini hendaklah digunakan sepenuhnya melalui aktiviti QCC.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Saya perhatikan bahawa kebanyakan kumpulan QCC yang membuat persembahan dalam konvensyen ini datangnya dari organisasi besar dan multi nasional, samada sektor awam dan swasta, adalah difahamkan bahawa QCC boleh diamalkan diindustri kecil dan sederhana atau IKS, sekiranya IKS menunggu sehingga mereka menjadi besar baru ingin menerapkan aktiviti peningkatan kualiti, bermakna ini akan berlaku suatu lompang antara kualiti syarikat kecil dan besar. Teknik dan kaedah dalam aktiviti QCC adalah sama dan syarikat dibawah IKS boleh membuat penyesuian dimana perlu, sekiranya terdapat halangan untuk menjadikannya lebih berstrusktur. Sektor IKS diKelantan adalah antara yang termaju dalam negara Malaysia terutama industri perkayuan dan memproses makanan. Alangkah baik sekiranya sektor IKS ini dapat mempelajari sesuatu daripada kaedah syarikat besar membuat pembikian kualiti terutama melalui kaedah pengalaman QCC, malah sektor IKS dinegara-negara maju seperti Singapura, Taiwan dan Jepun juga telah lama mengamalkan QCC, saya menyeru amalan-amalan yang baik ini perlulah dicontohi oleh IKS industri kecil dan sederhana.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Disamping berusaha menggalakan pengalaman QCC, NPC sebagai penganjur juga menjalankan kempen peningkatan produktiviti negara bagi tempoh kedua iaitu bagi tahun 1997 hingga tahun 1999, berkaitan dengan itu, saya difahamkan NPC sebagai sekritteriat kepada pemimpin telah merangka program-program produktiviti seperti penyelidikan, pengukuran, produktiviti, pembangunan sistem, latihan serta promosi, saya menyeru sektor kerajaan, swasta dan masyarakat keseluruhannya menjadi lebih aktif dan proaktif dalam melaksanakan usaha peningkatan produktiviti, tanggungjawab segera kita ialah merangka dan melaksanakan program peningkatan produktiviti diorganisasi masing-masing, usaha peringkat organisasi ini akan membantu peningkatan produktiviti sektor, industri dan negara akhirnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Saya merakamkan penghargaan
kepada NPC atas usaha gigih yang berterusan bagi menggalakan aktiviti peningkatan
kualiti dan produktiviti dinegara kita, juga kerjasama semua pihak dalam
usaha murni ini amat saya sanjungi dan semuga diberkati Allah swt, kepada
semua yang hadir diucapkan selamat berkonvensyen dan diharapkan majlis
selama dua hari ini berjalan lancar, saya dengan lafaz bismillahirahanitrahim
merasmikan konvensyen QCC di Wilayah Timur kali ke.15