Mesyuarat Agung Luarbiasa Majlis Peguam Malaysia telah diadakan pada 10 hb Oktober 1998 untuk membincangkan perkembangan perundangan mutakhir di tanahair.

Walaupun mesyuarat dijadualkan bermula pada jam 10.00 pagi, korum seramai 1571 yang merupakan satu perlima dari jumlah keseluruhan ahli seramai 7859 telah dipenuhi sebelum masa yang ditetapkan, iaitu seramai 1600 telah mendaftarkan diri sebelum jam 9.45 pagi. Jumlah kehadiran luarbiasa telah direkodkan iaitu seramai 2480 orang peguam dan 180 orang pelatih undang-undang (chambering students). Ini tidak lagi mengambil kira jumlah mereka yang datang lewat dan tidak mendaftar. Kehadiran ahli amat di luar dugaan sehingga beratus-ratus peguam yang terpaksa duduk di atas lantai di laluan-laluan dewan dan juga berdiri di belakang dan juga tepi dewan di dalam mesyuarat yang memakan masa hampir empat (4) jam.

Berikut adalah resolusi-resolusi yang telah diluluskan sebulat suara di dalam Mesyuarat Agung Luarbiasa tersebut.
 

Usul Pertama

Majlis Peguam Malaysia, di dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 42 (1) (a) Akta Amalan Guaman 1976 untuk menegakkan keadilan tanpa mengambil kira akan kepentingan-kepentingannya atau kepentingan-kepentingan ahlinya tanpa terpengaruh dengan perasaan takut atau memihak (without fear or favour)

MELIHAT dengan keprihatinan yang amat mendalam akan penahanan beberapa individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan perkembangan-perkembangan perundangan terkini yang berhubungkait dengannya.

MENGULANGI PENEGASANNYA bahawa ISA merupakan satu undang-undang yang amat jijik (obnoxious piece of legislation) yang mencemarkan (undermines) Hak-hak Asasi Manusia, Prinsip-prinsip Asas Demokrasi dan Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law).

MENYERU supaya semua orang yang ditahan di bawah ISA sama ada dibebaskan atau didakwa secepat mungkin di dalam mahkamah di bawah undang-undang yang berkaitan dan supaya Prinsip-prinsip Rule of Law dan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil dan Keadilan dapat dinikmati.

MENUNTUT supaya semua anggota Majlis Peguam yang bertindak membela anakguam mereka dibenarkan menjalankan tugas mereka dengan bebas tanpa sebarang gangguan (harassment), halangan (hindrance) atau sekatan (restraint) oleh pihak berkuasa; dan

MEMANDANG JIJIK perbuatan-perbuatan mengutuk (condemnation), menjatuhkan maruah (vilification) dan pre-judgment seseorang individu di dalam media.
 
 

Usul Kedua
 

BAHAWASANYA

1. Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi (supreme law) yang merangkumi hak-hak dan kebebasan-kebebasab asasi rakyat.

2. Hak untuk seseorang itu dibenarkan melantik dan dibela oleh peguam yang dipilihnya sendiri, hak untuk dilayan samarata di sisi undang-undang dan hak untuk mendapat perlindungan yang samarata di sisi undang-undang, hak untuk mendapat kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, hak untuk berkumpul secara aman dan tanpa menggunakan senjata, hak untuk menubuhkan persatuan dan kebebasan bersuara, hak untuk bergerak bebas di mana –mana tempat di dalam Semenajung merupakan hak-hak dan kebebasan-kebebasan tersebut.

3. Pematuhan yang ikhlas kepada Rule of Law dan prinsip-prinsip keadilan sejagat (rules of natural justice) menjamin masyarakat yang merdeka, adil dan bertamadun.

DAN BAHAWASANYA

4. Sejak akhir-akhir ini, beberapa orang telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960 (Akta 82) [ISA]:

(a) kerana didakwa melakukan perbuatan menyebarkan khabar angin, meng ‘klon’ kan telefon dan menyimpan pendatang-pendatang tanpa izin;

(b) kerana mengeluarkan pendapat yang berbeza atau tidak sehaluan (dissenting views);

(c) sebagai suatu ancaman dalam soalsiasat (interrogation) berhubung perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan Akta ini;

5.a) Kesalahan-kesalahan yang disebut di dalam Para 4 (a) boleh didakwa di bawah undang-undang lain yang diluluskan oleh Parlimen;

 b) Mengeluarkan pendapat yang berbeza atau tidak sehaluan adalah hak asasi seseorang individu.

6. Penggunaan berterusan ISA dan penafian terhadap hak mendapatkan khidmat peguam bagi orang-orang yang ditahan di bawah Akta tersebut merupakan salahguna dan penyalahgunaan kuasa.

7.a) Pihak polis telah meminta supaya peguam-peguam yang mewakili orang-orang yang ditahan baru-baru ini di bawah ISA menghadirkan diri mereka untuk disoal, dalam keadaan-keadaan yang bersifat gangguan dan campurtangan terhadap perlaksanaan tanggungjawab peguam-peguam berkenaan.

 b) Pihak polis baru-baru in telah menahan dua orang ahli Majlis Peguam Malaysia iaitu Encik Zulkifli Nordin dan Encik Ruslan Kassim, di bawah ISA.

8. Para pelajar mahasiswa dan kakitangan kerajaan telah diberi amaran bahawa tindakan-tindakan disiplin akan dikenakan terhadap mereka sekiranya mereka didapati telah menghadiri perjumpaan-perjumpaan untuk mengeluarkan pendapat atau pandangan yang berbeza. Masyarakat awam juga telah diberi amaran yang serupa.

9. Polis nampaknya telah menggunakan kekasaran (force) yang tidak munasabah dan berlebihan dalam:

(a) menyuraikan perhimpunan secara aman dan menangkap mereka yang menyertainya;

(b) menangkap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

10. Dengan membataskan hak masyarakat awam dan pemberita untuk menziarahi Datin Seri Dr. Wan Azizah, pihak berkuasa secara tidak munasabah telah menyekat kebebasan bersuara, bergerak dan berpersatuan.

11. Pihak-pihak berkuasa secara tidak munasabah telah membataskan penyebaran maklumat dengan menyekat laporan-laporan berita oleh media.

12. Penyiaran di dalam media empat affidavit yang difailkan bagi pihak pendakwa berhubung permohonan yang difailkan oleh Datuk Nallakaruppan supaya dikembalikan ke penjara Sungai Buloh, kenyataan-kenyataan yang dibuat, antara lain oleh bekas Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri berkaitan dakwaan-dakwaan salahlaku moral Datuk Seri Anwar Ibrahim, menimbulkan isu-isu serius termasuk isu-isu campurtangan terhadap pengendalian keadilan (administration of justice), perbicaraan melalui media (trial by media) dan penghinaan terhadap mahkamah (contempt of court).

13. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Negara bahawa sesuatu afidavit yang telah difailkan merupakan dokumen awam adalah tidak wajar memandangkan isu tersebut masih belum diputuskan oleh Mahkamah.

14. Di dalam cara yang beliau telah melucutkan jawatan Menteri Kewangan pada 2 hb September 1998, Perdana Menteri nampaknya telah tidak mempedulikan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43 (5).

15. Peguam Negara juga beberapa kali kelihatan telah gagal menunaikan tanggungnya dengan betul.
 

DAN BAHAWASANYA

16. Majlis Peguam Malaysia mempunyai tanggungjawab di segi undang-undang, antar lain, untuk menegakkan cita-cita keadilan tanpa memperdulikan kepentingannya atau kepentingan ahli-ahlinya, tanpa dipengaruhi oleh perasaan takut atau memihak (fear or favour), dan untuk mempertahankan dan membantu masyarakat di dala semua perkara yang menyentuh, berhubungkait atau membabitkan undang-undang.

17. Majlis Peguam Malaysia melihat perkara-perkara di atas sebagai tidak berperikemanusiaan (unconscionable) dan terang-terangan  membelakangi (blatant disregard) Perlembagaaan Persekutuan, Rule of Law, doktrin pemisahan kuasa dan prinsip-prinsip keadilan sejagat.

18. Majlis Peguam Malaysia sekali lagi mengulangi penegasannya akan komitmennya untuk memelihara dan mempertahankan Rule of Law, Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat tanpa perasaan takut atau memihak dan dengan segera.
 

MAKA ADALAH DENGAN INI DIPUTUSKAN:
 
 
Majlis Peguam Malaysia menyeru Kerajaan

1.  (a)  supaya menghormati dan mematuhi Rule of Law, Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat.

(b) supaya menghormati, mendaulatkan dan menguatkuasakan sepenuhnya hak-hak kebebasan untuk bergerak, berhimpun secara aman, berpersatuan, bersuara dan mengeluarkan pendapat bagi setiap orang sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan.

2. Majlis Peguam Malaysia menyeru kepada badan-badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman supaya akur kepada dan memelihara pemisahan kuasa-kuasa sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
 

3. Majlis Peguam Malaysia menyeru kepada Peguam Negara

(a) supaya memainkan peranannya yang sebenar sebagai pemelihara kepentingan awam.

(b) supaya memastikan bahawa sistem keadilan dipelihara dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengadakan perbicaraan melalui media.

(c) supaya bertindak tanpa perasaan takut atau memihak.

(d) supaya memiliki sebagai keperihatinan utamanya untuk memelihara kedaulatan undang-undang agar tidak akan berlaku kacau bilau (anarchy).

(e) supaya memelihara nilai-nilai (standards) di dalam kehidupan awam dan sektor swasta.
 

4. Majlis Peguam Malaysia mengutuk penggunaan berterusan ISA yang menindas dan menyeru supaya

(a) pemansuhan serta merta ISA.

(b) pembebasan serta merta semua tahanan ISA dan sekiranya perlu mendakwa dan membicarakan mereka di dalam mahkamah.

5. Majlis Peguam Malaysia mengutuk penafian oleh pihak-pihak yang berkenaan akan hak tahanan-tahanan ISA untuk mendapat khidmat peguam pillihan sendiri.

6. Majlis Peguam Malaysia mengutuk gangguan dari pihak polis terhadap anggota-anggota di dalam profesion undang-undang ketika menjalankan tugas mereka.

7. Majlis Peguam Malaysia mengutuk sebarang penggunaan kekerasan yang tidak munasabah dan berlebihan oleh pihak polis ketika menjalankan tugas mereka dan menyeru pihak polis supaya mengamalkan pertimbangan yang tinggi (exercise due restraint) pada setiap masa ketika menjalankan tugas mereka.

8. Majlis Peguam Malaysia mengutuk amalan jijik dan hina akan perbicaraan melalui media dan menyeru pihak media supaya memelihara peranannya yang sebenar dan bertanggungjawab.

9. Majlis Peguam akan mengambil tindakan segera yang bersesuaian untuk merealisasikan usul-usul di atas dan Majlis Peguam harus justeru itu mengambil tindakan segera berhubung perkara-perkara yang bersangkut paut dengan tugas-tugas Majlis Peguam Malaysia bila dan ketika ia timbul selaras dengan Fasal 16 dan 18 di atas dan Seksyen 42 (1) Akta Profesion Undang-undang 1976..
 
 

Usul Ketiga

Majlis Peguam Malaysia amat prihatin dengan dakwaan-dakwaan dipukul ketika dalam tahanan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Encik Tien Chua dan orang-orang lain yang ditangkap berhubung perhimpunan-perhimpunan awam baru-baru ini.

Majlis Peguam Malaysia tidak menganggap bahawa penubuhan Jawatankuasa Penyiasatan Polis sebagai langkah yang sesuai dilaksanakan untuk menyelidiki aduan-aduan kekejaman polis (police brutality).

Majlis Peguam Malaysia menyeru Kerajaan supaya menubuhkan satu Suruhanjaya Penyiasatan Diraja Bebas (Independent Royal Commission of Inquiry) yang merangkumi individu-individu terhormat yang tidak dipertikaikan kewibawaannya untuk menyiasat segala aduan bertulis mengenai kekejaman polis. Suruhanjaya tersebut akan menyiarkan kepada umum segala laporan dan cadangannya.
 

Usul Keempat

BAHAWASANYA

1) Kebebasan mengeluarkan pendapat, berpersatuan dan bergerak merupakan hak asasi manusia yang termaktub di dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia dan diterima oleh nilai-nilai antarabangsa hak-hak asasi manusia.

2) Tidak ada sesiapapun yang patut dihukum dengan cara penangkapan dan penahanan, atau dengan cara meletakkan sekatan-sekatan dan syarat-syarat ke atas penzahiran pendapat-pendapatnya, tindakan berprsatuannya dan atau pergerakannya, tanpa terlebih dahulu didakwa dan dibicarakan di dalam sebuah mahkamah terbuka.
 

MAKA DENGAN INI MAJLIS PEGUAM MEMUTUSKAN BAHAWA:

1. Majlis Peguam Malaysia dengan ini menerima sikap bahawa semua undang-undang yang berhubung dengan penangkapan dan penahanan tanpa bicara dan pemakaian sekatan-sekatan dan syarat-syarat tanpa bicara adalah bercanggah dengan kedaulatan undang-undang, ukuran-ukuran hak-hak asasi antarabangsa dan norma-norma serta nilai-nilai keugamaan yang menjadi pegangan yang disepakati.

2. Majlis Peguam Malaysia menyeru kepada

(a) pemansuhan semua undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969, Akta Dadah Merbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Enakmen Penempatan Terhad 1933.

(b) Pembebasan segera tanpa syarat semua orang yang ditangkap dan ditahan di bawah ketiga-tiga undang-undang di atas.

(c) Pengeluaran dan atau pembatalan segera semua Perintah yang mengenakan sekatan-sekatan dan syarat-syarat di bawah undang-undang tersebut ke atas setiap orang, berhubung dengan mengeluarkan pendapat, berpersatuan dan bergerak, tanpa diadili oleh perbicaraan.

3. Majlis Peguam akan mengambil segala langkah yang perlu ke arah pencapaian setiap resolusi di atas.