DR NUNGSARI AHMAD RADHI
1999-A Sg Batu, 11920 Bayan Lepas, P. Pinang

4hb Oktober 1998
 

YB Dato' Mohd Shariff Haji Omar
Timbalan Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang
 

Yang Berhormat,

Perletakan Jawatan Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang

Seperti yang telah maklum, jawatan Ketua Penerangan adalah satu lantikan yang dibuat berasaskan kepercayaan orang yang melantik. Saya telah dilantik oleh bekas Pengerusi Perhubungan pada tahun 1996. Untuk memberi ruang kepada Pengerusi Perhubungan yang baru melantik Ketua Penerangannya sendiri, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan BPUN Pulau Pinang mulai hari ini. Saya juga sedar bahawa saya tidak dapat memenuhi tuntutan jawatan seperti yang dikehendaki pada masa sekarang.

Mungkin ada baiknya saya mengambil kesempatan ini untuk memperkatakan beberapa perkara demi kebaikan parti.

Semasa memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan, falsafah saya untuk memelihara kepentingan politik UMNO ialah dengan membentuk imej UMNO sebagai parti yang memertabatkan orang Melayu, mengangkat maruah mereka, menyemai serta memupuk nilai dan sifat yang  membolehkan satu tamaddun Melayu dibentuk untuk generasi akan datang. Saya berpendapat jika UMNO dan ahli-ahli UMNO mempamerkan budaya yang baik barulah ia boleh berjaya mencapai matlamatnya dan mendapat sokongan yang berterusan.

Walau bagaimanapun saya amat khuatir tentang rungutan yang sering terdengar mengenai kelemahan parti dari segi amalannya sendiri dan dari segi tanggapan orang ramai terhadap parti.  Masyarakat melihat politik UMNO bukan sebagai politik perjuangan tetapi sebagai politik kepentingan diri.  Pada tanggapan mereka :

        UMNO itu adalah mesyuarat agong setahun sekali.
        UMNO itu adalah pertandingan merebut jawatan.
        UMNO itu adalah rombongan dan lawatan.
        UMNO itu adalah acara sukan dan majlis keramaian dan bersuka-suka.
        UMNO itu platform mencari kedudukan dan kekayaan.

Politik dalaman UMNO tidak dikaitkan dengan usaha-usaha yang serius. Masyarakat tidak nampak usaha di peringkat bahagian mahu pun di peringkat negeri yang membincangkan soal-soal dasar dan perundangan yang digubal dan dilaksana oleh kerajaan. UMNO nampaknya juga tidak berbincang mengenai isu bahasa, budaya mahupun politik dalam ertikata yang lebih luas.

Ahli-ahli UMNO dilihat sebagai tidak berilmu. Sebab itu mereka mudah dipengaruhi oleh yang mahu jadi pemimpin. Sebab itu gejala politik wang menjadi-jadi. Mereka yang berwang akan berjaya. Maka muncullah satu tanggapan bahawa fitnah dan penipuan menjadi teras budaya politk UMNO.

Tanggapan umum yang disebut di atas terhadap UMNO adalah tidak menghairankan memandangkan terdapat kalangan ahli-ahli UMNO sendiri yang merasakan :

        UMNO itu tidak boleh ilmiah sangat.
        UMNO itu tidak boleh Islam sangat.
        UMNO itu tidak boleh serius sangat.

Akibatnya walaupun kita berbangga dengan bilangan keahlian kita, nyata sekali kita tidak dapat menarik  kelompok-kelompok tertentu ke dalam UMNO. UMNO lemah di kalangan remaja, UMNO lemah di kampus. UMNO lemah di kalangan golongan menengah Melayu. UMNO lemah di kalangan mereka yang menekankan kedudukan agama Islam. Pendeknya,  masa depan UMNO, samada dari segi keahlian atau sokongan boleh terjejas jika perkara-perkara ini tidak diatasi kerana sebahagian besar daripada orang Melayu datang daripada golongan ini.

Oleh itu usaha penerangan saya ialah untuk membenteras imej UMNO yang negatif, membentuk suatu imej budaya politik yang berteraskannilai-nilai positif seperti keilmuan dan keterbukaan.  Saya telah mendekatkan parti dengan usaha-usaha pendidikan anak Melayu di Pulau Pinang, dengan usaha peningkatan kemahiran golongan remaja, dengan usaha pembentukan sahsiah, dengan perbincangan dasar dan proses perundangan.

Kita tentunya mahu mengubah dari politik mengeksploitasikan kelemahan ahli kepada politik mengangkat martabat ahli.  Dengan ilmu pengetahuan, ahli  akan mengetahui hak dan sempadan hak mereka. UMNO  perlu melengkapkan ahlinya dengan sifat, nilai dan budaya yang membolehkan orang Melayu bersaing di kurun yang bakal mendatang. Di Pulau Pinang khususnya kekuatan politik Melayu yang berteraskan kualiti harus diwujudkan.

Seperti yang disebutkan tadi, tanggapan umum mengenai betapa fitnah itu berleluasa dalam politik UMNO diperkayakan pula dengan episod Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ia  bermula dengan surat-surat layang pada pertengahan tahun lepas dan masih berterusan sekarang ini.  Mungkin untuk kebanyakan ahli UMNO isu ini ialah isu antara personaliti. Namun begitu kecurigaan di mata hati orang ramai mengenai hal ini adalah berkaitan cara.

Cara episod ini berlaku menimbulkan banyak persoalan di kalangan orang ramai. Bagaimana surat-surat layang menjadi buku yang kemudiannya menjadi asas dakwaan. Orang ramai juga tidak terlepas daripada membuat perhatian betapa luar biasanya cara-cara tindakan yang telah diambil dari mula sehinggalah sekarang.  Nampaknya tanah lembang dan kayu pun sudah patah.

Orang ramai tidak melihat episod ini semata-mata sebagai satu krisis dalaman parti. Mereka sudah lali dengan gelagat ahli-ahli UMNO semasa pertandingan di semua peringkat. Mereka juga termaklum dengan cara yang diguna terhadap satu sama lain   Bagi orang ramai keadaan sebenarnya adalah lebih daripada ini semua.

Oleh itu adalah sangat penting bagi UMNO untuk mencegah penghakisan keyakinan orang ramai terhadap institusi-institusi di dalam masyarakat dan meningkatkan keyakinan mereka kepada prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Untuk mencapai matlamat di atas, saya berpendapat pendekatan penerangan berkaitan dengan kes ini yang menjatuhkan maruah seseorang itu adalah satu cara yang tidak sesuai. Kita tidak  membunuh saudara kita yang cedera dan memakan dagingnya.

Saya ingin menegaskan bahawa sebagai ahli UMNO saya menerima dan menghormati keputusan Majlis Tertinggi untuk memecat keahlian Dato' Seri Anwar Ibrahim. Walau bagaimanapun, cara keseluruhan episod itu berlalu dan masih sedang dilalui adalah sungguh menyedihkan.

Krisis ini sekali lagi memperlihatkan gelagat UMNO yang sudahpun menjadi tontonan orang ramai. Gelagat inilah yang mahu kita ubah - mencegah fitnah sebagai senjata dalam pertandingan dalaman UMNO.

Rata-rata orang Melayu dan orang Islam berasa tersangat malu dengan imej UMNO, Melayu dan Islam yang terdedah di mata umum ekoran daripada episod ini. Saya sendiri berasa malu dengan segala aspek perkara ini. Saya rasa penerangan seperti yang dijalankan sekarang akan memburukkan lagi keadaan.

Dengan hal demikian, saya percaya Dato' dapat memahami mengapa saya tidak dapat menjalankan tugas-tugas Ketua Penerangan secara yang diharapkan.

Saya doakan semoga Allah SubhanaWaTa'ala memberi kita semua petunjuk dan kekuatan untuk kita sama-sama mengatasi masalah ini.

Sekian, terima kasih.
 

Ikhlas,
 
 
 
 

Dr Nungsari Ahmad Radhi
 

s.k. - YB Haji Azhar Ibrahim
          Setiausaha BPUN Pulau Pinang