KENYATAAN RASMI DAN PENDIRIAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO
BAHAGIAN PERMATANG PAUH BERHUBUNG ISU PEMECATAN YAB
DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM DARIPADA JAWATAN TIMBALAN
PERDANA MENTERI, MENTERI KEWANGAN, TIMBALAN PRESIDEN
UMNO DAN KEAHLIAN UMNO.


Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih kepada pihak Polis Di Raja
Malaysia khususnya Ketua Polis Daerah Bukit Mertajam serta anggota-anggota dan
pegawai-pegawai polis Cawangan Khas yang telah berusaha memastikan ketenteraman
dan keselamatan di dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh hasil daripada beberapa
perbincangan dan pertemuan yang telah diadakan dengan pihak Jawatankuasa Pemuda
Umno Bahagian Permatang Pauh.

Bahawa Mesyuarat Khas Ahli-Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian
Permatang Pauh yang diadakan pada hari ini, 2hb Oktober 1998, Jumaat jam 9.00 malam
telah mengambil ketetapan seperti berikut :-

          Hasil daripada maklumbalas yang diterima daripada ahli-ahli Pergerakan
          Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh di peringkat akar umbi,
          merumuskan bahawa tindakan yang diambil ke atas YAB Dato’ Seri Anwar
          Ibrahim adalah tidak disokong oleh kerana bercanggah dengan prinsip-prinsip
          keadilan.
          Mendesak supaya keadilan ditegakkan dan ditunjukkan di sepanjang tempoh
          perbicaraan dijalankan ke atas semua dakwaan yang dibuat terhadap YAB
          Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim.
          Menggesa supaya semua ucapan-ucapan dan kenyataan-kenyataan yang
          dibuat berhubung isu ini, terutamanya yang berbentuk tuduhan dan mendahului
          keputusan Mahkamah hendaklah dihentikan segera oleh mana-mana pihak
          atau individu dan menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada Mahkamah
          untuk diadili dan ditentukan kebenarannya.
          Sebagai Ketua Umno Bahagian dan Timbalan Presiden Umno yang dipilih
          melalui perwakilan yang sah, Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh
          mendesak supaya YAB Dato’ Seri Anwar dikembalikan keahliannya sebagai
          ahli Umno.
          Menggesa supaya diwujudkan sebuah Suruhanjaya Di Raja yang bebas untuk
          menyiasat dakwaan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah
          dipukul dan disiksa oleh pihak polis semasa penahanan beliau dan jika didapati
          benar dakwaan ini, pihak-pihak yang terlibat hendaklah bertanggungjawab
          sepenuhnya.
          Memutuskan untuk tidak menerima dan supaya tidak diadakan sebarang
          Majlis Penerangan berhubung dengan isu ini di kawasan Parlimen Permatang
          Pauh, memandangkan ianya akan diambil kesempatan oleh pihak-pihak
          tertentu sebagai suatu tindakan provokasi yang boleh mencetuskan
          kegelisahan awam di kalangan rakyat di Parlimen Permatang Pauh.
          Merayu supaya semua tahanan ISA yang terbabit dengan isu ini dibebaskan
          dengan kadar segera.
          Menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh
          tidak akan menyokong mana-mana pihak yang cuba membuat
          perkara-perkara yang melanggar undang-undang yang boleh menyebabkan
          huru-hara dan merumitkan lagi keadaan seperti merosakkan harta benda,
          rusuhan, perhimpunan haram dan lain-lain lagi.

Selaras dengan ini, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh berharap
bahawa pendirian yang dibuat pada hari ini akan diberi keutamaan sebagai hasil
perbincangan yang sah melalui saluran rasmi parti untuk dipanjangkan ke peringkat Majlis
Kerja Tertinggi Umno Pusat.

DIPERSETUJUI SEBULAT SUARA.