Serambi Banjar


Rencana

ORANG BANJAR DI MALAYSIA
( Dipetik daripada "ayuhak bepandiran ")

Mukaddimah

Masyarakat Malaysia terkenal kerana sifat majmuknya. Salah satu
golongan etnik yang besar ialah orang Banjar. Seperti golongan etnik
lain, orang Banjar juga merupakan satu golongan yang kompleks dan
mempunyai sejarah yang tersendiri di negara ini. Orang Banjar adalah
tergolong dalam rumpun bangsa Melayu, walaupun begitu, tidak banyak
yang diketahui tentang masyarakat ini. Keadaan ini agak berbeza dengan
orang Jawa yang lebih dikenali walaupun kedua-dua masyarakat ini
mempunyai latar belakang penghijrahan yang hampir sama dan berasal
dari negara yang sama iaitu Indonesia. Satu hal yang agak menarik
juga, kedua-dua masyarakat tersebut tinggal di kawasan petempatan
yang berdekatan di Malaysia, contohnya di daerah Batu Pahat, Johor,
daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor dan daerah Bagan
Datoh di Perak. Sehingga kini, belum ada penulisan yang benar-benar
lengkap tentang sejarah kedatangan atau perkembangan masyarakat
tersebut di negara ini, walaupun sumbangan mereka dalam bidang sosial,
ekonomi dan politik bangsa Melayu khasnya di negara ini secara
keseluruhannya tidak kurang pentingnya.


Asal-usul kedatangan orang Banjar ke Tanah Melayu

Orang Banjar yang datang ke Tanah Melayu adalah berasal dari
Kalimantan, Indonesia, di kawasan selatan Basin Barito, terutama
sekali dari daerah Banjar Masin, iaitu pusat bandar daerah itu.
Kawasan ini adalah terletak di bahagian tenggara Borneo. Di antara
daerah-daerah utama tempat asal orang Banjar tersebut ialah dari
daerah Balangan, Amuntai, Alai, Hamandit, Margasari dan Martapura.
Sebahagian dari mereka juga berasal dari Sumatera Tengah di kawasan
Bukit Tinggi dan Sepat. Daerah-daerah tersebut merupakan kawasan
penanaman padi. Oleh demikian, mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu
adalah merupakan petani-petani yang mahir dalam penanaman padi. Di
samping itu, pekerjaan khusus seperti melukis, tukang permata dan
berniaga juga ditekankan oleh mereka. Pekerjaan inilah yang membezakan
mereka dari suku-suku bangsa lain di daerah orang-orang Dayak yang
tinggal lebih ke utara barat Banjar Masin. Masyarakat ini juga
dikenali dengan kemahiran membuat peralatan dari besi, seperti
peralatan pertanian dan senjata. Kebanyakan mereka suka tinggal di
lembah beberapa buah sungai seperti di sepanjang lembah Sungai Barito
dari Banjar Masin hingga ke Asuntai dan Tanjung di utara.

Tarikh migrasi masyarakat ini ke Tanah Melayu tidak dapat dipastikan,
tetapi menurut Afred Bacon Hudson seorang pengkaji orang Banjar,
migrasi ini bermula dalam pertengahan abad ke 19. Penempatan yang awal
sekali dapat dikesan ialah di Batu Pahat, Johor. Pada masa itu, mereka
sering berulang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui
Siak, Bentan, Inderagiri terus ke Batu Pahat dan Singapura. Selain
daripada itu Bagan Datoh di Perak juga dikatakan tempat pertapakan
awal masyarakat ini di Tanah Melayu.

Dari Batu Pahat, mereka berpecah ke kawasan lain. Mereka masih lagi
manjalankan aktiviti yang serupa seperti bertani, berkebun getah,
kelapa dan sebagainya. Pada masa kini, masyarakat Banjar boleh
didapati di beberapa kawasan pantai barat, terutamanya di kawasan
penanaman padi seperti di daerah Kerian, Sungai Manik dan Bagan Datoh
di Perak, Sabak Bernam dan Tanjong Karang di Selangor serta Batu Pahat
di Johor. Di Sabah pula, orang Banjar terdapat di Sandakan, Tenom,
Keningau dan Tawau. Orang Banjar ini pula terbahagi kepada beberapa
puak dan di antara yang terbesar ialah Tanjung dan Kalua dari daerah
Balangan, Amuntai dari daerah Amuntai, Barabai dari daerah Alai,
Nagara dan Kandangan dari daerah Hamandit, Rantau dari daerah
Margasari dan Martapura dari daerah Martapura. Masyarakat ini sering
mengidentifikasikan diri mereka berdasarkan daerah tempat asal-usul
mereka di Tanah Banjar.

Selain daripada faktor perdagangan, kemiskinan yang mencengkam
kehidupan orang Banjar di tempat asal mereka juga telah mendorong
penghijrahan ke Tanah Melayu. Keadaan mereka di Tanah Banjar agak
sukar kerana tanah pertanian mereka sering menghadapi ancaman binatang
buas. Faktor ini ditambah lagi dengan kemelaratan yang dihadapi di
bawah pemerintahan penjajah Belanda yang terlalu menindas masyarakat
tempatan dengan pelbagai cukai dan peraturan yang tidak munasabah. Di
samping itu, mereka tertarik dengan kemakmuran kehidupan di Tanah
Melayu pada masa itu yang dikhabarkan oleh pedagang-pedagang yang
berulang-alik ke Tanah Melayu.


Pihak penjajah British di Tanah Melayu pula amat menggalakkan
penghijrahan masyarakat dari Indonesia untuk membuka dan mengerjakan
kawasan pertanian yang baru kerana masyarakat tersebut amat terkenal
dengan sifat tabah dan gigih dalam menghadapi cabaran hidup.


Ciri-ciri awal orang Banjar di Tanah Melayu

Apa yang dimaksudkan dengan ciri-ciri awal ini ialah sosio-budaya
orang Banjar pada tahap awal pertapakan mereka di tanah Melayu iaitu
sekitar pertengahan abad ke-19 sehingga pertengahan abad yang ke-20.
Terdapat ciri-ciri yang dominan dan ketara pada masyarakat ini yang
membezakannya dengan masyarakat Melayu tempatan pada masa itu. Di
antara ciri-ciri awal yang dapat diperhatikan dalam masyarakat ini
pada masa itu ialah, fahaman kesukuan, teguh pegangan agama dan
carahidup sederhana, berani dan panas baran.


Fahaman kesukuan

Perkara ini adalah berkait rapat dengan keadaan mereka yang baru
berhijrah dari Tanah Banjar ke Tanah Melayu yang masih asing bagi
mereka. Jadi, bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, mereka
sentiasa tinggal dalam satu kelompok. Salah satu ciri terpenting wujud
pada masyarakat tersebut pada masa itu ialah mendalamnya fahaman
kesukuan. Bagi mereka, orang-orang selain dari suku mereka dianggap
sebagai 'orang luar'. Keadaan ini telah mempengaruhi pergaulan,
perkembangan pemikiran dan seterusnya keperibadian mereka. Faham
kesukuan ini juga telah menjadikan masyarakat ini pada masa itu
sebagai sebuah masyarakat tertutup. Jarang-jarang benar berlaku
perkahwinan di luar suku Banjar. Justeru itu, faktor ini telah dapat
mengekalkan beberapa ciri-ciri keperibadian yang tersendiri masyarakat
ini. Contoh yang nyata ialah pengekalan bahasa pertuturan sehari-hari
iaitu dialek Banjar dan kawasan tempat tinggal yang berkelompok.




Teguh pegangan agama dan cara hidup sederhana

Kebanyakan orang Banjar yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah terdiri
daripada mereka yang kuat pegangan agama Islam dan mengamalkan cara
hidup yang sederhana. Maka, tidak hairanlah bahawa masyarakat ini amat
condong terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam
dalam kehidupan seharian mereka.

Keadaan ini ditambah lagi dengan corak pekerjaan mereka yang berbentuk
pertanian dan lokasi petempataan mereka yang agak terpencil daripada
bandar, telah menyebabkan peluang untuk mereka mengikuti
kemudahan-kemudahan seperti pelajaran, kesihatan, dan lain-lain amat
terhad. Perkembangan pendidikan secara formal yang wujud dalam
masyarakat ini hanyalah berupa kelas membaca al-Quran, mempelajari
hal-ehwal syariat Islam sama ada di sekolah-sekolah agama rakyat
mahupun di madrasah-madrasah. Bagi golongan yang berkemampuan pula,
mereka menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah arab mahupun
pondok-pondok di tempat lain. Bagi yang lebih berkemampuan, mereka
juga turut menghantar anak-anak mereka ke Tanah Suci Mekah untuk
mendalami ilmu agama. Amat kurang sekali yang menghantar anak-anak
mereka ke sekolah-sekolah kerajaan mahupun ke sekolah Melayu kerana
mereka berpendapat mata pelajaran yang di ajar tidak sesuai dan
semata-mata hal-ehwal duniawi sahaja. Begitu juga dengan
sekolah-sekolah Inggeris mereka khuatir anak-anak mereka akan
terpengaruh dengan dakyah Kristian jika menghantar anak-anak mereka
belajar di sekolah tersebut. Walaupun pada umumnya, fahaman sebegini
wujud dikalangan masyarakat Melayu yang lain, tetapi keadaan yang
wujud dikalangan orang Banjar amat ketara sekali.

Sebagai buktinya, sehingga awal tahun-tahun 60an, amat kurang sekali
pegawai-pegawai kerajaan mahupun kakitangan yang berketurunan Banjar.
Kalau pun ada, hanya pegawai-pegawai agama atau guru-guru agama.
Ringkasnya mereka lebih berminat untuk bergiat dalam bidang-bidang
yang bersangkutan dengan hal-ehwal agama Islam sahaja. Kesan lain yang
dapat diperhatikan dan masih kekal sehingga kini ialah terdapatnya
dengan banyak sekali sekolah-sekolah agama rakyat, madrasah mahupun
pondok-pondok dikawasan-kawasan yang majoriti penduduknya orang Banjar
seperti di daerah Kerian, Perak mahupun di daerah Sabak Bernam,
Selangor.

Keadaan kehidupan mereka juga amat sederhana, rumah mereka dikatakan
kosong kerana tidak mempunyai alat-alat perabut seperti kerusi, meja
dan almari. Peralatan yang ada seperti tikar mengkuang yang
dibentangkan ketika tetamu datang dan lain-lain perkakas yang mustahak
sahaja.

Satu hal yang agak menarik juga ialah, masyarakat ini tidak suka
bekerja makan gaji dengan kerajaan kerana mereka lebih suka bekerja
sendiri khasnya dalam bidang pertanian. Perkara ini juga berkait
dengan kebebasan untuk mereka membuat perkara-perkara sampingan
khasnya untuk mendalami ilmu-ilmu keagamaan. Pekerjaan bertani khasnya
penanaman padi mempunyai ruang masa yang banyak dan bebas untuk mereka
melakukan perkara-perkara tersebut seperti ketika menunggu musim
menuai dan seumpamanya. Kedudukan seseorang yang tinggi ilmu agama
juga amat dihormati dan mendapat tempat yang istimewa di kalangan
orang Banjar. Nilai yang diberikan ke atas seseorang individu dalam
masyarakat ini adalah berdasarkan keahliannya dalam ilmu-ilmu agama
Islam. Nilai-nilai seperti ini menjadikan masyarakat ini begitu kuat
dan taat berpegang kepada ajaran Islam dan kepada kepimpinan yang ahli
dalam bidang agama Islam. Perkara ini jelas dilihat daripada
kemenangan calon parti yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan
pada Pemilihan Umum Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 Kawasan
Kerian, Perak yang telah diketahui majoriti daripada penduduknya
terdiri daripada orang Banjar. Beliau yang dimaksudkan ialah Tuan Guru
Haji Ahmad Haji Hussein, keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari,
seorang tokoh ulama besar berasal dari Tanah Banjar, Kalimantan
Selatan, Indonesia.


Berani dan pemanas

Salah satu sifat yang agak ketara terdapat dalam masyarakat Banjar
ialah bersifat berani dan pemanas. Masyarakat ini pantang dicabar dan
bersifat panas baran. Penggunaan senjata seperti pisau (biasanya
disebut lading), parang panjang atau badik (sejenis pisau juga), tidak
asing lagi bagi mereka terutama ketika berlaku pergaduhan. Dipercayai
juga setiap keluarga orang Banjar pasti menyimpan sebilah parang
panjang di rumah masing-masing untuk menjaga keselamatan mereka. Orang
Banjar sering dianggap sebagai masyarakat yang gemar bergaduh oleh
masyarakat lain. Sebenarnya, sifat ini telah timbul secara turun
temurun semenjak mereka menetap di Tanah Banjar lagi. Keadaan alam
sekeliling di Tanah Banjar yang penuh dengan hutan belukar dan
binatang buas menjadikan mereka sentiasa berhadapan dengan cabaran dan
halangan dalam meneruskan kehidupan mereka. Orang-orang yang berniaga
pula sering berhadapan dengan lanun dan perompak memerlukan mereka
sentiasa bertenaga dan bersedia untuk bertarung dengan pihak musuh.
Perkara ini juga telah menyebabkan mereka suka menuntut ilmu-ilmu
persilatan daripada pendekar-pendekar tempatan mahupun luar. Keadaan
ini terbawa-bawa dan akhirnya telah menjadi sifat dan perangai mereka
sehingga sekarang walaupun semakin berkurangan. Ciri-ciri ini jugalah
yang sebenarnya menjadi penyebab kepada pergaduhan yang telah timbul
di kawasan petempatan orang Banjar seperti di Sungai Manik, Teluk
Intan, Perak pada tahun 1940an dan 1960an mahupun di Batu Pahat,
Johor pada 13 Mei 1969, atas gabungan sifat mereka yang kuat pegangan
agama dan berani serta pemanas.





Orang Banjar kini

Kini, orang Banjar di Malaysia sebagaimana masyarakat-masyarakat
penghijrah dari Indonesia yang lain seperti orang Jawa, Bugis,
Mendailing, Rawa, Kerinchi, Batak, Minangkabau dan lain-lain lagi,
telah mengalami arus perubahan yang pesat seiring dengan kepesatan
pembangunan di negara ini sendiri. Proses asimilasi yang berlaku ke
atas masyarakat ini amat ketara terutama apabila mereka sudah tidak
tinggal lagi bersama-sama dalam kelompok mereka mahupun apabila
berlakunya perkahwinan campur. Program pendidikan di negara ini juga
sedikit sebanyak telah mengasimilasikan masyarakat ini ke dalam
masyarakat Melayu tempatan. Generasi muda masyarakat ini sudah agak
kurang mahupun tidak tahu atau malu untuk bertutur dalam bahasa Banjar
walaupun ketika berbicara sesama mereka.

Sifat mereka yang suka merantau masih membara dijiwa mereka. Buktinya,
apabila adanya pembukaan tanah-tanah rancangan sama ada oleh FELDA
mahupun FELCRA, mereka akan memberikan sambutan yang menggalakkan
untuk menjadi peserta. Kini, orang Banjar juga banyak didapati di
kawasan-kawasan tanah rancangan contohnya di negeri Pahang.

Di petempatan yang majoritinya adalah terdiri daripada masyarakat
Banjar, Perpaduan mereka masih erat dan mereka masih terus memelihara
dan menggunakan bahasa Banjar dalam pertuturan harian. Namun, dari
segi pengamalaan adat resam dan organisasi sosial orang Banjar serta
prasangkanya terhadap orang bukan Banjar sudah agak berkurangan dan
mungkin sudah tiada lagi. Sikap mereka terhadap pendidikan juga telah
jauh berubah di mana anak-anak mereka juga telah berjaya melanjutkan
pelajaran sehingga ke menara gading dan menjawat jawatan-jawatan yang
tinggi di sektor awam mahupun swasta. Namun begitu, pendidikan agama
masih tetap menjadi pilihan utama kebanyakan dari mereka dan buktinya
dapat di perhatikan daripada ramainya anak-anak masyarakat ini yang
mempunyai kelulusan agama yang tinggi terutama orang Banjar dari
daerah Kerian, Perak dan daerah Sabak Bernam di Selangor.


Disusun semula oleh:

Muhammad Sabil al-Banjari,
Jabatan Antropologi dan Sosiologi, UM.


Email